SABTU lalu, seorang pengguna mengadu kepada penulis yang kebetulan berada di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya kerana hendak ke ibu kota. Pengadu tersebut, seorang lelaki berusia 42 tahun dan berkhidmat di salah sebuah bank komersial di Petaling Jaya berasa tersangat sakit hati dengan sikap kurang ajar pemandu teksi yang enggan menggunakan meter ketika dia memberitahu hendak menuju ke Subang Jaya.
Kata pengadu itu, pemandu teksi tersebut meminta RM25 daripadanya jika hendak ke Subang Jaya. Apabila dia mengingatkan pemandu teksi tersebut adalah menjadi satu kesalahan untuk teksi Lembah Klang tidak menggunakan meter, pemandu teksi itu membeliakkan matanya sambil berkata; “Mau naik bayar RM25....tak mau naik pergi cari teksi lain.” Dan sebaik sahaja dia menuju ke sebuah lagi teksi yang sedang menunggu penumpang dalam satu barisan yang sama, jawapan yang dia terima lagi menyakitkan hati. “Mau pakai meter you pergi sebelah sana...kalau you berani you report...” sambil menuding jari menunjuk ke arah seberang lebuh raya Puchong-Damansara yang mana terdapat juga teksi sedang menunggu para pengguna LRT. Adalah tidak pasti apakah di sebelah sana, mereka menggunakan meter atau sebaliknya.
Kemudian kata pengadu itu lagi, datang seorang remaja yang kelihatan seperti seorang pelajar bertanya kepada pemandu-pemandu teksi yang sedang beratur menunggu ‘mangsa’ di stesen itu yang dia hendak pergi ke Sunway Piramid. “Lima belas ringgit...” jawab pemandu teksi yang sama. Pelajar itu pun tanpa banyak bicara, kata pengadu tadi, berjalan pergi dari situ.
Jadi hasil cerita pengadu tadi, penulis membuat kesimpulan bahawa kesemua pemandu teksi yang sedang beratur menunggu penumpang di Stesen LRT Kelana Jaya telah berpakat untuk tidak menggunakan meter. Apakah ini satu pemandangan biasa di stesen-stesen LRT atau tingkah laku segelintir pemandu teksi sahaja? Mereka bukan sahaja berani melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan malah mereka memperlihatkan sikap kurang ajar dan berkelakuan seperti samseng jalanan. Siapa yang berani melawan cakap mereka. Malah mereka tidak takut dengan pengguna. Sebaliknya mereka mencabar pengguna supaya membuat aduan di atas keengganan mereka menggunakan meter. Jadi apabila pengguna sudah kehilangan daya untuk melawan, hanya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD sahaja yang mampu menangani isu seperti ini.
Namun begitu sepertimana kebanyakan agensi, mereka hanya bertindak apabila ada aduan. Kita tertanya-tanya kenapa dan mengapakah penguatkuasaan tidak boleh dilakukan tanpa terlebih dahulu menunggu aduan. Kenapa tidak menggunakan pendekatan pro-aktif dengan menjalankan operasi dari semasa ke semasa di tempat-tempat menunggu teksi dan menyamar sebagai orang awam dan lihat dengan mata sendiri bagaimana perilaku pemandu-pemandu teksi yang enggan menggunakan meter ini melayani dan membuli pengguna sepertimana kita semua.
Jika terbukti benar, pemandu seperti ini tidak harus dibenarkan lagi membawa teksi kerana sikap buruk mereka mencemar nama baik industri teksi di Lembah Klang yang selama ini sudahpun tercemar dengan kondisi teksi yang buruk dan teruk dan tidak layak dipanggil teksi lagi.
No comments:
Post a Comment