RAPID

Monday, October 15

PEMIMPIN PAS LEBIH UTAMAKAN DAP DARI ISLAM


Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, sejak berkerjasama dengan DAP pada pilihanraya umum ke-12 pada 2008, parti dominasi Cina itu tidak mengganggu PAS. Soalnya, benarkah demikian?
Atau, mungkinkah pemimpin-pemimpin PAS berasa amat lega dek bantuan dan kerjasama DAP, PAS menang semakin banyak kerusi pada PRU 12 dan beberapa pilihanraya kecil yang menyusul hingga tidak menganggap ketegasan DAP tidak mahu Islam menjadi asas pemerintahan di Malaysia sebagai satu gangguan?


Jika demikian keadaannya, sudah pasti pendirian PAS membuat ramai orang Islam di negara ini cemas, termasuk ahli-ahli PAS sendiri. Yang menggusarkan ialah ke mana perginya semangat juang dan jihad pemimpin PAS sehingga boleh berdiam diri apabila rakan kongsi politiknya bertegas menganggap Islam tidak layak jadi panduan pemerintahan di Malaysia.

Jika begitulah keadaannya, apakah sebenarnya matlamat perjuangan PAS? Adakah PAS cuma mengidamkan menjadi pemerintah di Malaysia sahaja? Tidak lebih daripada itu? Bertanding pilihanraya hanya untuk berkuasa.

Mungkin sebab itu Datuk Nik Aziz sendiri menegaskan tidak mungkin ada kemenangan jika tiada sokongan daripada bukan Islam. Jika itu perkiraannya memang wajarlah beliau mengatakan PAS memerlukan DAP.

Jika demikian, apakah ini bermaksud bahawa bukan sahaja PAS kini sudah melupuskan idea menubuhkan Negara Islam, atau sekurang-kurangnya melaksanakan hukum hudud bila berkuasa.

Maka, jika sahabat yang bukan Islam secara terang-terangan mengisytiharkan tidak boleh menerima Islam, tidak mengapa PAS masih mahu berkongsi platform perjuangan politik dengannya.

Ini soal perjuangan. Asas dan dasarnya mesti suci. Bab thaharah politik ini tidak boleh diabaikan. Sahkah ibadah solat dan lainnya jika soal thoharah ini diabaikan. Mana mungkin PAS bekerjasama dengan pihak yang memusuhi Islam dan menampal kejanggalan ini dengan alasan ia satu strategi?

Kedudukan PAS sebagai satu gerakan Islam memang diakui oleh masyarakat di negara ini. Namun janganlah kerana ghairah yang melampau mahu membolot kuasa maka segala najis politik ini boleh dikuis ke bawah permaidani politik begitu sahaja.

Bukan sedikit yang mula bangkit menegur PAS. Bekas ahli parlimen PAS Sik, Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, mantan Timbalan Presiden PAS sendiri dan juga mantan Naib Presiden, Datuk Hasan Ali serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah bangun menyuarakan kebimbangan mereka akan sikap “ambil mudah” PAS dalam berpolitik hari ini.

Soalnya adakah kedudukan pelik PAS ini layak dipanggil strategi? Nik Aziz menegaskan Rasulullah S.A.W apabila berhijrah ke Madinah telah memeterai perjanjian dengan kafir, Nasrani dan Yahudi di kota itu untuk saling membantu mempertahan dan membangun Madinah.

Namun, ternyata strategi itu tidak menjadi. Madinah dan juga Makkah akhirnya diisytiharkan Allah S.W.T sebagai Tanah Haram – haram untuk kafir yang dianggap sebagai najis. Sesungguhnya najis mereka lebih mirip kepada perasaan hasad dengki terhadap Islam.

Di Malaysia, belumpun berperang bersama untuk menumbangkan Barisan Nasional(BN), DAP sudah mengumumkan ia tidak boleh menerima Islam sebagai unsur pemerintahan negara. Masihkah PAS menganggap DAP yang tidak mahu dan tidak menerima tuntutan Islam sebagai teman politik yang boleh dipercayai?

Memang selama ini kedudukan PAS sebagai suara Islam memang istimewa di hati rakyat. PAS dihormati kerana keikhlasan, kegigihan dan juga keberaniannya menegur apa yang tidak kena di pihak pemerintah. PAS tidak takut kepada BN, Umno mahupun pasukan keselamatan.

Kini rasa hormat rakyat mula berpindah kepada DAP. Parti Cina itu lebih utuh pendiriannya. Ia tegas tidak mahu Islam. Ada pemimpinnya berani meremehkan usaha PAS dan umat Islam lain mahu membela maruah Islam apabila Rasulullah S.A.W dihina secara sistematik dalam karikatur, tulisan, video dan filem.

Hari ini DAP kelihatan berada di pihak yang benar. Perjuangannya atas nama demokrasi dan hak asasi kelihatan suci. Sebab itu, agaknya PAS (apatah lagi PKR) tidak berani menegur pendirian serongnya terhadap Islam!

Sedihnya, PAS dan pemimpin PAS tidak sedikitpun rasa terganggu dengan keadaan ini. Dari sebuah jemaah memperjuangkan ajaran quran dan sunnah, PAS kini jadi sebuah pertubuhan politik yang hanya mahu membolot kuasa memerintah.

Untuk berbaik sangka, patutkah ditanya pada pemimpin PAS sama ada mereka bersedia untuk mengenyahkan DAP daripada Pakatan Rakyat jika setelah menawan Putrajaya kelak, DAP masih tidak mahu Islam jadi panduan pemerintahan?

Rasulullah S.A.W sendiri mengetuai gerakan menyisihkan Bani Nadhir, Bani Qainuqa dan Bani Quraizah meninggalkan Madinah kerana mereka akhirnya terbukti enggan mengiktiraf kepemimpinan Muhammad ibn Abdullah yang dipilih Allah!

Soalnya sekarang PAS bermain politik dengan siapa? DAP, PKR atau umat Islam? Pemimpin PAS sering berdakwah Islam itu mudah. Percaya pada Allah dan percaya pada Rasul. Taati perintah dan ajaran, mukminlah jawabnya. Peliknya, hari ini PAS lebih percaya DAP yang tidak percaya pada Allah.

Anehnya juga, PAS kini menyalahkan ahli-ahli akar umbinya dan sesiapa sahaja yang mencurigai kebijaksanaan PAS berkawan dengan DAP. Ahli dan umat Islam yang khuatir dengan uslub yang diambil PAS kini dianggap sudah diracuni oleh media pro-Barisan Nasional.

Pendek kata, bagi pemimpin PAS mereka sahaja yang sempurna. Pertimbangan mereka sentiasa betul. Dan, yang paling betul ialah, strategi mereka untuk membibitkan kebencian terhadap pemerintah agar mereka boleh melangkah ke takhta kuasa di Putrajaya dengan sedikitpun tiada prasangka pasangan mereka – DAP—pernah dan akan terus mengganggu mereka.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive