Sama ada rasa goyang kerana khuatir pertandingan tiga penjuru, ahli parlimen PKR Balik Pulau, Yusmadi Yusof pelawa Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyertai pembangkang jika mahu mengubah kerajaan sedia ada.
Bagi beliau, jika PRM mahu memperjuangkan nasib penduduk Balik Pulau, eloklah bersama-samanya mencari jalan membantu mereka selepas mendakwa Barisan Nasional gagal membela nasib penduduk kawasan tersebut.
Yusmadi percaya dengan muafakat PRM dan Pakatan Rakyat, BN boleh dikalahkan dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, jika muafakat ini melihatkan kelebihan kepada calon PRM, beliau terbuka jika pucuk pimpinan PKR memutuskan sama ada beliau kekal bertanding atau tidak.
“Bagi saya, jika dalam permuafakatan itu menguntungkan (Presiden PRM) Dr Rohana (Ariffin) saya terbuka (beri laluan) tapi kalau dalam masa sama ada kelebihan saya dan PKR, adalah tanggungjawab saya duduk dengan sesiapa saja yang sayangkan Balik Pulau untuk pastikan agenda pembangunan di situ,” katanya.
Yusmadi mengadakan sidang media di lobi parlimen Selasa bagi menjawab hasrat PRM untuk bertanding di tiga kawasan parlimen dalam PRU termasuk di Balik Pulau selain Selayang dan Petaling Jaya Selatan.
Tiga kerusi itu dikuasai PKR dalam PRU ke 12.
Menjawab soalan Agendadaily, Yusmadi menafikan beliau takut tewas lalu mencadangkan PRM bergabung dalam pakatan pembangkang.
“Soal takut tidak timbul. Yang saya takut agenda itu akan merugikan rakyat. Secara peribadi saya tak takut kerana saya menang. Bila saya melihat ada ruang untuk memantapkan sokongan rakyat saya buka ruang tapi kalau merugikan rakyat saya kena pastikan ini tak berlaku,” katanya.
Mengenai khabar angin kononnya beliau sedang mengintai kerusi di Lembah Klang dan mahu melepaskan kerusi Balik Pulau, Yusmadi berkata, beliau belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Persoalannya jika pembangkang menerima PRM dalam pakatan mereka, sudah tentu soal pembahagian kerusi antara PKR,DAP dan PAS yang belum lagi selesai akan huru hara.
Ini kerana pakatan rakyat kena beri tiga kerusi yang PRM minta untuk bertanding.
Memandangkan semua kerusi itu milik PKR, persoalannnya apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkannya?
Sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan, maka pilihan raya umum yang dijangkakan seawal tahun depan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara kedua-dua parti berkenaan dan BN.
Dalam pada itu, Rohana menegaskan PRM mempunyai hak demokratik untuk bertanding di tiga kerusi yang kini dikuasai PKR dalam pilihan raya umum akan datang; dan sekiranya Pakatan Rakyat menolaknya, itu "masalah mereka".
"Sekiranya pembangkang tidak bersedia berunding, itu masalah mereka," katanya.
Beliau berkata, pembangkang tidak seharusnya menekan "seperti yang dilakukan kerajaan".
Beliau berkata, pembangkang tidak seharusnya menekan "seperti yang dilakukan kerajaan".
PRM kelmarin mengumumkan akan bertanding di Balik Pulau, Selayang dan Petaling Jaya Selatan yang dipegang Yusmadi, William Leong dan Hee Loy Sian.
No comments:
Post a Comment