Sunday, July 10

Mudahnya PAS diPerlembukan.



TAHNIAH kepada Pas! Mungkin itulah perkataan paling sesuai untuk mengiktiraf ‘jasa’ parti itu dalam penyertaan pada himpunan haram Bersih semalam. 

Pas kini sudah berjaya membuktikan kepada rakan-rakan sekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta badan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dengan pembangkang bahawa Pas kini benar-benar sebuah parti yang memperjuangkan negara berkebajikan. 

Parti itu bersedia melakukan ‘kebajikan’ dengan menjadikan ibu pejabatnya sebagai satu lokasi untuk berkumpul dan bermesyuarat, mengarahkan Unit Amalnya menjadi benteng utama perhimpunan dan menggesa ahli-ahlinya turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur. 

Kononnya atas nama perjuangan, menegakkan keadilan dan taat kepada arahan pemimpin, kesemua mereka sanggup meninggalkan anak isteri, ibu bapa dan abang adik semata-mata untuk terlibat dalam perhimpunan haram berkenaan. Berbanding tidak sampai berapa kerat penyokong PKR dan DAP, penyokong Pas paling ramai memenuhi jalan raya di Kuala Lumpur. 

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada penyokong Pas di tanah suci Mekah memakai kemeja T Bersih sebagai tanda sokongan kepada perhimpunan tersebut, begitu juga dengan sekumpulan pelajar Malaysia di Mesir. 

Mereka sengaja melupakan bahawa perhimpunan haram berkenaan adalah cetusan idea S.Ambiga, seorang peguam wanita yang telah banyak melakukan tindakan gugat umat Islam termasuklah dalam isu murtad - satu isu yang sering dijaja oleh Pas kononnya menunjukkan kegagalan UMNO menjadi pentadbir Islam yang baik. 

Ternyata sekali penglibatan Pas dalam menjayakan perhimpunan haram itu sudah membuktikan bahawa Pas bukanlah sebuah parti Islam. Sebaliknya memang layak untuk mereka berada dalam golongan parti-parti sekular lain melalui perjuangan negara berkebajikan. 

Jika benar mereka mengaku masih berpegang kepada perjuangan Islam sudah pasti Pas akan memikirkan semasak-masaknya penglibatan dalam perhimpunan haram itu. 

Tetapi malangnya Pas begitu mudah diperkotak-katikkan oleh Ambiga, PKR dan DAP. Kelebihan sebagai sebuah organisasi yang tersusun dan mempunyai ahli yang kesemuanya orang Melayu telah dipergunakan oleh ketiga-tiga pihak berkenaan untuk menyeret Pas yang pada masa ini cukup dahagakan kuasa. 

Justeru Pas berusaha habis-habisan untuk memastikan himpunan Bersih hasil cetusan idea Ambiga berjaya walaupun ia akan menyusahkan jutaan warga Kuala Lumpur. 

Pas ingin membuktikan merekalah jaguh dalam berhadapan dengan pihak berkuasa melalui demonstrasi bagi mengemukakan tuntutan yang sengaja direka bagi membantu menutupi segala kelemahan dan masalah moral yang melumuri pemerintahan pembangkang serta pemimpin-pemimpinnya. 

Pas menjadi penyumbang terbesar kepada segala kesusahan yang dialami oleh warga Kuala Lumpur berikutan penutupan sebahagian besar jalan, penutupan perniagaan dan terbantutnya aktiviti masyarakat. 

Ini belum lagi termasuk ‘sumbangan besar’ Pas yang membantu pihak-pihak tertentu untuk memecah-belahkan lagi umat Islam dan orang Melayu serta bertanggungjawab melihat negara yang dipimpin oleh orang Islam tercemar di mata dunia. Malahan Pas juga layak menerima ucapan ‘tahniah’ kerana terus setia sebagai ‘kuda tunggangan’ kepada Ambiga, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin DAP. 

Sebab itulah Ambiga begitu berdegil mahu mengadakan perhimpunan berkenaan kerana beliau amat memahami ‘kesetiaan’ Pas kepada pakatan pembangkang. 

Yang akan menghantar ‘rombongan’ terbesar bukannya Bersih (Ambiga), PKR atau DAP tetapi Pas, akibat dikaburi dengan ketaksuban untuk berkongsi kuasa jika pembangkang ke Putrajaya. 

Parti itu gagal membaca agenda tersirat di sebalik perhimpunan haram berkenaan dan walaupun di hati kecil mereka, Pas pun mungkin terfikir bahawa tuntutan Bersih tidak munasabah namun demi politik segala-galanya dihalalkan. 

Ia kerana kalau pilihan raya tidak bersih dan adil Pas tidak akan sepopular sekarang. Populariti itu dicapai berikutan kejayaan Pas menguasai Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang, Terengganu pada 1999, Kedah pada pilihan raya umum lalu dan mempunyai lebih 20 kerusi di Parlimen. 

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Pas boleh menubuhkan kerajaan negeri bersama PKR dan DAP di Selangor serta ‘tumpang semangkuk’ di bawah kepimpinan DAP di Pulau Pinang. 

Namun Pas mengenepikan fakta-fakta itu kerana merasakan sekarang adalah detik terbaik untuk menumbangkan kerajaan dan berharap fenomena 2007 yang menyaksikan perhimpunan haram Bersih berjaya menggugat keutuhan BN pada 2008 berulang.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive