Kalau tak kena gaya, boleh 'demam' ahli parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim tengok lebih 3,000 orang menghadiri Program Sentuhan Rakyat dan Kenduri Nasi Daging yang di adakan di Sekolah Kebangsaan Tanah Liat, Permatang Pauh pada Sabtu.
Ini bukan kali pertama kerajaan Barisan Nasional buat program di kawasan ketua pembangkang itu, sebelum ini, rumah terbuka Aidilfitri tahun ini juga dibuat di Permatang Pauh yang kehadirannya lebih 15,000 ribu orang September lalu.
Pada Sabtu, program kenduri rakyat yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berjalan lancar dan sangat meriah.
Menurut beliau, semalam hampir 1,000 orang hadir menyaksikan persembahan Wayang Kulit Seri Asun yang diadakan di padang sekolah," katanya.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.
Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata program kenduri itu mampu menjadi platform semangat bekerjasama masyarakat dan menjadi perantaraan untuk memulihara kesenian dan kebudayaan pelbagai kaum.
"Program itu juga akan memberi ruang kepada pemimpin untuk mendekati masyarakat bagi mengenal pasti masalah dan kekurangan yang dihadapi oleh komuniti serta masyarakat setempat," katanya.
Sementara itu, Abdul Jalil berkata Program Sentuhan Rakyat dan Kenduri Nasi Daging itu merupakan sebahagian program yang telah diatur di bawah Program Merakyatkan Seni (PMS) anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.-Agenda Daily.
No comments:
Post a Comment