Sunday, April 8

JANJI PENIPU PEMIMPIN PR?




Lebih 50 penduduk pangsapuri Teratai blok satu dan dua di Taman Bukit Subang mengadakan demonstrasi secara aman mendesak kerajaan Negeri Selangor menunaikan janji membaikpulih kerosakan bumbung dan bahagian dalam rumah mereka sejak tiga bulan lalu.

Penduduk dilihat berkumpul di bawah perkarangan pangsapuri mereka kira-kira jam 11 tengah hari itu turut membawa sepanduk tertulis 'Mana Janji Pemimpin PR', 'Kerajaan PR Menipu', 'Mana Janji Menteri Besar'.

Sebahagian besar mereka adalah 30 buah keluarga yang mendiami di tingkat lima di kedua-dua buah pangsapuri itu. Mereka ternyata tidak berpuas hati dan berang dengan kerja membaikpulih kerosakan bumbung dan siling rumah yang dilakukan oleh syarikat kontraktor dilantik kerajaan negeri.

Penduduk mendakwa kerja-kerja membaikpulih kerosakan bumbung, siling dan bahagian dalaman rumah mereka sekadar 'melepaskan batuk di tangga' kerana masih berlaku kebocoran apabila hujan.

Selain itu, penduduk juga mendakwa hanya empat buah pangsapuri Teratai di blok dua yang sempat dibaikpulih oleh syarikat kontraktor manakala selebihnya di blok satu masih belum dibaikpulih sepenuhnya.

Pada masa sama, penduduk juga mempersoalkan ke mana perginya dana bantuan sebanyak RM480,000 yang diperuntukkan oleh kerajaan Selangor seperti diumumkan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad pada 10 Februari lalu.

Menurut Penasihat Pangsapuri Teratai blok satu dan dua, Ahmad Kortubi Masduki, kerja membaikpulih bumbung blok satu dan dua pangsapuri Teratai ini dilihat tidak begitu memuaskan.

"Walaupun mereka kata dah siap, kalau siap pun tidak sempurna kerana banyak benda yang mereka perlu fikirkan.

"Sebab apa peruntukkan itu banyak, kalau setakat RM40 atau RM400 mungkin munasabah dengan apa yang mereka buat, oleh kerana peruntukkan besar RM480,000, maka tidak munasabah apa yang mereka lakukan," katanya.

"Kalau macam inilah keadaanya, yang untung mereka (kerajaan negeri) yang rugi penduduk sudahlah jadi mangsa, kalau nak buat (baikpulih) buatlah secara telus, jujur dan adil, itu yang kita nak.

Bukan kepentingan politik

"Sekiranya sehingga penghujung bulan tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berkenaan, mungkin barangkali akan ada pihak lain ambil alih, jangan salahkan mereka, mereka nak bantu bukan kepentingan politik, terus terang saya larang ia dipolitikan, sebab wang duit rakyat bukan duit kerajaan," ujarnya.

Ditanya sama ada peruntukan RM480,000 setimpal dengan apa yang dibaiki sekarang, Ahmad Kortubi menjelaskan bahawa kos membaikpulih yang telah dilakukan syarikat kontraktor tidak sampai RM100,000.

Bagi Norhafizi Yusof, 36, pula, rumahnya pula mengalami masalah gangguan tenaga elektrik dipercayai akibat lintar pintas ketika hujan ribut baru-baru ini.

"Kita nak naik ambil barang, bila buka suis (elektrik) tendang balik, sehingga kini saya belum masuk rumah dan sekarang hanya mendiami rumah sementara.

"Saya memang tidak puas hati, dalam perjanjian lain, pembaikan untuk semua pangsapuri sekali, tetapi tiada langsung, hanya blok dua yang dibaikpulih, blok satu langsung tiada," ujarnya.

Sementara itu, Umi Kalsom Anuar, 36, yang telah menetap di pangsapuri ini sejak 1999 menyifatkan kerja membaikpulih dilakukan syarikat kontraktor tidak sempurna dan sekadar 'ala kadar'.

"Saya naik memang tengok dah repair kat pintu ada calar, pintu tak tukar, dia janji dua bulan lebih tetapi tiada sebarang maklum balas menyatakan kami boleh duduk ke apa.

"Kami mahu jawapan daripada kerajaan negeri secepat mungkin sebab tiap-tiap bulan kami kena bayar di bank, macam mana dengan kerugian yang kami alami," tegasnya.

Mana pergi peruntukan RM480,000?

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) DUN Kota Anggerik, Kamarudin Ahmad melahirkan perasaan kecewa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang gagal menyiapkan kerja membaikpulih bumbung rosak itu.

"Penduduk yang kini ditempatkan di rumah sementara sudahpun diarahkan pulang ke rumah mereka dalam minggu depan, walhal kerja membaiki bumbung belum lagi dilaksanakan oleh kerajaan PR.

"Sedangkan bajet sebanyak RM480,000 telahpun diperuntukkan oleh kerajaan Selangor yang diumumkan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad pada 10 Februari lalu," katanya ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke pangsapuri Teratai di Taman Bukit Subang.

Pada masa sama, Kamarudin turut mempersoalkan ke mana perginya peruntukan untuk penyelenggaran pangsapuri Teratai sedangkan masih lagi ada kerja-kerja membaikpulih bumbung yang belum dilaksanakan.

"Saya memberikan kepastian kepada penduduk sekiranya kerajaan Pakatan gagal tunaikan janji mereka maka kerajaan BN akan campur tangan dan membantu penduduk menyiapkan kerja (membaikpulih bumbung) belum disudahkan," ujarnya.

Pada kejadian ribut jam 4 petang, 7 Februari lalu, bumbung sembilan unit Pangsapuri Teratai melayang sejauh 100 meter sehingga ke Pangsapuri Melor yang terletak bersebelahan.

Unit-unit kediaman di pangsapuri lain hanya mengalami kerosakan kecil. Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.

Kejadian yang berlaku selama 10 minit itu menyebabkan 100 penghuni terjejas dan kerugian harta benda termasuk ada beberapa kenderaan remuk dihempap bumbung dan pokok-pokok tumbang.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive