Sunday, October 9

Gerakan Tsu Koon Terus Dilanda Dilema



Tiga hari selepas Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, pemangku presiden Gerakan ketika itu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengemukakan surat peletakan jawatan kerana berasa bertanggungjawab bagi prestasi buruk parti itu pada pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan sebulat suara menolak tawaran beliau untuk berundur diri pada mesyuaratnya di ibu pejabat parti itu di sini.
Malah, penasihat Gerakan ketika itu Tun Dr Lim Keng Yaik berkata mereka masih memerlukan Dr Koh untuk menerajui parti itu, lebih-lebih lagi berikutan kekalahan teruknya di Pulau Pinang.
Pada pilihan raya umum itu, Gerakan hanya menang dua kerusi parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang.
Gerakan mengadapi detik-detik lebih mencabar pada Oktober tahun lepas apabila Dr Lim meletakkan jawatan sebagai penasihat parti kerana tidak bersetuju dengan sikap Dr Koh yang beliau anggap "terlalu berdiam diri dan tidak berani mengangkat muka" ketika Gerakan dilanda pelbagai masalah.
Baru-baru ini, Dr Koh menjadi sasaran dan kritikan pelbagai pihak dari dalam dan luar parti.
Beberapa pemimpin parti berkata kemunculan serangan itu tidak dapat dielak kerana pihak berkenaan tidak tahu perkembangan yang berlaku dalam Gerakan akibat kekurangan penjelasan daripada kepimpinan tertinggi parti.
Lagipun, kata mereka, pihak berkenaan tidak nampak sebarang perancangan dibuat oleh kepimpinan tertinggi untuk memperkasakan semula Gerakan.
"Kebanyakan kami tidak tahu apa yang berlaku. Barangkali, hanya presiden yang tahu mengenainya," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi yang enggan dikenali.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin berkata biar apapun tanggapan orang terhadap Gerakan, beliau lebih memikirkan tentang persiapan parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Saya harap parti ini bersedia sepenuhnya, termasuk daripada segi strategi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Strategi yang digunakan pada 2008 tidak menjadi. Kami perlu merombaknya secara menyeluruh ," katanya.
Berdasarkan senario semasa, Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan pada 14-16 Okt ini besar kemungkinan akan memberi fokus terhadap persiapan parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berkata mereka tidak yakin Gerakan kini berada pada kedudukan selesa untuk menghadapinya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian berkata Gerakan perlu memiliki "daya kepimpinan" memandangkan pilihan raya umum akan datang merupakan medan yang akan menentukan kelangsungan hidup parti itu.
"Dr Koh bercakap tentang serangan, dan strategi inilah yang memungkinkan Keng Yaik kekal begitu lama dalam parti itu," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, setiausaha agung Gerakan Teng Chang Yeow tidak bersetuju dengan pandangan ahli akademik itu dengan berkata Gerakan telah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang sejak September tahun lepas. Katanya Gerakan telah mengadakan sekurang-kurangnya dua pusingan temuduga dalam proses penyediaan senarai calonnya.
"Senarai itu kini berada di tangan presiden. Tapi, beliau tidak membayangkan bilakah ia akan dibincangkan dengan CWC (jawatankausa kerja pusat) atau CC (jawatankuasa pusat)," katanya.
Dalam pada itu, beberapa orang dalaman parti pula berkata Dr Koh merupakan 'isu' yang terpaksa dihadapi Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.
Dr Koh pernah berkata beliau akan terus menerajui Gerakan pada pilihan raya umum akan datang dan malah melahirkan keyakinan bahawa parti itu kini lebih yakin daripada sebelumnya untuk memperbaiki prestasinya setelah dimalukan pada pilihan raya umum lepas.
Timbalan presiden Datuk Chang Ko Youn berkata sebelum ini wujud desas-desus kononnya beberapa anggota perwakilan akan mengemukakan usul agar Dr Koh disingkirkan sebagai presiden Gerakan, tetapi mengikut perlembagaan parti, langkah itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga jumlah anggota perwakilan.
"Beberapa anggota perwakilan berpendapat sekiranya usul itu dilaksanakan, parti ini akan mengalami keadaan lebih parah," katanya kepada Bernama sambil menjelaskan bahawa itulah sebabnya sesetengah anggota menentang langkah tersebut, walaupun mereka tidak begitu berpuas hati dengan kepimpinan Dr Koh.
Chang berkata para pemimpin parti sedar tentang masalah itu dan berusaha secara senyap untuk mengatasinya, termasuk meminta Dr Koh supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum nanti.
"Antara pertimbangannya ialah beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang dan sekiranya beliau ingin bertanding juga, beliau perlu memilih kerusi yang penuh mencabar," kata Chang.
Malah, pada satu sesi perjumpaan, para pemimpin parti ini secara berjenaka meminta Dr Koh balik kampung dan bertanding di kerusi parlimen Tanjong di Pulau Pinang, kerusi yang pertama diwakilinya apabila menyertai Gerakan. Dr Koh memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 1982.
"Kami sudah bersedia. Itulah sebabnya kami tangguhkan dulu pemilihan parti (ke tahun depan) agar wujud suasana lebih selesa untuk menghadapi pilihan raya umum," kata veteran parti Tan Sri Chin Fook Win kepada Bernama.
Namun demikian, beliau berkata walaupun Gerakan bersedia sepenuhnya, tiada jaminan bahawa prestasi parti itu pada pilihan raya umum kali ini akan lebih baik daripada pilihan raya umum lepas. -BERNAMA

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive