Sewaktu orang tua kita muda-muda dahulu, terdapat majlis kecil dan tidak formal harian yang dinamakan sembang kedai kopi. Sekumpulan orang kampung, biasanya kakitangan kerajaan yang sudah pencen, ataupun pekerja di ladang atau sawah yang sudah habis bekerja, bersembang kosong di kedai kopi.
Perkara yang disembangkan itu bisa sekali hal-hal yang menjadi masalah Pak Menteri. Sumber maklumat mereka yang bersembang adalah berita akhbar yang terletak di kedai kopi. Berita-berita sensasi di akhbar tidak kira berita skim bantuan baja padi kepada petani, isu pelajar lembam, perang di Vietnam mahupun cerita album baru penyanyi pop yeh-yeh, Jefridin menjadi topik perbincangan.
Biasanya akan ada seorang pembaca berita yang menyampaikan apa yang ditatapnya. Ceritanya akan disampuk oleh teman-teman yang duduk semeja. Biasanya ramai yang akan mengiakan apa yang disampaikan oleh si penyampai berita. Suasana yang riuh rendah itu akan menarik mereka daripada meja-meja lain untuk duduk sama mendengar dan bersembang.
Sembang-sembang juga berlaku di surau-surau selepas Maghrib hingga waktu Isyak, di majlis-majlis kenduri kahwin, majlis tahlil atau sembang-sembang di tepi sungai sambil membasuh kain atau di halaman sambil menyidai baju bagi orang perempuan. Pendek kata, inilah cara berkomunikasi dalam isu-isu sosial bagi orang dahulu.
Semakin kita maju, sembang kedai kopi sudah bertambah tempat ke coffee house. Cuma, sembang di coffee house biasanya terfokus kepada dua perkara utama sama ada politik atau bisnes kerana ia adalah salah satu bentuk bersosial yang wajib bagi golongan kian mendapat tempat di dalam masyarakat ketika itu, iaitu golongan politikus mahupun usahawan.
Namun, pada hari ini, dengan adanya alam siber, sembang di kedai kopi telah dibawa ke dalam ruangan-ruangan forum, blog, laman sosial seperti facebook dan twitter. Melihat kepada banyaknya laman sembang di alam siber ini, ia sah menunjukkan kita pada hari ini memang suka bersembang.
Bezanya, kalau dahulu topik yang dibincangkan lebih banyak perkara-perkara yang serius berkaitan agama, bangsa, negara, kampung, atau maruah, tetapi pada hari ini, agenda sembang-sembangnya sudah tiada sempadan ~ tiada sempadan topik sembang, tiada sempadan benar atau fitnah, dan tiada sempadan usia mereka yang berbicara.
Adakah perkara ini sihat? Pada dasarnya ia sihat kerana memberi peluang dan ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengeluarkan pendapat. Masyarakat dikatakan semakin terbuka dan matang.
Bagaimanapun, bila kita menelusuri dan meneliti sembang-sembang yang dipaparkan, kita akan dapati ramai di kalangan kita sebenarnya bukan semakin terbuka, malah semakin jumud fikiran. Bukannya semakin matang, sebaliknya makin kebudak-budakan.
Apabila peluang sudah terbuka bagi semua orang memperdengarkan suaranya kepada dunia, masing-masing akan menzahirkan pandangan dan perasaan tanpa mengira sama ada suaranya mengenai perkara benar atau salah, berfaedah atau mendatangkan mudarat.
Jika dahulu, sembang kedai kopi yang ditokok tambah hanya dihadiri oleh pendengar yang terhad, kini berpuluh, beratus, malah beribu orang boleh menatap serta memberi respons terhadap apa yang diperkatakan. Baguslah, kalau topik yang diutarakan itu bermanfaat.
Sebaliknya, kalau topik pembuka bicaranya hanyalah melepas perasaan dengan menjerit ‘ooh’ atau ‘ahh’ apa ke halnya? Ianya tentu tidak berfaedah dan malangnya ia mengheret orang lain untuk bersama-sama bercakap perkara yang tidak berguna itu.
Lebih malang lagi, bila ada di kalangan kita menganggap dunia tanpa sempadan alam siber ini seolah-olah juga dunia yang tanpa dosa. Tidak hairanlah kalau seseorang yang tertib dan berakhlak di alam nyata tiba-tiba menggunakan bahasa yang celopar, biadab dan seperti kurang ajarannya.
Meskipun sembang di kedai kopi itu bebas, ia tidak menjejaskan apa-apa. Sebaliknya, sembang di alam siber menggalakkan anarki bahasa, anarki fikiran yang telah mencetuskan anarki tindakan yang boleh meruntuhkan tamadun bangsa. Ia bagus seandainya tamadun yang diruntuhkan itu digantikan dengan tamadun baru yang lebih baik. Namun, tamadun sesuatu bangsa yang runtuh itu biasanya tidak bisa dibina kembali.
Mana ada sesebuah tamadun bangsa yang runtuh boleh terbina semula kecuali replika arkitekturnya sahaja?
Riwayat Bukhari dan Muslim: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” Barangkali, berkata baik atau diam itu mempunyai implikasi yang besar dan penting bukan sahaja untuk menjaga diri, malah terangkum untuk menjaga tamadun bangsa. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment