Tuesday, August 20

MB TIDO BAKAL MAKAN ANWAR IBRAHIN DIDALAM TIDO..........?


Ramai yang silap menilai kebolehan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai seorang ahli politik. Mereka beranggapan oleh kerana beliau sering tergagap ketika berpidato, ia mencerminkan pemikiran politik beliau juga tidak lancar dan kurang tangkas.

Umumnya di kalangan pesimis terhadap kemampuan politik Khalid ini hanya memberi kredit kepada beliau sebagai seorang ahli korporat. Sebab itu ramai menganggapnya hanya sesuai mengurus Selangor yang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi negara dan tidak lebih daripada itu.

Kekhilafan ini dilakukan oleh ramai kalangan pemimpin politik PKR. Diselindungi oleh kegagapan pertuturannya, jalur pemikiran politik beliau sebenarnya tersusun dan bernas. Malah ia cukup ampuh untuk melumpuhkan gerak politik pesaingnya, termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Adakalanya kegagapannya itu digunakan Khalid sepenuhnya agar saingan politiknya memandang rendah pada kemampuannya berpolitik. Mereka meremehkan idea-idea politiknya dan lazimnya berkesimpulan Khalid adalah seorang politikus “lightweight” dalam gelanggang politik.

Anwar pandang rendah pada Khalid

Anwar menganggap Khalid sebagai “kerbau yang mudah ditindik hidung” apabila melantiknya menjadi Menteri Besar pada 2008. Baginya Khalid akan menjadi pengurus yang baik. Soal politik serahkan pada beliau dan parti.

Lantas apabila Khalid agak keberatan melayan tuntutan PKR dan beberapa pemimpinnya supaya “berbelanja” sedikit untuk parti, Khalid disifatkan sebagai seorang yang naif politik.

Justeru secara wewenang Anwar “menghimpit” Khalid supaya melantik dirinya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dengan elaun RM1 sebulan. Tujuan Anwar apabila beliau memegang jawatan berkenaan akan lebih mudah baginya “mengarahkan” Khalid supaya mengurus kewangan Selangor mengikut cara dan keperluan beliau dan PKR.

Sebenarnya Khalid adalah pemain politik yang cekap. Dengan menonjolkan imej pemimpin yang agak “berserabut” beliau menyembunyikan kuku politiknya.

Baginya politik ialah sebahagian kecil sepak terajang dunia korporat. Dalam membuat “jual beli” perniagaan taktik lakonan sebegini amat penting. Khalid berjaya melaksanakan formula ini dalam politik.


Anwar sedar “lagak bodoh” begini berhasil mengukuhkan kedudukan Khalid. Azmin Ali yang pada 2010 dilantik Pengerusi Majlis Kepimpinan Selangor juga pada mulanya beranggapan seperti Anwar dan menyangka beliau mampu menjinakkan Khalid.

Politik Khalid mudah, selamba, bisa

Namun jenama politik Khalid agak selamba dan bisa menyusahkan saingannya. Politiknya mudah. Jika beliau tidak berkenan dengan seseorang ahli politik, beliau akan cuba mengelak berkonfrantasi dengannya. Lebih halus lagi beliau akan cuba mewujudkan benteng di antara dirinya dengan ahli atau institusi politik yang kurang senangi itu.

Maka beliau pun mengetepikan Setiausaha Politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah menjadi pembantu Anwar Ibrahim. Khalid menggantikannya dengan Faekah Husin yang memang terkenal dengan kelantangan dan keceluparan bicaranya.

Maka jika beliau rimas cuba diasak dan ditekan oleh Biro Politik PKR, Khalid akan memilih untuk “ponteng”. Maka segala arahan parti akan disampaikan kepadanya sama ada menerusi Faekah atau panggilan telefon sahaja.

Jika arahan itu datang daripada Anwar Ibrahim sendiri, maka Khalid tidak akan membantah. Perintah Anwar akan diakuri. Namun soal pelaksanaan adalah perkara kedua. Khalid amat mahir cara memuaskan hati pelanggan dalam dunia korporat. Maka beliau akan akur di depan Anwar dan parti namun tidak semestinya beliau melaksanakannya.

Contoh paling mudah difahami pemimpin-pemimpin PKR ialah soal bagaimana sukarnya mereka mahu menghapuskan “benteng politik” Khalid. Analisis mereka ialah Khalid akan menggunakan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dan pegawai benteng lain seperti Rohani Datuk Talib dan Setiausaha Akhbar, Arfaeza Abdul Aziz untuk melengah atau langsung tidak melaksanakan perintah parti.

Perempuan-perempuan Khalid 

Apabila ini berlaku dan setelah beberapa kali Anwar “naik angin” dan memerintahkan semua “perempuan-perempuan" (betina kata musuh-musuh Khalid) berkenaan supaya dipecat, Khalid hanya berbuat selamba dan mengelak berkonfrantasi. Beliau hanya berdiam diri. Perintah tidak dilaksana.

Ini mematikan langkah saingan politiknya. Jarang sekali Khalid memberi komen terbuka terhadap ahli politik lain. Anwar pun kerap terkesima dengan stail politik Khalid ini.

Misi Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilantik menjadi Ketua Staf di pejabat Menteri Besar ialah menyusun semula kedudukan pegawai-pegawai pelaksana seperti Faekah, Arfaeza dan Rohani. Sudah sebulan beliau menggalas jawatan, ternyata Saifuddin masih belum berhasil meroboh benteng politik Khalid ini.

Bagaimanapun sebagai seorang ahli politik, Anwar Ibrahim terpaksa juga mengakui bahawa Khalid ini seorang ahli politik yang agak liat. Maka menjelang pilihanraya umum ke-13 lalu, Anwar tiada pilihan selain terpaksa mengakui ketrampilan dan kebijaksanaan politik Khalid.

Semua kejayaan Khalid – kedekut dalam perbelanjaan wang rakyat; tegas dan tidak mudah mendengar bisikan orang luar kerajaan; dan, kejayaan mengumpul rizab tunai sampai RM 2.6 bilion – diwar-warkan Anwar sebagai keunggulan politik Khalid.

Maka semakin beranglah Azmin dan pengikutnya.

Kini terpulanglah pada Saifuddin untuk menunjukkan silat politiknya berhadapan Khalid. Nampaknya dalam jurus pertama ini Khalid langsung tidak gusar. Beliau masih ada Faekah, Arfaeza dan Rohani di sisinya. Paling tidak, banyak masa Saifuddin akan terbuang untuk bersilat dengan srikandi-srikandi Khalid.  

Politik Anwar makan tuan

Nampaknya senjata politik Anwar kini akan makan tuan. Puji-pujian tidak ikhlas beliau terhadap Khalid menjelang PRU 13 akan digunakan Khalid sebagai dalil kebolehannya bukan sahaja berpolitik malah memimpin PKR.

Saifuddin yang dimaksudkan oleh Anwar untuk berkhemah di pejabat Khalid demi menjadi pasport berkempen bagi jawatan Presiden, besar kemungkinan akan digunakan oleh Khalid untuk meyakinkan semua Cabang PKR di seluruh Negara bahawa Khalid Ibrahim ialah calon terbaik untuk memimpin PKR secara mutlak.

Anwar baru sedar kelicikan politik Khalid. Sebab itu beliau menggunakan Saifuddin untuk “menyelia” Khalid. Namun Umno sudah menyedari “bahaya” politik Khalid dan telahpun berhasil “mencantas” beliau daripada meningkatkan kedudukannya dalam parti itu di peringkat Bahagian Kuala Selangor lagi suatu masa dahulu.

Masih banyak lagi Anwar dan PKR harus belajar daripada Umno. Pengalaman beliau selama 17 tahun dalam Umno masih belum memadai untuk “mengawal-selia” bekas ahli-ahli Umno yang licik seperti Khalid Ibrahim daripada “beraja di mata bersultan di hati” dalam PKR.

Soalnya, adakah Anwar akan “gunakan” Khalid bagi menyekat sebarang gerak Azmin untuk merebut jawatan Presiden. Beliau mempunyai rekod yang baik untuk jawatan itu. Atau, adakah Anwar sudah serik “dipukau oleh kegagapan Khalid”?

Percaturan ini adalah hak mutlak Khalid.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive