Seorang wakil rakyat BN, Datuk Mohd Isa Abu Kasim mencetus ketegangan di persidangan DUN Selangor hari ini apabila beliau didakwa menghamburkan kenyataan seksis terhadap anggota exco Elizabeth Wong.
Mohd Isa dalam perbahasan itu antara lainnya berkata beliau gembira kerana exco berkenaan terus menjaga kawasan rizab hutan untuk menghalang pencerobohan.
"...(Tapi) jangan sampai lupa jaga hutan diri you sendiri," katanya lagi.
Beliau sebelum itu mencabar Elizabeth supaya mengemukakan saman terhadap akhbar The Star berhubung laporan mengenai dakwaan pencerobohan ke atas kawasan rizab hutan Taman Templer.
Wong ketika menyambung ucapannya selepas itu menyifatkan kenyataan Isa itu sebagai cubaan untuk bertindak "nakal-nakal" terhadapnya.
"Tak apalah. Ini adalah perangai Umno-BN. Kita sudah sedar, tak payah jawablah.
"Anda dan saya tahu. Tak apa, nak hina wanita, hinalah. Ini Umno-BN," kata Wong.
Dalam satu sidang media selepas itu, Wong berkata golongan wanita perlu menolak wakil rakyat BN atas sikap yang ditunjukkan oleh Mohd Isa.
Isu berkenaan turut dibangkitkan exco hal ehwal wanita Rodziah Ismail dalam perbahasannya selepas itu, dengan menyifatkan kenyataan Mohd Isa sebagai "seksis dan lucah" dan menggesa Isa dirujuk ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Dewan.
No comments:
Post a Comment