Thursday, October 24

SKETSA ORANG KUAT UMNO #PRKSgLimau


Hujan renyai-renyai mengiringi majlis penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Dewan Dato Madi pagi tadi.

Dingin kabus Gunung Jerai seakan-akan tidak terasa. Ribuan orang memenuhi pekan Yan. Kesesakan luar biasa di sana lebih teruk dari Jalan Tun Razak di ibu kota pada waktu puncak.

Kedai makan penuh sampai ada yang minum berdiri. Hiruk pikuk jangan cerita. Wajah-wajah ahli politik terkenal yang sebelum ini hanya tengok melalui televisyen kini ada depan mata.

Di satu sudut gerai roti canai, tiga ahli veteran UMNO berbincang mengenai isu calon sambil pekena kopi. Mereka mahu dikenali sebagai Pak Kob, Pak Mat dan Pak Mid.

Menurut Pak Kob, bukan mudah calon BN, Dr. Suhaimi Lazim merampas DUN Sungai Limau jika berdasarkan senario semasa.

“Dia ni dulu dah lama tinggalkan tempat ni jadi lecturer kat Tanjung Malim (UPSI). Tiba-tiba mai jadi calon. Walaupun dia orang sini, ada rumah kat sini tapi orang tak berapa nak `kenai',” katanya sambil menyalakan rokok.

Lagi pun, katanya, Suhaimi bukan calon pilihan boleh menang BN kerana ramai orang Cina dan India di Yan mahu bekas ketua Bahagian UMNO Jerai, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

Pak Mid senyum sambil hirup kopi dengar cerita Pak Kob.

Menurut Pak Mat pula, Mohd. Suhaimi disukai kerana dia sentiasa ada ketika rakyat di sini mahukan pertolongan tapi kerana dikatakan tidak sebulu dengan ketua bahagian baharu, Datuk Seri Jamil Khir Johari, namanya tidak naik.

“Dulu masa PRU-13, UMNO sini suggest nama dia (Mohd. Suhaimi) untuk Parlimen Jerai tapi kena reject. Bila Jamil Khir nasib baik menang tapi majoriti seribu lebih ja. Patut boleh dapat dua ribu lebih kalu ada sokongan Cina dan Hindu,” katanya.

Mengenai calon Pas, kata Pak Mat, Mohd. Azam Abdul Samad memang hari-hari kelihatan dan berpeluang mengekalkan kerusi yang ditinggalkan mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Lagi pun, katanya, Mohd. Azam yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Jerai itu belajar agama dan disukai ramai. Pak Mid masih tersenyum sambil mencarik-carik roti canai di depan mata.

“Patutnya Suhaimi jadi calon ada harapan sikit nak menang. Kalu ni susah nak habaq la. Tau la, sini kubu kuat bulan. Tapi kita sebagai orang UMNO mesti nak menang walau kat kubu lawan,” katanya sambil menepuk-nepuk meja.

Bab calon, kata Pak Mat, UMNO ikut pendapat pemimpin bukan pengundi.

“Mukhriz (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir) kena jaga ni. Jangan sebab kalu kalah sini kerajaan tak berubah. Kita tak peduli nak menang ka tidak. Kalah pun takpa,” katanya.

Pak Mid dari tadi diam tiba-tiba bersuara: “Mana tau menang ka kalah? Kita kena kerja la.”

Pak Kob buat muka cemuih dengar cakap Pak Mid.

Tiba-tiba pekerja kedai datang kira makan dan minum. Pak Kob tanya siapa suruh kira, pekerja berkenaan tunjuk seorang lelaki pakai songkok, cermin mata hitam di depan mereka.

“Semua Datuk  bayar. Ni berlebih lagi, dia bagi RM50,” kata pekerja itu. Pak Kob, Pak Mat serentak sebut terima kasih. Pak Mid tersengih-sengih sahaja.


1 comment:

Unknown said...

Pada waktu lawatan tpm ke pondok pak ya pada pru 13 lalu ada diantara individu yg berjawatan telah dilarang memasuki bilik taklimat bersama tpm dan jkuasa pondok. Mungkin ind berkenaan masih ingat dan faham kenapa ind tertentu tidak di pilih.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive