Semalam Pas mula menggempur Kuala Besut dengan beberapa siri ceramah serentak ketika Barisan Nasional (BN) sebaliknya pula meningkatkan program usrah dan ziarah.
Dan malam di sekitar pekan nelayan dan pelancongan ini sudah mulai sesak dengan penonton politik yang datang dari serata ceruk mencari keseronokan - mula memberi gambaran sebenar tentang lazimnya kemeriahan suasana kempen terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi ia dilihat amat penting bagi kedua-dua parti bersaing.
Semalam juga, dendangan yang dimainkan oleh Pas juga sudah bertukar rentak; rentak baru yang mula diletakkan asas oleh Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Husam Musa tanpa diiringi sebarang fatwa baru yang menyusahkannya sebagaimana baru-baru ini.
Beliau yang mula disorot sebagai bakal memikul jawatan presiden bagi memberi nafas baru kepada masa depan parti itu kelak, seimbas lalu bagaikan turut memperjudikan nasibnya d Kuala Besut yang menjadi kubu kuat BN.
Kemenangan dan kekalahan kontraktor dan pemilik setor kayu, Endot@Azlan Yusof yang dikatakan banyak sumbangan kepada tabung parti itu nanti mungkin turut menentukan momentum perjalanan politiknya setelah pengaruhnya di Kelantan semakin dikikis dan kelihatan makin jauh dari beranda kuasa.
Bagi Husam, PRK kali ini cukup sukar untuk dimenangi semula setelah kali terakhir menguasai dalam Pilihan Raya Umum 1999 biarpun penantian itu dipercepatkan dengan kematian penyandangnya Allayarham Dr. A. Rahman, anak nelayan Pulau Perhentian yang ternyata cukup lurus memikul tanggungjawab politik.
Kesempatan yang terbuka bagi Pas kali ini cukup luas kerana bukan sekadar menambah kerusi tetapi juga peluang untuk kembali menguasai negeri tanpa perlu menunggu lima tahun lagi, atau sekurang-kurangnya terus mengelorakan politik Terengganu.
Namun dengan sambutan bersahaja penduduk setempat terhadap kempen yang bermula pada 12 Julai lalu, ini memberi gambaran yang agak mendesak.
Lalu apakah langkah yang terbaik bagi menyakinkan pengundi Kuala Besut yang kebanyakanya nelayan agar tidak terus menjadi ikan `dukang'
yang memakan apa sahaja bersama kail yang dilontarkan oleh Barisan Nasional sebagaimana yang diingatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Husam mengatur strategi dengan rentak memujuk mereka agar mengalihkan sokongan kepada Pas kali ini kerana kemenangan tidak akan berubah apa-apa dengan kesediaan parti itu untuk terus memberi peluang kepada Barisan Nasional (B) kekal memerintah walaupun kedudukan kerusi yang seimbang.
Dilihat seakan memain pendekatan psikologi `lunak' bagi menguasai kawasan kubu kuat UMNO itu dengan memberi gambaran bahawa parti itu tidak begitu ghairah untuk merebut kuasa kerana sekadar mahu menang.
No comments:
Post a Comment