Pada hari terakhir di kampus, masing-masing menyatakan hala tuju hidup selepas ini. dua daripada mereka telah bersetuju untuk bersama-sama bekerja di Selangor. Namun, sahabat yang lima lagi telah mengambil keputusan untuk kembali ke negeri sendiri dan bekerja di sana. Kelima-lima sahabat ini kecewa kerana sahabatnya ini ingin meninggalkan mereka dan seolah-olah apa yang dirancang sebelum ini adalah sia-sia.
Tiada siapa menyangka, setahun kemudian sahabat ini kembali berjumpa mereka dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu. Kelima-lima orang sahabat ini malu dengan diri sendiri kerana berprasangka terhadap sahabatnya. Ukhwah mereka kembali bertaut lantaran kemanisan ukhwah yang dikecap. Kerana kasih sayang yang ada dalam diri mereka. Di mana sekalipun kita berada, sahabat tetap diingati dalam doa. Yang paling penting, ikatan yang dibina adalah kerana –Nya.
Dalam konteks kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat. Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.
Dalam meniti hari-hari yang mendatang, adakalanya tekanan melanda diri. Lantaran beban kerja yang menimbun dan masalah yang bertali arus datang dan pergi. Tika ini sahabat diperlukan untuk mencurahkan isi hati yang terpendam. Bersama renungkan analogi ini. Sekumpulan alumni yang mempunyai kerjaya yang mantap mengadakan pertemuan di rumah seorang profesor. Masing-masing menceritakan kehidupan dan tekanan kerja dan keluarga yang dihadapi. Mendengar luahan hati mereka, profesor tadi segera bangun menuju ke dapur. Kembali dengan membawa teko besar berisi air kopi dan pelbagai jenis cawan dan gelas. Ada yang diperbuat dari porselin, plastik, kaca dan kristal.
Profesor tadi menyuruh menyuruh mereka menuang sendiri kopi tersebut. Setelah semua bekas pelajarnya mengambil kopi masing-masing, profesor itu berkata : “ Jika anda semua perasan, semua cawan yang cantik dan mahal telah diambil dan meninggalkan cawan yang biasa dan kelihatan murah. Ini adalah keadaan yang biasa di mana anda semua mahukan yang terbaik dalam hidup anda, tetapi itulah punca kepada masalah dan ‘stress’ yang anda semua hadapi.
Apa yang sebenarnya diperlukan hanyalah kopi, bukan cawannya tetapi anda sendiri telah memilih untuk mengambil cawan yang terbaik. Dan lebih teruk lagi anda memerhatikan cawan yang diambil oleh orang lain. Kehidupan diibaratkan seperti kopi. Kerjaya, wang dan masyarakat adalah cawan tersebut. Cawan sekadar alat untuk mengisi kandungannya iaitu kehidupan. Kehidupan tidak berubah dan hanya alat yang berubah. Kadangkala kita terlalu fokus kepada cawan yang dipegang sehingga gagal untuk menikmati kopi tersebut.
Teliti kembali, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sahabat sebaik mungkin. Atau sekadar teman untuk minum kopi dan teh sahaja. Renungi diri. Jadilah sahabat yang baik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Jujurlah dalam bersahabat. Sebelum meneruskan persahabatan yang mendalam mohonlah petunjuk Allah agar tidak tersalah pilih. Terimalah sahabat anda sebaiknya dan maafkanlah kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Persahabatan yang dijalin kerana Allah pasti berkekalan. Nilai sebuah persahabatan itu tidak mampu dibeli dengan wang dan harta lantaran harganya yang tidak terungkap.
No comments:
Post a Comment