Simpati masyarakat terhadap ibu bapa dan mahasiswa terbabit tentunya boleh difahami.
Semua tentunya bersyukur kerana tindakan cepat polis memastikan kecederaan yang dialami ringan dan serangan itu terbatas. Selepas ini, proses undang-undang akan mengambil alih demi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Insiden subuh Khamis lalu menzahirkan kebimbangan bahawa mahasiswa yang menjaja isu Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka semakin diperkudakan oleh pembangkang.
Keghairahan pemimpin pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu menyalurkan bantuan kepada kumpulan mahasiswa ini supaya mereka terus berkampung di Dataran Merdeka menunjukkan kesungguhan Pakatan Rakyat memperalatkan pelajar demi keuntungan politik.
Mahasiswa dijadikan saf utama untuk menuntut pemansuhan PTPTN.
Persetankan jika pemansuhan itu bermaksud negara akan kehilangan sumber RM43 bilion ringgit yang diberikan sebagai pinjaman kepada pelajar.
Pedulikan nasib pelajar yang sudah pun menjelaskan pinjaman mereka. Tidak apa jika rakyat terpaksa menanggung cukai yang lebih tinggi, untuk negara membiayai pendidikan percuma sehingga peringkat universiti.
Oleh kerana slogan "Pendidikan Percuma Hingga Universiti" sedap didengar - Pakatan Rakyat tidak bermasalah untuk membuat janji sedemikian bagi meraih undi, walaupun ia bermaksud menghasut mahasiswa secara halus untuk mengadakan tunjuk perasaan jalanan.
Dalam memberikan sokongan bulat kepada golongan mahasiswa itu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk Anwar dan Penasihat Dap Lim Kit Siang tidak rasa terpanggil untuk menjelaskan kenapa mereka menyokong PTPTN apabila ia dilancarkan pada tahun 1997 tetapi membantahnya sekarang.
Anwar yang ketika itu menjadi Pemangku Perdana Menteri merasmikan penubuhan tabung itu manakala Kit Siang selaku Ketua Pembangkang ketika itu, memberi sokongan penuh kepadanya di Parlimen sebagai usaha murni kerajaan membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Kenapa, ketika itu Anwar dan Kit Siang tidak melihat PTPTN sebagai zalim dan menekan rakyat, sungguhpun ketika itu kadar faedah yang dikenakan di atas pinjaman empat peratus, berbanding satu peratus sekarang?
Dalam konteks sama, mahasiswa juga perlu bertanya kenapa tidak ada rekod sama sekali Anwar cuba menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti ketika beliau Menteri Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri mahu pun Pemangku Perdana Menteri?
Perlu juga difikirkan kenapa PTPTN tidak menjadi isu politik pada pilihan raya umum 2008 atau sebelumnya tetapi dibangkitkan sekarang? Mungkinkah kerana pembangkang semakin ketandusan isu panas?
Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan, Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda supaya pelajar boleh menjadi ahli parti politik dan macam-macam undang-undang lain yang dijaja sebagai anti demokrasi dimansuh atau dipinda. Sejajar dengan itu pelbagai insiatif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat diperkenalkan.
Semua ini tentunya menghakis dan mengecilkan simpanan isu-isu yang boleh dijaja oleh pembangkang untuk PRU ke 13 dan sekaligus ia meremehkan janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingganya.
Justeru, PTPTN dicanang kerana ia memberi kesan kepada generasi muda dan juga golongan ibu bapa.
Sifir politik Pakatan adalah jika ia berjanji untuk memansuhkan skim pinjaman mudah itu, sudah tentu ia akan mendapat sokongan meluas.
Namun mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka harus berfikir sejenak, apakah PTPTN boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa menjejaskan segmen lain perbelanjaan negara, contohnya peruntukan untuk pembangunan luar bandar?
Jawapan kepada persoalan-persoalan ini boleh dikupas secara beradab menerusi dialog dan wacana teratur di dalam dewan universiti mereka; bukan dengan mendirikan khemah dan berkampung di Dataran Merdeka dan melaung slogan anti-kerajaan.
Sebagai golongan berilmu, mahasiswa harus waspada dan tidak membiarkan diri dipergunakan oleh mana-mana pihak.
Selepas menggunakan aktivis berhaluan kiri untuk menganjurkan siri tunjuk perasaan BERSIH, Pakatan Rakyat kini nekad menggunakan mahasiswa pula sebagai satu lagi aparatus untuk berkempen demi mengejar kuasa politik yang bernama Putrajaya.
No comments:
Post a Comment