Wednesday, November 9

Boria, Francis Light, dan Koh Tsu Koon



Bayangkan satu senario di mana sebaik sahaja Francis Light menjejakkan kakinya di bumi Pulau Pinang kira-kira 150 tahun silam, ribuan penduduk menyambut beliau dengan persembahan dan nyanyian boria: “Lainlah buluh, lainlah parang. Lain dahulu, lain sekarang. Tuan Light sudahlah datang. Kami nak serah, Pulaulah Pinang. Yay!!”
Namun hal seumpama ini tidak berlaku dalam sejarah. Malah tidak ada rekod seni persembahan boria itu adalah merupakan budaya tempatan melainkan diimport sebagaimana Francis Light itu mengimport dirinya ke Pulau Pinang.
Apapun catatan sejarah menunjukkan Light menguasai Pulau Pinang setelah memperdayakan Sultan Kedah. Dan kemunculan beliau, bukan sahaja merobah lanskap rupa bumi pulau berkenaan tetapi turut merobah demografi, budaya sosial serta set minda penduduknya hampir untuk selama-lamanya.
Justeru di atas sebab inilah juga barangkali askar-askar Inggeris diarahkan oleh pihak berwajib British agar mengimport persembahan boria dari India dan memaksa penduduk tempatan ketika itu mengubahsuaikannya agar dapat diterima di sepanjang zaman kelak sebagai satu budaya tempatan yang lahir dan berasal dari Pulau Pinang.
Itulah kebijaksanaan penjajah. Penipuan tidak semestinya secara langsung tetapi secara tidak langsung dan cukup halus.  Paling penting, segala penipuan, tipu daya dan putar belit mestilah berkeupayaan  kekal untuk selama-lamanya.
Kita tak perlu menyelongkar khazanah sejarah bagi mempertahankan tentang asal-usul boria kerana ia semacam tidak lagi relevan dalam konteks Pulau Pinang.  Ini kerana bagi kebanyakan penduduk Melayu pulau negeri tersebut, hampir semuanya sudah tiada lagi kecuali boria.
Sultan Kedah dan penduduk negeri “jelapang padi” waktu itu,  mempunyai sebab untuk tidak merestui kehadiran penjajah berkulit putih itu. Benarlah dasar penjajah seperti kata pepatah lama, diberi betis,hendakkan peha dan  benarlah Francis Light seperti juga macam Belanda—mulanya mendapat seinci tanah, kemudian lama kelamaan habis satu negeri dijadikan tanah jajahan. Tak cukup dengan sebuah pulau, sebahagian tanah besar Kedah juga dijadikan milik mereka dan diberikan nama Province Wellesley (kini Sebarang Perai).
Penduduk Cina di Pulau Pinang tidak kisah sikap Inggeris dan Francis Light kerana kedatangan mereka ke pulau itu adalah untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan masa depan yang lebih baik.
Orang Melayu sebagai  penduduk asal selain kehilangan sumber pendapatan malah mereka kini terpaksa hidup berketuakan Inggeris, bukan lagi Sultan dan harus patuh kepada segala garis panduan dan peraturan hidup yang ditetapkan penjajah pula.
Dalam sekelip mata  Sultan dan rakyat Kedah kehilangan sebahagian dari sebuah  negeri dan di samping itu mereka juga kehilangan bebebasan manakala orang Melayu Pulau Pinang kehilangan sejarah “who’s who” orang-orang melayu di pulau itu. Kini dari senarai 20 orang-orang terkenal di Pulau Pinang, tiga empat kerat  saja Melayu manakala yang lain-lain terdiri dari bukan Melayu termasuklah pereka kasut dan juga jaguh badminton.
Tidak ada usaha oleh orang Melayu sendiri menulis sejarah mereka selain dari bergantung kepada “tulisan dan rujukan” yang disediakan bukan Melayu.
Sejarah kedatangan Inggeris ke pulau ini dikaitkan dengan permulaan “open war” antara orang Melayu dan Inggeris yang mana seperti diketahui, kita tidak pernah menang. Kalau menangpun kita sekadar menang dalam hal-hal rundingan. Maka seperti kita ketahui kalau setakat keris dan parang bukan saja tidak dapat menghalau penjajah dari bumi mereka bahkan anjing yang dibawa penjajahpun boleh mentertawa melihat keupayaan orang Kedah mendepani askar-askar Ingeris yang dilengkapi senjata yang secara relatifnya dianggap canggih.
Sejarah Pulau Pinang hari ini adalah sejarah ketidakupayaan orang-orang Melayu menentang Inggeris yang datang dengan niat hendak menjajah mereka. Seperti umum ketahui negeri itu asalnya milik Kesultanan Kedah tetapi bertukar tangan pada 1786 setelah diserahkan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa, kepada Inggeris sebagai pertukaran  mendapat perlindungan dari serangan Siam dan Burma. Inggeris bukan saja berjaya menguasainya, pada 11 Ogos 1786,  Francis Light menukar namanya kepada Pulau Prince of Wales serta “tanjung” mendapat nama Georgetown.
Sejak dari tarikh keramat itu, Kedah bukan saja kehilangan sebuah “pearl of the orient” atau mutiara timur, Kedah juga kehilangan sumber kekayaan dan lebih perit orang-orang Melayu juga mendapat “tuan” baru. Maka sejarah juga memperlihatkan bagaimana Pulau Pinang yang mulanya dihuni orang Melayu,mula menerima kemasukan orang Cina dan India dan akhirnya orang Melayu kekal sebagai kaum minoriti di situ.
Justeru hari ini, Pulau Pinang sudah terlepas peluang untuk kembali di bawah naungan Kedah bahkan cucu cicit Francis Light pun tidak peduli. Keresahan orang-orang Melayu bertempat berbanding masyarakat Cina. Semakin hari semakin merosot pengaruh orang Melayu di pulau itu dan semakin lama semakin terpinggir mereka ditempat yang pernah mereka anggap sebagai sebuah surga. Setiap kali ada usaha memperjuangkan nasib mereka dibuat, ada pihak menganggap Melayu di sana terlalu dimanja-manjakan.
Hakikatnya bukannya orang Melayu tak mahu memperbaiki diri dan masyarakat tetapi tekanan serta penindasan seperti berjadual. Bahkan isu yang sering dijadikan “hantu” menakut-nakutkan pengundi Cina ialah UMNO mahukan semula jawatan Ketua Menteri. Pilihanraya umum ke-13 dilihat sebagai berakhirnya kekuasaan calon Cina sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan selepas tarikh itu, calon dari UMNO bakal menggambil alih.
Dengan demikian orang Cina tanpa mengira fahaman politik serta parti yang ditunjanginya akan berdiri mempertahankan status quo. Pulau Pinang dilihat kini milik mereka malah milik mereka selama-lamanya dan  jawatan Ketua Menteripun dianggap hak mutlak yang tidak boleh ditawar menawar lagi.
Tidak, Pulau Pinang masih gah dipersada dunia bahkan akibat tsunami lima tahun lalupun negeri itu muncul macam yang kita biasa saksikan di kaca tv. Bagi orang Melayu banyak benda yang berubah sejak beberapa tahun kebelakangan. Kalau ratusan tahun lalu, sultan mereka adalah sultan Kedah namun, kini ia hanya ada Yang diPertua (atau Gabenor) serta Ketua Menterinya adalah dari orang Cina. Sebab itu ada juga budak-budak nakal menyamakan Pulau Pinang macam Singapura, itupun sekadar dinyanyikan dalam pertunjukan boria di kampung-kampung.
Hari ini sesiapa yang berjalan di Penang Road ataupun berada di Batu Maung tentu akan mendengar orang bercakap tentang politik tempatan. Selain bercakap tentang betapa angin perubahan mulai bertiup melepasi jambatan Pulau Pinang, mereka juga  bercakap tentang masa depan Tan Sri Koh Tsu Koon. Ramai yang mahu melihat Pulau Pinang diperintah oleh Ketua Menteri baru, bukan Guang Eng dan bukan juga Tsu Koon.
Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak macam ada “bola Kristal” yang selain dapat melihat malah boleh membaca apa yang tersirat dalam hati penduduk tempatan. Maka pengumuman Najib bahawa UMNO tidak akan menuntut jawatan Ketua Menteri walaupun BN kembali memerintah mengandungi maksud tersirat.
Mungkin kenyataan Najib membuatkan masyarakat Melayu, buat masa ini, terkilan namun jangka panjang, orang-orang Melayu di pulau itu akan nampak hakikat yang tersirat. Pendek kata Najib bukan boleh dibuai dengan lagu-lagu boria semata-mata.Ada perkara yang lebih besar dan signifikant bermain difikirannya.
Dan ia bukan lagi dalam bentuk Francis Light jelmaan, atau Koh Tsu Koon jadi-jadian tetapi dalam erti kata yang lebih saksama kepada semua.-

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive