Thursday, October 25

KAMERA AES TUMBANG!!! SABOTAJ ATAU KURANG KUALITI?


Walaupun tujuan asalnya untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya, di samping mendidik pengguna jalan raya supaya pemandu lebih berhemah terutama sekali mematuhi lampu isyarat dan tidak memandu melebihi had laju.

Walau apapun, hak dan suara rakyat hendaklah dihormati kerana sebagai pengguna jalan raya mereka lebih arif tentang permasalahan yang berlaku dan akan berlaku jika AES ini diteruskan juga.


Bayangkanlah, sistem lampu isyarat merah, kuning dan hijau itu apabila bertukar ke warna kuning yang memberikan isyarat supaya berhenti, hanya satu atau dua saat sahaja, sedangkan kenderaan yang mengekori kita dari belakang mungkin dipandu agak laju. Sudah tentu akan membahayakan pemandu di hadapan sekali kerana terpaksa menekan brek secara mengejut dan mudah terjadi pelanggaran yang bakal membabitkan beberapa keenderaan yang lain.

Keduanya sistem had laju di negara kita kadangkala tidak masuk akal, iaitu ada jalan raya yang mengehadkan kelajuan yang dibenarkan 30 kilometer sejam atau 40 kilometer sejam walaupun jalan raya itu tampak lurus dan tiada masalah apa pun.

Jika kamera AES dipasangkan di tempat-tempat berkenaan, pastinya ramai yang 'kantoi' dan akan menerima surat saman yang mencecah ratusan dan ribuan ringgit itu. Perkara itulah yang menjadi rungutan pengguna. Hal ini tidak termasuk lagi segelintir pengguna yang nakal yang sengaja memasang plat nombor palsu atau kemungkinan kesilapan teknikal sistem eletronik itu sendiri.

Tidak ada sebab mengapa AES perlu dilaksanakan buat ketika ini kerana kemalangan dan kematian yang membabitkan pemandu di sekitar tempat lampu isyarat dan kawasan zon had laju yang dibenarkan tidaklah seramai mana apabila berbanding dengan penunggang motosikal.

Selain itu, disyorkan agar semua lampu isyarat diletakkan skrin eletronik yang menyatakan minit dan saat sebelum lampu isyarat bertukar warnanya agar mudah untuk pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka atau bersedia untuk berhenti dan berapa lama menanti.

Kita kena betulkan sistem yang sedia ada dahulu sebelum masuk ke fasa AES. Hal ini kerana sistem sekarang pun tidak begitu efisien dalam pengendaliannya lagi dan jika ingin diteruskan juga untuk permulaan janganlah dikenakan denda yang boleh membebankan pengguna.

Pengguna jalan raya yang didapati bersalah itu dihukum menghadiri kursus motivasi undang-undang jalan raya atau dikenakan tindakan membuat kerja-kerja kebajikan masyarakat dalam masa yang ditentukan. Mungkin cara ini dapat mendidik pengguna jalan raya dengan lebih berkesan lagi. Denda berbentuk wang ringgit hanya dikeluarkan setelah denda yang lain tidak berkesan atau diambil ringan sahaja.

Kita juga perlu mendisiplinkan pemandu teksi, bas dan kenderaan berat. Di lebuh raya, kenderaan ini selalunya tidak mematuhi had laju. Dalam masa yang sama kerajaan juga mesti menaikkan taraf jalan persekutuan dan negeri. Hal ini kerana, jalan rosak dan berlubang boleh menyebabkan kemalangan berlaku dan lorong jalan laluan khas motosikal juga sepatutnya diperbanyakkan lagi.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive