Saturday, December 25

Muhyiddin cabar Anwar


 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menaikkan gaji sebanyak RM500 kepada kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.
Beliau berkata, langkah itu wajar demi membuktikan keikhlasan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang membela nasib kakitangan awam serta pegawai-pegawainya.
Persoalannya kata beliau, adakah Anwar sanggup berbuat demikian?
‘‘Saya cabar Anwar yang kebetulan mempunyai kedudukan dalam kerajaan pakatan pembangkang supaya menaikkan gaji kakitangan awam mereka seperti di Selangor atau Pulau Pinang.
‘‘Kita tengok dahulu sama ada Anwar sanggup menambah gaji pegawai-pegawai dan kakitangan awam mereka. Jika Anwar mahu naikkan gaji RM500 kepada guru mengapa beliau tidak tawarkan inisiatif yang sama kepada sektor awam mereka terlebih dahulu?’’ soalnya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program ‘Mendidik Demi Malaysia’ di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya sebelum ini apabila menyebut bahawa tindakan pakatan pembangkang memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.
Mengulas isu itu Muhyiddin berkata, setiap rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dibuat secara holistik iaitu turut mengambil kira kesannya kepada semua pihak.
‘‘Bukan tidak boleh buat, boleh, tetapi kita perlu mengambil kira implikasinya kepada pihak lain. Sebagai contoh sekiranya kerajaan membuat tawaran kepada satu pihak dalam perkhidmatan awam, apa pula kata pegawai kerajaan yang lain.
‘‘Mereka akan kata kami tidak layakkah? Mengapa guru sahaja yang dilayan, kami mengapa tidak diberikan. Maksud saya tadi bukan kerajaan tidak menilai tetapi ia melibatkan konteks secara keseluruhan sektor awam yang kakitangannya berjumlah 1.2 juta orang,’’ katanya.
Muhyiddin secara sinis berkata, Anwar yang pakar dan bijaksana itu tahu kedudukan tersebut, tetapi disebabkan muslihat politik dan pilihan raya, beliau sanggup melakukan apa sahaja.
‘‘Tidak apalah kalau bankrap, tidak apalah kalau negara terpaksa tanggung lebih belanja asalkan menang dan Anwar akan jadi Perdana Menteri. Itu tujuan sebenar Anwar,’’ katanya lagi.
Menjawab soalan mengenai tuduhan Anwar bahawa kenyataannya itu seolah-olah tidak menghargai peranan guru, Muhyiddin berkata, dakwaan tersebut hanya menunjukkan betapa terdesak Ketua Pembangkang itu untuk meraih sokongan rakyat.
‘‘Hanya Menteri Pelajaran tidak berhati perut yang tidak menghargai guru. Begitulah terdesaknya Anwar meraih sokongan rakyat,’’ ujarnya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive