Thursday, December 2

ISA Boleh Dikenakan Kepada Wan Azizah

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menyokong penuh cadangan agar tindakan undang-undang diambil terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berikutan menghina ketuanan Melayu.
Katanya, kenyataan Wan Azizah semasa Kongres Nasional PKR Sabtu lalu telah sekali lagi mencabar kedudukan serta hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk ‘entrenched’ yang mana ianya adalah salah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan,” tegasnya dalam wawancara dengan umno-online.com.
Jelasnya, apa yang dikatakan oleh Wan Azizah bahawa ketuanan Melayu harus ‘dibakulsampahkan’ merupakan satu bentuk cabaran secara khusus (direct challenge) kepada peruntukan undang-uandang iaitu Perlembagaan Persekutuan dan ia bukanlah satu hak kebebasan untuk bersuara.
“Apabila kenyataan ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan apa jua yang berkaitan dengan Artikel 153 dan lain-lain perkara dikatakan dengan begitu terbuka, dalam satu kongres yang juga terdiri daripada orang-orang bukan Melayu ianya bukan lagi berbentuk cabaran tetapi lebih kepada memperlekehkan kedudukan, status hak orang-orang Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.
“Bagi saya kini sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan dan orang-orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan atau orang Melayu dari mana-mana parti politik pun,” katanya.
Maklumnya lagi, terdapat empat perkara yang boleh dimasukkan dalam laporan polis berkaitan dengan kenyataan Wan Azizah berkaitan ketuanan Melayu.
“Perkara pertama ialah berbentuk hasutan selaras dengan Akta Hasutan 1948, Seksyen 3 yang menyatakan salah satu bentuk hasutan iaitu yang mempersoalkan tentang hak, status, kedudukan, keistimewaan seperti yang termaktub dalam bahagian 3 Perlembagaan Persekutaun iaitu Artikel 152, 153 atau 181.”
Maklumnya, Artikel 152 ialah berkenaan sebagai bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan manakala Artikel 153 khusus kepada hak keistimewaan orang Melayu iaitu kedudukannya dari segi permit, biasiswa dan sebagainya dan Perkara 181 pula berkaitan dengan kedudukan Raja-raja Melayu.
“Maka dengan ini satu laporan polis yang mengatakan bahawasanya satu kenyataan berbentuk hasutan telahpun dilakukan iaitu di bawah seksyen 3 (1) (f) dan boleh dihukum sekiranya disabitkan hukuman mengikut seksyen 4 pada Akta Hasutan 1948.
“Perkara kedua yang boleh didakwa ke atas Wan Azizah ialah mengandungi kenyataan bahawa ini bukanlah berbentuk kebebasan bersuara seperi mana termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan kerana artikel ini ada kekangan atau sekatannya iaitu melainkan ada undang-undang lain yang mengecilkan skop Artikel 10 iaitu walaupun ada hak untuk bersuara tetapi termaktub dalam Akta Hasutan 1948.”
Maklum Hafarizam lagi, perkara ketiga yang perlu diketengahkan dalam laporan polis ini ialah dengan mengatakan bahawa PKR telah secara zahir bersekongkol bersama dengan merelakan perbuatan oleh orang yang tidak lain tetapi Presidennya.
“Untuk itu, perlu juga satu laporan dibuat bersekali atau dalam laporan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan bagi melihat kedudukan PKR kerana telah nyata bahawa mereka memupuk semangat kebencian, prasangka antara kaum dan perlu diambil tindakan yang mana salah satu tindakannya ialah dibatalkan pendaftaran PKR ini.
“Saya juga menggesa Pendaftar pertubuhan selaku pihak yang dipertanggungjawabkan mengawalselia pertubuhan politik dan bukan bukan politik melihat dengan teliti kuasa yang ada padanya agar PKR ini diambil tindakan malahan UMNO sendiri pernah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1987 dan mengapa PKR perlu mendapat keistimewaan seolah-olah mereka kebal?”
Katanya lagi, oleh kerana Perdana Menteri telah menyatakan bahawa jangan dipersoalkan hak keistimewaan Melayu dan disambut oleh pemimpin-pemimpin daripada badan politik, NGO’s dan juga pakar-pakar perundangan maka beliau menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunapakai.
“ISA perlu dilakukan terhadap pemain-pemain utama dalam PKR, DAP ataupun Pas yang masih lagi terus mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu kerana terbukti mereka cuba mewujudkan kebencian terhadap orang Melayu disebabkan hak-hak istimewa ini,” tegasnya lagi. -MediaUMNO

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive