RAPID

Thursday, November 15

TOKOH MAAL HIJRAH PULAU-PINANG Versi Oppa-Gampang


Melangkah ke tahun 1434 Hijrah adalah satu rahmat kerana Allah swt masih lagi memberi peluang kepada kita untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan bagi menegakkan syiar Islam. Pengisian yang paling penting ialah kita menilai pencapaian setahun yang lalu dan merancang strategi terbaik bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, sumbangan kepada kejayaan Islam dan negara, pembangunan ilmu dan kemahiran diri seterusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat yang hidup dalam negara ini. Tentulah penilaian ini amat berkait dengan perubahan diri kita sendiri.


Perubahan sentiasa berlaku. Umat yang berjaya dan cemerlang ialah umat yang mampu menghadapi perubahan, menyerap dan menguasai cabaran-cabaran berkenaan dengan seribu cara dan seribu daya. Kesungguhan dan keazaman untuk menguasai perubahan akan memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada orang yang telah mengecapinya.

Aset yang terbesar untuk menyerlahkan potensi diri ialah akal kita. Melalui akal dan kepintaran, kita membina kehidupan yang mendasari asas penciptaan manusia. Ayat 56 surah Az-Dzariat yang bermaksud;
“Tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”
Justeru itu, tahun Hijrah 1434 menuntut setiap daripada kita untuk berusaha meningkatkan potensi dan kecemerlangan diri supaya kita mampu menguasai segala bidang khususnya dalam kerja-kerja memperbaiki tahap keimanan anggota masyarakat. Firman Allah swt dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud;
“Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu di kalangan kamu beberapa darjat.”
Hari ini terdapat banyak institusi yang memberi peluang kepada kita untuk menambah pengetahuan. Dalam era maklumat ini, mereka yang lambat untuk mengejar dan memperbaharui ilmu akan ketinggalan di belakang. 

Oleh itu, peluang pendidikan yang ada ini wajar direbut dengan bersungguh-sungguh oleh kita semua supaya minda dan tindakan kita akan dipandu oleh ilmu yang sahih. Bagaimana kita harus memulakan langkah yang meyakinkan bagi tahun Hijrah 1434 ini?

Kejayaan umat Islam terdahulu adalah kerana mereka mempunyai hati yang dimantapkan dengan taqwa kepada Allah swt. Jiwa yang bertaqwa mampu membuat perubahan dan memberi manfaat ke seluruh alam. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Taqwa itu di sini (baginda terus menunjukkan ke arah dadanya).”

Fathi Yakan dalam buku terkenalnya, Apa ertinya saya menganut Islam? menyatakan bahawa seorang muslim mesti mengimani dan meyakini kebolehan manusia untuk mencapai kebaikan dan kejahatan adalah melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya sendiri. Walau bagaimanapun, kedua-dua sifat ini adalah dengan keizinan Allah swt. Dua ayat al Quran berikut boleh memberi gambaran kepada kita untuk memahami kebaikan dan kejahatan adalah di bawah kawalan kita dan sememangnya sangat terikat dengan apa yang kita kerjakan.

“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorkannya.” Surah Asy-Syams ayat 7 hingga 10
“Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” Surah Al-Muddatstsir ayat 38
Sahabat nabi, Abdullah bin Mas’ud mempunyai kaedah sendiri untuk menjadi cemerlang dalam kehidupannya. Beliau amat yakin dengan firman Allah swt dalam surah Al-Talaq ayat 2 hingga 3 yang mengungkapkan syarat taqwa sebagai asas kepada kecemerlangan yang hakiki.
”Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya.”
Prasyarat untuk mendapatkan apa yang diidam-idamkan bermula dengan taqwa dan bukannya harta yang banyak, rupa yang cantik atau kaum kerabat yang ramai. Masalah dan konflik yang dihadapi, walau bagaimana mana sukar sekali pun, insyaallah akan dapat diselesaikan dengan mudah hanya dengan bertaqwa. Inilah formula yang harus diguna pakai oleh semua anggota masyarakat Islam. Taqwa kepada Allah, tidak pernah diperolehi dengan mudah. Ia perlu dicari.

Practice believing in the impossible until impossibilities start becoming possibilities, then actualities - Norman Vincent Peale

Begitulah kata-kata penulis buku yang terkenal di dalam The Power of Positive Living. Perancangan yang terbaik tidak akan menjadi kenyataan jika tidak ada tindakan untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. 

Petugas-petugas dakwah harus sedar betapa payahnya Rasulullah saw berusaha bersama-sama sahabat untuk menggali parit dalam peperangan Khandak. Kepayahan tersebut harus memberi ingatan kepada kita bahawa perjuangan untuk Islam bukannya bersenang-senang dan berangan-angan di dalam empat penjuru bilik atau di atas permaidani yang merah serta disambut dengan meriah. 

Sahaba-sahabat Ikhwan Al Muslimin telah menempuh pelbagai ranjau dan tribulasi dalam usaha mereka. Dan mereka tidak pernah mengeluh, mengadu keletihan dan kecewa dalam tindakan. Malah pemikiran dan tindakan mereka telah menjadi contoh dan inspirasi kepada seluruh umat muslimin dewasa ini untuk kembali melaksanakan Islam berpaksikan kefahaman yang sahih dan mantap.

Persiapan minda dan tindakan mereka adalah menurut landasan yang dijelaskan Allah swt dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud;
“Maka luruskanlah (hadapkanlah) mukamu ke arah agama serta condong kepadanya.  Itulah agama Allah yang dijadikanNya manusia sesuai dengannya. Tidaklah bertukar tindakan Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”
Setahun yang akan kita lalui ini akan pasti dipenuhi dengan pelbagai konflik yang berlaku di dalam persatuan, masyarakat, negara dan ummah. Semua konflik, bencana, masalah dan halangan yang bakal kita hadapi tidak boleh menggugat persaudaraan kita malah memantapkan keyakinan dan keimanan kepada Allah swt. 

Konflik hanya merosakkan perhubungan sedia ada dan mesti dileraikan dengan serta-merta. Tanggungjawabnya terletak di atas bahu setiap individu. Pemikiran dan sikap yang matang akan menghalang sifat-sifat negatif daripada membiak di dalam diri kita. Insyaallah dengan tarbiyah yang diperolehi melalui halaqah, usrah, ijtima’ dan program-program peningkatan dilalui, pembentukan akhlak yang mulia akan dapat dijadikan sebagai matlamat untuk menyebarkan risalah Islam dalam hidup kita pada hari ini.

“Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh yang maa’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” Surah Al-Hajj ayat 41

MKP Ayat Sempoi : Salam Maal Hijrah kepada Semua Pembaca.......


No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive