ISU-ISU seperti hak istimewa Melayu, Ketuanan Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu serta kontrak sosial telah dicungkil kembali dan ada pihak tertentu menggunakan isu ini untuk mencapai objektif yang kita tidak pasti apa sebenarnya yang mereka mahukan.
Wahai kaum Melayu semua, berhentilah kita mencanang isu-isu sebegini untuk kepentingan tertentu. Jangan kita lupa peranan dan kedudukan kita pada hari ini. Sudah sekian lama orang Melayu dijajah oleh kuasa asing. Kini, sudah tiba masanya untuk kita bangun memajukan dan pada masa yang sama, mempertahankan tanah air kita daripada diceroboh anasir luar. Orang Melayu patut bersatu dan menunjukkan kita bukanlah bangsa yang suka berpecah belah.
Orang Melayu pada hari ini jangan sekali- kali melupakan sejarah apatah lagi meninggalkan sejarah dalam usaha menuju kemajuan dan kemodenan. Orang Melayu patut menjadikan sejarah lalu menjadi lebih baik pada hari ini dan masa akan datang.
Mengapa? Dalam sejarah masyarakat Melayu zaman dahulu, orang Melayu merupakan pelaut yang terkenal kerana mereka boleh meramalkan pergerakan musuh dan kapal-kapal di lautan serta mengetahui arah angin. Kerana kebijaksanaan ini beberapa buah negeri di Tanah Melayu menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dagangan dari beberapa negara luar.
Tetapi di manakah Melayu dalam bidang ini sekarang ini? Begitu juga dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang telah diserang Portugis dan Belanda. Mengapa mereka hendak menawan Melaka dan apa yang lebih penting adalah mengapa mereka dengan senang dapat menawan kota Melaka? Sebabnya kerana salah seorang pembesar Melaka pada waktu itu telah belot dengan membuka rahsia kota Melaka kepada musuh.
Peristiwa itu cukup memberikan pengajaran, bahawa orang Melayu jangan sekali-kali menjadi pengkhianat bangsa dan negara. Jangan ada antara kita kerana kepentingan tertentu menjaja masalah negara kepada negara lain dan meminta negara lain membantu menyelesaikan masalah kita.
Ingat! Budaya dan adat resam masyarakat Melayu Malaysia tidak sama dengan budaya negara lain.
Semasa negara ini dijajah oleh British, segala pahit maung telah ditelan oleh datuk nenek kita. Tetapi apa yang British sudah buat pada orang Melayu dan apa yang British pernah kata kepada orang Melayu?
Di zaman penjajahan, apabila disebut sahaja sekolah Melayu, sudah pasti kita dapat bayangkan tentang struktur, keadaan persekitaran dan bangunan sekolahnya.
Keadaan ini merupakan satu faktor mengapa pendidikan Melayu tidak maju dan terkebelakang jika dibandingkan dengan sekolah Inggeris yang didirikan kerajaan British. Selain daripada masalah bangunan, sebahagian sekolah Melayu yang ada pada waktu itu tidak mempunyai kemudahan-kemudahan yang sepatutnya di mana sebahagian besar tidak mempunyai kelas yang sistematik, bahan bacaan yang dibekalkan juga sangat sedikit yang mana sebuah buku terpaksa dikongsi oleh tiga atau empat pelajar.
Begitu juga dengan perpustakaan yang keadaannya sangat mendukacitakan. Ini mungkin disebabkan kurangnya sambutan pelajar Melayu itu sendiri dan ada kaitannya dengan kurangnya buku-buku rujukan dalam bahasa Melayu. Apa yang nyata pada waktu itu sekolah Melayu tidak diberikan kemudahan dan infrastruktur yang teratur sebagaimana sekolah Inggeris.
Itu dari segi pendidikan Melayu. Jadi, orang Melayu yang hidup pada zaman serba moden ini jangan lupa akan kerendahan pendidikan Melayu zaman dahulu. Tetapi sedarkah kita ada orang Melayu tidak menghargai kemudahan pendidikan yang ada pada hari ini. Kita lihat saja walaupun kemudahan pendidikan hari ini tidak ada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain, masih ada anak-anak Melayu ponteng sekolah, ditendang keluar universiti dan malas belajar.
Di zaman penjajahan British juga, mereka menganggap orang Melayu apa? Orang Melayu dikatakan sebagai bangsa yang malas, tidak suka bekerja di bawah orang lain, tidak produktif, tidak mahu bekerja lebih kuat, cukup sekadar untuk menampung makan dan pakai sekeluarga.
Justeru, mereka tidak memberikan peluang kepada orang Melayu untuk terlibat sama dalam sistem pemerintahan dan juga ekonomi kapitalis mereka.
Adakah bangsa Melayu hari ini masih mahu dilabel sebegitu oleh orang luar?. Cuba kita lihat apa yang berlaku hari ini? Masih ada segelintir orang Melayu yang walaupun telah diberi pelbagai kemudahan, bantuan, subsidi, dan biasiswa masih lagi menongkat dagu? Rasanya sudah sampai masanya untuk kita membuang sindrom 'subsidi' dan usahakanlah untuk membantu diri sendiri dengan bekerja lebih kuat dan gigih.
Tunjukkanlah kepada negara luar yang orang Melayu hari ini tidak lagi malas dan mampu bekerja sendiri. Dahulu kerajaan memberikan tanah kepada orang Melayu untuk diusahakan. Ini kerana orang Melayu tidak mempunyai tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa dari orang lain dan mereka sentiasa menjadi mangsa orang tengah. Atas keprihatinan ini, pihak kerajaan memberikan tanah kepada mereka melalui rancangan Felda.
Sebagai penduduk pribumi dan penduduk asal Tanah Melayu, orang Melayu diberi kuasa untuk mentadbir negara. Parti-parti yang menang akan memegang tampuk pemerintahan. Bukan itu sahaja 'pertuanan Melayu' akan tetap kekal dalam semua aspek politik, ekonomi dan sosial. Selepas itu muncul pula 'kontrak sosial' yang mengikat hubungan antara bangsa Melayu, Cina dan India. Kuasa-kuasa ini diperturunkan lagi ke peringkat bawah apabila wakil-wakil yang dipilih rakyat akan duduk di kerusi Parlimen. Begitu tinggi kuasa yang diberikan oleh rakyat. Tetapi apa yang berlaku?
Ada segelintir masyarakat Melayu yang telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik masing-masing sehingga melupakan tanggungjawab utama membantu rakyat yang telah memberikan mereka kuasa sebelum ini.
Itu adalah segelintir isu yang telah menampakkan senario-senario kealpaan masyarakat Melayu terhadap sejarah. Ingatlah perpecahan adalah bibit-bibit ke arah kemusnahan sesuatu tamadun manusia. Barangkali kita kena selidik balik faktor-faktor kejatuhan sesuatu tamadun dunia sebelum ini.
Mat kilau Itulah pentingnya Sejarah!
No comments:
Post a Comment