Thursday, April 12

HAPUSKAN SEGERA FAEDAH 1% DESAKAN PEMUDA UMNO.



Pemuda Umno mencadangkan supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)menghapuskan kadar faedah 1% yang dikenakan terhadap pinjamannya.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kadar faedah 1% yang dikenakan terhadap kos pentadbiran PTPTN adalah terlalu banyak berbanding perbelanjaan mengurus sebenar perbadanan itu.

"Kami diberitahu bahawa PTPTN hanya membelanjakan RM65 juta setahun untuk menjalankan operasi, jadi kadar faedah 1% daripada berbilion-bilion yang diberikan setiap tahun adalah jauh lebih daripada yang diperlukan.

"Kami berharap peminjam PTPTN tidak akan dibebani dengan hutang tambahan dan hanya perlu membayar pinjaman sebenar mereka," katanya semasa Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional di sini, Rabu.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk memansuhkan tindakan menyenarai hitam peminjam yang liat membayar pinjaman sehingga menyekat urusan mereka ke luar negara dan mendapat pinjaman bank.

Walaupun beliau bersimpati dengan PTPTN yang menghadapi masalah untuk menasihatkan peminjam supaya membuat pembayaran balik, Khairy berkata, Pemuda Umno akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan pangkalan data kepada PTPTN dan membantu menjejaki peminjam yang belum menjelaskan pinjaman.

"Tindakan menyenarai hitam dan menyekat peminjam ke luar negara atau membuat pinjaman akan memberi beban kepada mereka," katanya.

Beliau berharap agar PTPTN memperkenalkan satu mekanisme untuk menuntut bayaran balik sebaik saja peminjam memperoleh pendapatan selesa.

"Mungkin terdapat segelintir peminjam yang selepas enam bulan menamatkan pengajian mendapat pekerjaan dengan gaji yang sedikit seperti kerani dan eksekutif junior," katanya.

Selepas mesyuarat selama dua hari anjuran Biro Institusi Pengajian Tinggi Pemuda Umno Malaysia bersama PTPTN, 15 resolusi yang dicapai akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusof berkata, jumlah pinjaman yang gagal dijelaskan mencecahkan RM24.7 bilion disebabkan sikap tidak peduli peminjam mengenai perkara ini.

"Kami sebenarnya begitu fleksibel apabila membabitkan pembayaran semula. Anda boleh datang ke pejabat kami dan membayar RM1,000 atau RM100 menerusi skim pembayaran bulanan," katanya.

Mengulas mengenai peminjam yang disenarai hitam, perbadanan itu kebiasaannya akan menghantar empat surat amaran terlebih dahulu.

"Jika peminjam masih gagal membuat bayaran, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah," katanya.MSTAR

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive