Tuesday, September 6

MAT SABU dikecam Oleh Askar Zaman British.



Beberapa orang bekas askar zaman pemerintahan British menyelar sikap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kerana mempertikai pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara serta menjaga keselamatan rakyat ketika itu.

Mereka berkata kepakaran yang diperolehi telah dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk mempertahankan negara tetapi juga selepas perang dengan kepakaran itu digunakan dalam sektor lain untuk memajukan negara.
“Pengorbanan yang dilakukan anggota pasukan keselamatan pada zaman British bukan untuk membela penjajah tetapi adalah demi kemerdekaan negara, kata Timbalan Presiden Persatuan Bekas Askar British Malaysia (PBAB) Abd Jabar Mukibat.


Abd Jabar, 70, berkata walaupun anggota keselamatan pada masa itu berkhidmat di bawah pentadbiran British, matlamat utama mereka adalah mempertahankan negara dan menjaga keselamatan rakyat.“Saya bukan menyebelahi British tetapi tengok bila Jepun serang Malaya mereka yang pertahankan, bila komunis datang darah siapa yang tumpah ke bumi,” 


Beliau berkata sekiranya pasukan keselamatan itu gagal dalam usaha mereka mempertahankan negara tentunya negara ini tidak akan mengecap nikmat kemerdekaan seperti yang dikecapi hari ini.


Katanya sikap sesetengah pihak mempersoal perjuangan anggota keselamatan di bawah pentadbiran British itu adalah ‘sikap berbahaya’ sekiranya dibiarkan menular kepada generasi muda masa ini.



“Saya bukan orang politik tetapi semua pihak kena buka buku sejarah lihat dan kaji siapa penjajah sebenarnya pada zaman Jepun dan komunis dulu,” katanya yang pernah berkhidmat dengan ‘Royal Corp of Signals’ antara 1957 dan 1970.
Seorang lagi bekas askar British, Abd Rahman Ahmad, 67, berkata walaupun negara mencapai kemerdekaan pada 1957 anggota keselamatan di bawah pentadbiran British masih berjuang mempertahankan negara.
Beliau berkata antara tahun 1963 dan 1964 pada zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, beliau dan pasukannya bekerjasama dengan komando British mempertahankan sempadan negara di hutan Sabah dan Sarawak.
“Niat pasukan saya pertahankan negara bukan pertahankan British, malah British hantar askar dia tolong kita berjuang pertahankan negara, masa itu negara sudah merdeka dan British tidak untung apapun sekadar tolong kita,” katanya.
Abd Rahman berkata tindakan pihak yang mempersoalkan pengorbanan beliau dan pasukan keselamatan lain di bawah pentadbiran British dalam mempertahankan negara amat ‘memedihkan hati’.
Beliau pernah berkhidmat dengan ‘Corp of Royal Electrical and Mechanical Engineers’ antara 1963 dan 1969 berkata tindakan pihak yang turut mempersoal gelaran pejuang kemerdekaan kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaafar, tidak boleh dimaafkan.
“Tanpa mereka berdua apa akan jadi kepada kita kepada anak cucu kita. Jangan kerana politik kita pusing sejarah kerana sejarah penting untuk anak cucu kita kenal siapa kita, negara kita,” katanya.












No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive