KALAU diturutkan puak pembangkang, 'benang yang basah pun boleh ditegakkan', termasuklah dalam memperkatakan sehingga memberi gambaran buruk tentang projek pemprosesan logam tanah jarang, Lynas bernilai RM2,300 juta di Gebeng, dekat sini.
Di sebalik sekadar 'minoriti lantang' (vocal minority) yang bermatian-matian berusaha mewujudkan persepsi negatif terhadap projek oleh Lynas Malaysia Sdn. Bhd. itu, mereka berjaya juga mempengaruhi segelintir penduduk Kuantan khususnya masyarakat Cina.
(Minoriti lantang ialah segelintir individu yang sering meluahkan pendapat mereka kepada khalayak, bertentangan dengan majoriti senyap yang merupakan sebahagian besar masyarakat namun jarang meluahkan pendapat mereka).
Inilah kejayaan mereka yang hendak dipertahan dan dikekalkan, lalu mereka sentiasa merangkakan aktiviti baharu agar 'momentum' yang ada tidak terencat, sebaliknya disemarakkan dari satu tahap, ke satu tahap lain.
Yang terbaharu ialah dengan mencadangkan debat mengenai isu ini dianjurkan, kononnya supaya orang ramai dapat membuat penilaian tersendiri tentang projek yang ditohmahkan sebagai amat berbahaya kepada keselamatan dan kesihatan.
Maka, tidak adalah yang lebih menarik perhatian terhadap debat ini daripada Ahli Parlimen pembangkang dari Kuantan, Fuziah Salleh, menawarkan untuk beradu-debat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.
Seperti sudah terhidu dengan strategi terbaharu inilah, Adnan yang diminta mengulas tentang gesaan berdebat itu semasa ditemui oleh wartawan pada satu majlis di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), 17 Januari lepas, telah menyahutnya secara positif namun menegaskan;
"Awak sendiri lihat betapa penentang-penentang projek Lynas ini, kita telah pun berikan kepada mereka segala fakta, segala penerangan yang dilakukan oleh pakar-pakar nuklear, pakar radiasi tetapi mereka masih tidak dapat terima.
"Apakah maknanya ini? Mereka ialah golongan yang bersikap tidak peduli apa. Kepada golongan sebegini, kita boleh berikan segala penjelasan tetapi jika mereka terus bersikap tidak peduli apa, agama saya sarankan agar kita tidak perlu bertikam lidah, kita tidak perlu untuk memberi sebab-musabab (reason-out) kepada mereka".
Tepat sekali kata-kata Adnan itu, dan beliau sudah tentu tahu apa yang dikatakannya kerana sebelum inipun - lama sebelum projek pemprosesan logam tanah jarang ini menjadi isu sebagaimana sekarang; beliau juga pernah bertemu dan berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Ahli Parlimen wanita itu.
Hasil daripada itulah yang turut menyumbang kepada keputusan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membawa pakar-pakar bebas mahupun yang bernaung di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan ke atas projek itu pada Jun lepas.
Akhirnya, pakar-pakar ini memutuskan bahawa projek ini adalah selamat, dan dalam masa yang sama mengemukakan 11 cadangan antaranya mengenai keperluan kerajaan untuk meneruskan lagi kerja-kerja perhubungan atau perundingan (engagement) agar masyarakat dapat faham tentang selamatnya projek ini.
Jika debat yang dicadangkan pula kini ialah bagi memenuhi kehendak untuk perhubungan atau perundingan itu, bagaimanakah dengan begitu banyak sesi perhubungan atau perundingan yang telah dilaksanakan selama ini sejak 2008 lagi?
Antara sesi tersebut, termasuk pada Julai 2009 lagi, apabila taklimat dianjurkan kepada ahli-ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat termasuk Fuziah, tetapi beliau tidak hadir sebaliknya menghantar seseorang sebagai wakilnya.
(Dan projek ini hanya menjadi isu selepas akhbar asing - New York Times menyiarkan laporan negatif berunsur fitnah terhadapnya pada 8 Mac lepas (2011), dikutip dan disiarkan sepenuhnya dua hari kemudian pada 10 Mac oleh akhbar tempatan, The Star; dan diburukkan dengan kejadian kebocoran yang berlaku ke atas reaktor nuklear di Fukushima, Jepun hanya sehari selepas itu, pada 11 Mac).
Jika pembangkang asyik melalak tentang keperluan untuk semua pihak mematuhi cadangan IAEA tentang keperluan untuk terus menganjurkan perhubungan atau perundingan tersebut, kenapa pula puak pembangkang tidak mahu menerima dan patuh kepada dapatan IAEA yang sama tentang selamatnya projek ini?
Sebenarnya, debat yang dicadangkan kali ini ialah alternatif puak pembangkang sendiri kepada majlis perjumpaan ala town-hall yang pernah dianjurkan menerusi perantara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Dagangan Mahkota dekat sini, pada April lepas lagi.
Hanya sempat bertahan selama tiga kali penganjuran, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguh kemudian membatalkannya terus, berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh mereka yang hadir secara bebas, kebanyakannya pula dengan pre-judged mind lalu tidak mahu terima apa juga penjelasan yang diberikan.
Belajar daripada insiden pahit tersebutlah, bermula sebaik-baik selepas IAEA membuat pengumumannya pada 30 Jun lepas, sesi-sesi perhubungan atau perundingan kemudian diadakan secara kelompok ke kelompok khusus tertentu dengan yang pertama, melibatkan anggota komponen Barisan Nasional (BN).
Pada perjumpaan yang diadakan di Dewan, Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini, puak-puak penentang ini tetap datang tanpa diundang, dengan matlamat tentunya untuk mengecohkan keadaan seperti mana di Kompleks Dagangan Mahkota.
Namun, sesudah menyedari betapa mereka sekadar membentuk sekumpulan kecil hadirin dalam kalangan anggota BN yang sudah tentunya lebih ramai, yang boleh puak penentang ini lakukan ialah sekadar diam menikus!
Penulis melihat cadangan puak pembangkang kepada penganjuran debat kali ini ialah kerana mereka ternampak wujud kelemahan di pihak kerajaan yang dilihat terlalu accomodative terhadap apa juga yang mereka kehendaki selama ini.
Sedangkan, apa yang telah dilakukan adalah lebih daripada memadai sungguhpun pada setiap kali juga, kerajaan tentunya sedar tentang taktik licik puak ini yang sering gemar 'mengubah tiang gol' (changing the goal post).
Maka, haruskah kerenah mereka perlu dilayani lagi termasuk dalam memenuhi gesaan mereka terhadap Adnan untuk mengadakan debat, yang pasti tidak akan mendatangkan apa-apa faedah itu?utusan.
RCI Pulau Batu Puteh: Siapa Sebenarnya Yang Menipu?
-
RCI Pulau Batu Puteh: Siapa Sebenarnya Yang Menipu? Tuduh menuduh, tuding
menuding jari antara Dr Mahathir dan 3 bekas menteri kabinet beliau semakin
h...
No comments:
Post a Comment