Penyanyi dan pelakon era 80-an, Noreen Noor yang menyepikan diri selama 12 tahun meluahkan hasrat untuk kembali aktif dalam bidang hiburan tanah air pada tahun ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Siang Terbayang Malam Merindu ini berkata selama tempoh itu dia terpaksa mengetepikan bidang seni demi memberi tumpuan kepada keluarga.
"Sejak menjadi ibu tunggal pada 1992, keutamaan saya adalah kepada dua anak yang sedang membesar, masalah kesihatan sendiri dan menjaga ibu bapa yang sakit.
"Kini orang tua sudah tiada, saya mahu aktif semula dalam bidang seni kerana minat itu tidak pernah lenyap," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Penyanyi yang kali terakhir muncul dengan album pada 1999 ini berkata, perancangan untuk mengeluarkan album sering tertangguh sebelum ini kerana dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan lagu yang sesuai.
"Kini saya sedang mencari lagu-lagu daripada beberapa komposer. Susah sebenarnya untuk mendapatkan lagu yang saya berkenan dan sesuai dengan selera pendengar hari ini.
"Saya perlu ikut trend muzik semasa. Kalau diikutkan saya sudah ada sebuah lagu tetapi perlu digubah oleh komposer yang sesuai agar ia menjadi lagu yang menarik," katanya.
Diusik mengenai status janda yang digalasnya hampir 20 tahun itu, Noreen berkata dia selesa bersendirian tanpa kekasih atau suami baru.
"Sejak jadi ibu tunggal saya jarang keluar atau berjumpa orang lain. Hidup saya hanya untuk keluarga sahaja.
"Memang ada juga yang cuba mendekati tetapi saya tidak mahu layan kerana lebih selesa dengan kehidupan begini. Walaupun sunyi tapi saya ada anak-anak," katanya.mstar.
- Posted using BlogPress from my iPad
No comments:
Post a Comment