Pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu memang gemar menyenaraikan musuhnya di dalam fikiran seperti yang diluahkan dalam biografinya.
Bagaimanapun Lim Guan Eng bukan Lee Kuan Yew, mantan Perdana Menteri Singapura itu. Justeru itu, Dr Mansor bolehlah menganggap dirinya selamat buat masa ini dan berharap Guan Eng tidaklah menyimpan kesumat seperti Kuan Yew.
Namun gelagat Dr Mansor pada sidang media untuk membuat penafian bahawa beliau pernah mengutuk Guan Eng di belakangnya jelas menunjukkan betapa gemuruhnya beliau.
Dengan agak cemas tetapi jelas beliau mengisytiharkan tidak pernah mengata Guan Eng angkuh. Sebaliknya beliau memuji Setiausaha Agung DAP itu sebagai “Dewa Suci” yang amat disayangi oleh rakyat Pulau Pinang.
Jika demikian hakikatnya mengapa Dr Mansor apabila diserkap wartawan yang bertanya mengenai kebocoran minit mesyuarat beliau dengan pemimpin Cina PKR di sebuah majlis rumah terbuka hari raya tidak menolak khabar berkenaan?
Sebaliknya beliau dengan yakinnya mengatakan bahawa butir maklumat minit mesyuarat yang mengatakan PKR kurang senang dengan haloba politik DAP itu adalah “satu kebimbangan berasas” ahli-ahli PKR !
Ada di kalangan penyokong Guan Eng tidak senang dengan penyelesaian yang dianggap satu wayang. Apabila terasa ada ketegangan pada wajah Dr Mansor di sidang media kelmarin, Guan Eng cepat-cepat berdiri dan bersilang lengan dengan Dr Mansor dan Salleh Man (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) sebagai mempamerkan simbol keakraban DAP, PKR dan PAS.
Sebab itulah agaknya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lalu mengumumkan di Permatang Pauh bahawa Umno kini bimbang akan keakraban PAS dan DAP walaupun ada pihak cuma mengadu-dombakan kedua- dua parti itu menjelang pilihanraya umum ke-13 berhubung isu hudud.
Rupa-rupanya Anwar Ibrahim sendiri sudah dapat menghidu betapa DAP kini sudah semakin gusar akan bibit “kecurangan PKR” sendiri terhadap parti serpihan PAP yang pernah dipimpin oleh Lee Kuan Yew itu.
Keraguan DAP nampaknya tidak terhad kepada gelagat pemimpin PKR di Pulau Pinang sahaja. Sebab itu ia mengambil langkah berjaga-jaga? Jika tidak bagaimanakah laporan yang agak terperinci berhubung mesyuarat khas Dr Mansor dengan pemimpin PKR keturunan Cina Pulau Pinang boleh sampai ke pengetahuan DAP?
Mujur Dr Mansor tidak menggunakan formula standard Pakatan Rakyat dalam isu ini. Lazimnya apabila tersepit dalam isu ketidakjujuran sebegini pemimpin- pemimin Pakatan Rakyat akan menuding jari kononya ia adalah onar Umno dan BN. Mereka akan cuba mengalih pandangan rakyat kepada apa yang dikatakan kebejatan BN yang cuba melaga-lagakan mereka.
Ini kerana Dr Mansor sedar jika ia menggunakan perisai “salahkan Umno”, sudah tentu ia memberi pengesahan bahawa apa yang dilaporkan itu benar berlaku dan Dr Mansor memang ada mengutuk Guan Eng.
Budaya kutuk mengutuk ini memang rencah politik. Seharusnya Guan Eng dan DAP tidak perlu kecil hati dan menuntut penjelasan terbuka daripada PKR. Namun rasa curiga DAP adalah jelas agak sukar dapat dibendung lagi. Lantaran itu, DAP mendesak PKR tampil membuat penjelasan.
Ini kerana DAP semakin risau dengan sikap dan gelagat politik PKR khususnya Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim. Ketika DAP mahu perubahan total dalam amalan dan budaya politik Malaysia, Anwar masih mengamalkan pendekatan politik lama – beli pemimpin dan wakil rakyat pihak lawan.
Sebab itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sendiri mahu undang-undang lompat parti dikuatkuasakan.
DAP yakin akan menang besar kali ini. Namun kemenangan ini mungkin sirna dan tidak memberi banyak kelebihan politik bagi DAP dalam politik peringkat nasional.
Ini kerana jika aktiviti melompat parti Anwar ini dibiarkan, sudah tentu beliau akan dengan sewenang-wenangnya menggunakan senjata politiknya ini memancing wakil-wakil rakyat BN menyertai PKR!
Jika ini berlaku tentu ia akan terus meletakkan bilangan kerusi PKR paling besar dalam Pakatan Rakyat dan ini mengizinkan Anwar terus menjadi pengemudinya.
Ketika itu, agak mudah untuk Anwar mengocakkan sentimen Melayu-Islam dalam PAS dan memimpin tangan parti itu untuk mengukuhkan dominasi beliau dalam sebuah kerajaan tanpa Umno tetapi disandarkan sokongan kepada wakil rakyat Umno dan parti serpihan di Sabah dan Sarawak yang melompat.
Jika demikian perkiraannya tentu ini membayangkan bahawa Guan Eng pun kini sudah belajar membuat catatan mental siapakah yang akan dimasukkan dalam senarai seteru politik beliau dan DAP di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment