Wednesday, July 6

Motif Ambiga tetap dipersoal



BERSIH sepatutnya batal terus perhimpunan Sabtu ini 

SEMUA pihak patut menghormati dan patuh Titah Khas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ahad lalu mengenai perhimpunan haram yang akan dianjurkan Sabtu ini dan mengambil langkah serta-merta untuk membatalkannya. Namun, keadaan sedemikian tidak berlaku, sebaliknya Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk Ambiga Sreenavasan serta rakan gabungannya menyatakan hasrat mereka untuk menghadap Seri Paduka terlebih dulu sebelum membuat keputusan. Akhirnya mereka memutuskan untuk mengubah tempat perhimpunan itu ke stadium dan bukan lagi di jalan raya seperti dirancang sebelum ini selepas diperkenankan menghadap Seri Paduka semalam. 

Dalam titah khas Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak perlu bagi kumpulan haram BERSIH menganjurkan perhimpunan, sebaliknya merujuk kepada perundingan bagi menyelesaikan apa juga kekusutan berhubung proses pilihan raya. 

Sepatutnya dari awal lagi Ambiga memohon kepada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium dan bukannya menganjurkan demonstrasi jalanan yang boleh mengakibatkan keadaan tidak terkawal sehingga mencetuskan kekacauan. 

Ketika memberi reaksinya kepada perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata kerajaan bersedia menimbang agar perhimpunan itu diadakan di stadium dengan syarat mereka pergi dengan aman dan balik dengan aman serta memenuhi syarat ditetapkan pihak keselamatan. 
Tegasnya jika perhimpunan itu diadakan di stadium dan berlaku sebarang kejadian tidak diingini, pihak penganjur dipertanggungjawabkan atas segala yang boleh dan akan berlaku yang boleh menyebabkan sama ada huru-hara atau kerosakan harta benda atau pun boleh menyebabkan mana-mana individu tercedera atau lebih buruk daripada itu. 

Namun, berdasarkan pengalaman perhimpunan BERSIH 2007, ia mengakibatkan huru-hara di ibu negara dan menyebabkan rakyat terutama golongan peniaga kerugian besar. Banyak juga harta awam mengalami kerosakan. 

Sekiranya perhimpunan dalam stadium itu dibenarkan, ia menjadi satu perhimpunan yang julung kali dianjurkan kumpulan haram BERSIH dan kita percaya ia akan menjadi pembuka jalan atau satu trend yang akan ada lagi pihak memohon menganjurkan perhimpunan seumpamanya pada masa depan. 

Justeru, penting pihak keselamatan turut mengambil kira kepentingan golongan rakyat yang menentang perhimpunan itu ketika menimbang permohonan kumpulan haram BERSIH untuk mengadakan perhimpunan haram di stadium. 

Adalah wajar juga Ambiga dan ahli jawatankuasanya dalam kumpulan haram BERSIH dipertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini yang terbit daripada ucapan beremosi yang disampaikan pada perhimpunan itu sehingga boleh menyebabkan kekecohan. 

Sebagai peguam, malah bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga pastinya tahu apa kesan daripada perhimpunan haram terutama apabila adanya penyertaan parti politik dan pembabitan anasir luar seperti yang dikesan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini. 

Walaupun perhimpunan itu sudah beralih tempat, rakyat masih boleh mempersoalkan motif Ambiga ketika mula menganjurkan perhimpunan jalanan itu. Sekiranya mereka ingin membantah proses perjalanan pilihan raya, mereka tidak perlu mengadakan perhimpunan secara besar-besaran kerana boleh berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bila-bila masa. 

Laporan akhbar semalam menyiarkan kenyataan Ambiga bahawa BERSIH menjunjung penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sokongan Seri Paduka berhubung aspirasi rakyat untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya. 

Beliau juga dipetik sebagai berkata BERSIH akan patuh dengan nasihat Seri Paduka supaya diadakan perundingan, ke arah mewujudkan satu konsensus nasional bagi reformasi sistem pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi di Malaysia. 

Usaha mereka sepatutnya menjurus kepada mengadakan rundingan seperti yang dinasihati Seri Paduka dan bukannya meneruskan perhimpunan di stadium. 

Kalau pertubuhan lain termasuk Pertubuhan Pribumi Malaysia (PERKASA) dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sanggup membatalkan perhimpunan yang dirancang itu walaupun UMNO pun boleh menganjurkan perhimpunan lebih besar lagi. 

Tetapi kenapa kumpulan haram BERSIH harus menunggu sehingga mereka menghadap baginda sebelum membatalkan perhimpunan haram itu? Tidak memadaikah Titah Khas Seri Paduka itu sedangkan rakyat seluruhnya menerimanya dan memahami bahawa Seri Paduka sememangnya mahukan sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan negara seperti itu dihentikan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun berpendapat Ambiga patut membatalkan dulu perhimpunan haram itu sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong. 

Kita berharap pihak keselamatan negara akan terus menjaga keamanan dan bertindak sekiranya nampak ada bibit kekacauan, walaupun perhimpunan itu sudah beralih ke stadium atau mana-mana tempat bertutup yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. 

Apapun, akibat kedegilannya, Ambiga sudah mewujudkan perpecahan lebih besar dalam kalangan masyarakat di negara ini dan beliau mesti memohon maaf di atas sikapnya yang angkuh itu.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive