Wednesday, July 27

Azizan belum temui formula terbaik bantu rakyat Kedah



Pemimpin baik dan mesra rakyat memang antara faktor penting dalam sebarang kepemimpinan, namun ia mesti diiringi kemampuan menjana ekonomi yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat.
Ini antara dilema dialami ramai pemimpin terutama pembangkang yang selama ini asyik mengkritik kerajaan, tetapi apabila rakyat memberi peluang mentadbir negeri, mereka bukan saja tidak mampu memperbaiki kelemahan didakwa berlaku, bahkan turut gagal membawa sebarang perubahan kepada kemajuan negeri terbabit.
Selain Kelantan yang tidak banyak mengalami perubahan besar sejak PAS mentadbirnya 20 tahun lalu, tinjauan ke atas Kedah yang turut ditadbir parti itu juga tidak menampak sebarang perubahan dari segi fizikal, apa lagi usaha untuk meningkat ekonomi rakyat seperti diuar-uarkan kepada dunia.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, nyata belum lagi menemui formula terbaik untuk mengeluarkan majoriti rakyat Kedah, terutama golongan petani daripada kemelut kemiskinan, malah pentadbirannya sejak tiga tahun lalu juga gagal menyegarkan proses pembangunan di negeri jelapang padi itu.
“Untuk jadi pemimpin memang antara faktor penting, takkan kita mahu pemimpin zalim. Baik hanya satu daripada prasyarat, selain itu banyak lagi ciri-ciri lain yang perlu dimiliki pemimpin – berwawasan, bijak dalam membentuk strategi, penuh inspirasi, boleh berkomunikasi dan bijak mengurus kewangan.
“Pemimpin tidak cukup menjadi orang bijak bercakap, tetapi mereka juga perlu mendengar, mendapat maklumat dari pelbagai pihak.
“Saya memang mendengar cerita baik mengenai Azizan dan saya juga akui Azizan memang baik, tapi kalau setakat baik ia tidak menjamin kita akan cukup makan untuk anak-anak kita, tidak jamin kita akan mendapat pekerjaan, tidak jamin kita boleh berniaga, tidak jamin kualiti hidup kita akan sempurna, apa lagi baik Azizan juga tidak menjamin masalah sampah sarap yang menjadi isu besar kepada rakyat Kedah dapat diselesaikan dengan bijak,” kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.
Azizan dilantik menjadi Menteri Besar Kedah selepas pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum 2008 dan ramai berharap pentadbiran PAS akan membawa perubahan kepada nasib mereka dan proses pembangunan negeri itu.
Kelulusan Universiti Al-Azhar dan Universiti Kent, Canterbury ini bagaimanapun menyedari tidak mudah menjadi Menteri Besar kerana antara isu pertama dihadapinya ialah perasaan tidak puas hati daripada kalangan ahli partinya sendiri.
Antaranya membabitkan tuduhan mendakwa Menteri Besar ini gagal memperkasakan pelaksanaan Islam yang diperjuangkan PAS seperti membiarkan pusat hiburan beroperasi hingga lewat pagi dan arak dijual bebas di Langkawi.
Mereka juga mendakwa, pegawai kerajaan mendapat layanan istimewa daripada Menteri Besar berbanding pegawai lantikan politik.
Lebih perit, Azizan dan barisan Exco didakwa selalu memberikan alasan sibuk sehingga susah ditemui rakyat tetapi didakwa rajin bermain golf, manakala ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mendakwa ada kepemimpinan PAS Kedah bersikap bongkak terhadap mereka.
Terkini, usahanya untuk memperkasa agama dengan menguatkuasa Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadan nanti, turut menerima tempelakan daripada PAS Pusat yang tidak mahu mengecilkan hati sekutunya, DAP.
“Sejak memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan negeri tiga tahun lalu, saya sebagai Ahli Parlimen Jerlun yang boleh dikatakan balik kawasan hampir setiap minggu tidak nampak perubahan yang berlaku di negeri ini,
“Apa yang saya nampak hanya ceramah. Saya nampak pembangunan Kedah ini terhenti dan sudah tiga tahun ia ‘terhenti...kita bimbang kalau mereka menang lagi, Kedah akan jadi ‘terhenti’ sampai bila-bila,” kata Mukhriz.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata sebenarnya Kedah mempunyai banyak kelebihan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Negeri ini bernasib baik kerana mempunyai taman perindustrian Kulim Hi-Tech yang menjana banyak peluang pelaburan dan pekerjaan bagi membantu rakyat Kedah.
“Walaupun diperintah PAS, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada Kedah. Kita terus membawa masuk pelabur dan hari ini Kulim Hi-Tech antara taman perindustrian terbaik negara.
“UMNO juga meneruskan tugasnya untuk membantu – antara inisiatif yang kita lakukan ialah menggembleng kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta yang membuka pelbagai peluang kepada rakyat Kedah dan Kerajaan PAS Kedah juga menerima limpahan rezekinya,” katanya.
Kedah sebenarnya antara negeri yang mempunyai geografi indah, tanah subur dan sumber manusia berbakat. Sesiapa yang menguruskan negeri ini sebenarnya tidak sukar menjana ekonomi yang lebih hebat kepada rakyat Kedah.
Pemerintahan PAS Kedah sudah memerintah negeri ini selama tiga tahun, tapi rakyat masih menunggu Azizan mengotakan janji manifestonya ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive