Panel hakim yang diketuai oleh Datuk Ramly Ali meluluskan permohonan Karpal itu dan berkata seorang hakim baru akan dilantik esok.
Peguam Anwar, Karpal Singh memberitahu mahkamah bahawa Tengku Maimun pernah membatalkan saman fitnah Anwar terhadap mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam kes Mahkamah Tinggi pada tahun 2007.
"Kami telah membuat satu permohonan untuk mendapat satu perintah untuk Tengku Maimun menjadi satu antara tiga panel hakim diketepikan," Karpal Singh katanya.
Karpal berkata saman fitnah yang dibatalkan oleh Tengku Maimun itu turut membabitkan kes liwat Anwar, justeru adalah wajar beliau berundur daripada kes rayuan ini.
Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar satu lagi permohonan Karpal - kali ini untuk menggugurkan Datuk Seri Mohamad Shafee Abdullah sebagai pendakwaraya utama dalam rayuan berkenaan.
Shafee adalah peguam bela bebas yang dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk mengendalikan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 9 Januari tahun lalu.
Peguambela Anwar menyifatkan Shafee sebagai peguam Umno dan tidak harus diupah menggunakan dana awam untuk mengendalikan kes kerajaan.
Anwar didakwa meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Ketika membebaskan Anwar, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata sungguhpun berlaku penetrasi pada dubur Saiful, bukti-bukti sokongan termasuk yang membabitkan sampel DNA tercemar.
Beliau berkata mahkamah tidak yakin sepenuhnya berhubung integriti sampel-sampel DNA Saiful kerana kemungkinan ia terjejas sebelum di analisis oleh Jabatan Kimia.
Ini tuduhan liwat kedua terhadap Anwar. Pada tahun 2000 Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun kerana didakwa melakukan kesalahan sama terhadap bekas pemandunya.
Bagaimanapun selepas enam tahun dipenjara, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar pada tahun 2004 kerana mendapati keraguan dalam keterangan saksi dan tertuduh. ANTARAPOS
No comments:
Post a Comment