Wednesday, September 21

Guan Eng Bacul Jika Tak Saman BN.



Barisan Nasional (BN) mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya mengotakan hasratnya untuk menyaman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta syarikat Tropical Island Resort (TIR) berhubung kegagalan anak syarikat Urban Development Authority (Uda) itu membayar lebihan premium tanah berharga RM10.6 juta.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata, perkara itu (saman) sudah lama diperkatakan Guan Eng namun sehingga sekarang, tiada sebarang ‘khabar berita’ berhubung kes saman itu.


Hock Nan berkata, Guan Eng dilihat tidak berhenti daripada mengedarkan risalah yang mengandungi fakta tidak tepat kepada rakyat selain tindakan itu hanya untuk mengalih perhatian daripada kelemahan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya rakyat tidak sedar akan hal itu.

“Sebagai kerajaan yang bermaruah, tindakan berkenaan adalah tepat daripada terus menyebarkan risalah yang mengandungi fakta tidak tepat kepada rakyat. Dia sepatutnya tunjuk sikap bertanggungjawab sebagai pemimpin (Ketua Menteri), bukannya seperti ahli politik mentah. Jika dia rasa BN salah, saya cabar dia bawa perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mahkamah, samanlah. Namun apa yang berlaku sebaliknya, dia sanggup buat fitnah, guna duit rakyat sebar risalah berbohong.

“Saya cabar Guan Eng saman Tsu Koon dan TIR sepertimana yang beliau selalu sebut. Jika dia mengatakan hendak saman sebab gagal untuk bayar lebihan premium, kotakanlah. Jangan suka-suka sebut dalam sidang media sahaja. Jika dia benar ada maklumat yang sah, kita minta dia buat laporan polis dan kepada SPRM,” katanya kepada media selepas menyertai Program Walkabout Bersama Barisan Pemimpin BN negeri di Pasar Chowrasta semalam.

Sementara itu, Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Loga Balan Mohan berkata, Guan Eng diminta supaya membuat laporan polis dan SPRM jika beliau merasakan BN terlibat dengan perkara yang salah seperti yang diperkatakan dan bukannya mengulangi memperkatakan perkara yang sama.

“Jangan hanya pandai cakap kepada rakyat, BN tidak betul, BN terlibat dengan rasuah dan sebagainya. Jika dia berani, saya cabar dia buat laporan polis dan SPRM. Jangan terus-terus bersandiwara dengan rakyat dengan memburukkan BN.

“Dia cakap BN tipu rakyat, Kerajaan Negeri sebenarnya yang menipu rakyat, dan kita sudah ada bukti iaitu kerugian lebih RM480 juta yang perlu dibayar rakyat Pulau Pinang terhadap perjanjian konsesi Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (Spice). Jangan hanya cakap sahaja, bertindaklah. Kita tidak ada masa untuk melayan semua ini,” katanya.

Mac lalu, Guan Eng mengumumkan bahawa mesyuarat Exco yang diadakan memutuskan untuk menyaman TIR kerana gagal untuk melunaskan bayaran premium tanah yang bernilai RM10.6 juta iaitu nilai keseluruhan tanah 32.4 hektar di Pulau Jerejak itu bernilai RM12.9 juta.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive