Setiap manusia dimuka bumi Allah pastinya melakukkan kesalahan. Itulah sifat manusia yang serba kekurangan. Bagi MKP jika pemimpin meminta maaf diatas kesilapan yang telah dilakukan itu adalah baik dari menafikan kesalahannya.
Namun, dalam meniti hari dan berhadapan dengan individu sudah pasti cabaran memohon maaf dan memaafkan ini menjadi satu perkara yang agak sukar dan rumit. Berhadapan dengan manusia yang mempunyai sifat ego yang tinggi merupakan satu cabaran yang besar bagi individu lain. Jika diri kita yang ego, maka kita akan sukar untuk memohon maaf, dan jika di pihak orang lain yang melakukan kesalahan kepada kita, maka kita akan sukar memaafkannya.
Namun, semulia manakah sifat ego ini di sisi Allah S.W.T?
Telah banyak dijelaskan di dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W mengenai meminta maaf dan memaafkan. Namun sudah pasti, di dalam hati kita yang telah mati dengan rasa malu kepada Allah tidak akan mengendahkan tuntutan yang amat digalakkan oleh Allah dan Rasul.
Tiada manusia di dunia ini yang dapat lari dari melakukan kesilapan. Larinya kita dari sifat kebergantungan kepada Yang Maha Esa pasti akan menjerumuskan kita dengan kesalahan sama ada sesama manusia atau yang lebih berat dengan Allah S.W.T
Namun, pintu pengampunan dan rahmat Allah sangat besar buat hambaNya sebagaimana yang dijelaskan di dalam ayat di bawah.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [39:53]
Lalu bagaimana pula kita sebagai sesama manusia dalam maaf dan memaafkan kesalahan lain selain dari kesalahan besar yang dinyatakan?
Telah dijelaskan juga mengenai perkara ini dalam Riwayat At-Tabrani. Albani : Dhoif.
"Sesiapa yang dipohon kemaafaannya (dengan ikhlas), dan ia menolaknya, maka yang menolak tidak akan dapat merasai telaga Nabi Saw di akhirat kelak."
Adapun bagi kesalahan lain melainkan yang telah dijelaskan, ia bukanlah satu kesalahan yang sangat besar sehingga terdapat peruntukan hukuman Allah di dunia ini. Justeru, apabila si pesalah mengaku salah dan memohon maaf, amat digalakkan untuk memaafkannya.
Adapun memaafkan kesalahan orang lain adalah sangat dituntut dalam Islam sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:
Ertinya : "Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar. " ( An-Nahl : 126 )
Sesungguhnya kita sudah mengetahui bahawa Allah S.W.T itu sangat pengampun melainkan dosa-dosa syirik kepadaNya.
Jika kita sedari, dan merenung setiap perilaku kita di dunia ini pasti kita akan menitiskan air mata bahawa lemahnya kita tanpa bimbingan Yang Esa. Dan jika kita sedar yang kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan pasti sifat meminta maaf dan memaafkan itu akan wujud di dalam diri kita.
Bagaimanapun ada yang menjelaskan memaafkan musuh itu lebih mudah dari memaafkan sahabat atau keluarga terdekat. Ya memang benar. Kerana musuh itu kita tidak pernah mempunyai jalinan mesra, sedangkan sahabat atau keluarga itu adalah insan yang kita sayangi. Dan jika ada di antara mereka yang melakukan kesalahan pasti menjadi satu perkara yang amat menyakitkan dan sukar untuk kita terima.
Namun hakikat yang harus kita telan walaupun sangat pahit, dia juga manusia seperti kita. Dia dan kita tiada bezanya. Renungilah perbuatan kita sebelum mengambil jalan untuk tidak memaafkan. Adakah kita terlalu sempurna untuk tidak memaafkannya? Tidak pernah melakukan kesalahan? Maha Suci Allah sesungguhnya, kita juga terdiri dalam kalangan yang sama yang tidak akan terlepas dari kesalahan.
Dengan memberi kemaafan sudah pasti jiwa kita akan menjadi tenang. Meminta maaf akan membuatkan kita sedar yang diri kita adalah kerdil.
Allah SWT berfirman bermaksud:
Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya atas tanggungan Allah.” (Surah asy-Syura, ayat 40).
Daripada Uqbah Amir, dia berkata:
“Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Uqbah, bagaimana jika aku beritahu kepadamu mengenai akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama?” Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi terhadap orang yang tidak mahu memberi kamu dan maafkanlah orang yang menzalimi dirimu.” (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan al-Baghawi).
Memaafkan akan memacu keadaan baik dalam diri. Dorongan dari sifat maaf ini akan mengekalkan diri kita dalam keadaan yang lebih sihat, penuh harapan dan percaya pada diri sendiri. Maaf dan maafkan kesalahan yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment