Ini bukan cara seorang muslim sejati. Kita kritik dan tegur untuk menegakkan kebenaran tetapi bukan cara seperti ini.
Aktiviti dan budaya vandalisme yang semakin berleluasa di negara kita adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh semua masyarakat serta tidak boleh dimaafkan begitu sahaja kerana ianya jelas berlawanan dengan moral dan akhlak serta ajaran agama. Perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat jahat ini atau lebih dikenali dikenali sebagai vandalisme kini dilihat semakin meruncing dan bagaikan tidak boleh dibendung lagi terutamanya di sekitar bandar-bandar besar di negara kita.
Aktiviti vandalisme ini begitu menyakitkan hati dan memalukan semua pihak terutamanya kepada masyarakat luar seperti pelancong yang datang bertandang ke negara kita. Antara contoh-contoh vandalisme yang terdapat di sekitar bandar-bandar besar di negara kita adalah seperti perbuatan merosakkan telefon awam, tandas awam, peralatan permainan di taman rekreasi, menconteng dinding, membuang sampah merata-rata, mencuri kabel, mencuri besi termasuklah kepala paip, meter air, penutup longkang, pagar besi penghadang jalan dan sebagainya.
Kamus Dewan Edisi Empat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan vandalisme sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Manakala dari segi sejarah, perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi. Secara umumnya vandalisme juga membawa maksud membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Perbuatan yang tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan ini perlu dikekang segera dan semua pihak hendaklah mencari jalan penyelesaiaan yang terbaik bagi mengatasi masalah sosial ini, apatah lagi aktiviti negatif ini juga turut melibatkan generasi muda termasuklah pelajar sekolah. Golongan pelajar yang merupakan modal insan dan asset penting negara ini tidak boleh dibiarkan terdedah dengan budaya negatif vandalism yang merugikan serta tidak berfaedah ini dan mereka juga perlu dipantau dari masa kesemasa agar menjauhi serta membencinya.
Perbuatan vandalisme juga perlu diperangi oleh semua pihak agar ianya tidak menjadi budaya di dalam masyarakat kita dan merugikan banyak pihak yang terlibat serta menyusahkan orang ramai kerana melibatkan kepentingan dan keperluan awam termasuklah sekolah, pusat rekreasi, stesen perhentian awam seperti bas, kereta api, komuter dan sebagainya di mana vandalisme menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memperbaiki dan mengganti kerosakan serta kecurian yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini.
Islam sendiri menghalang dan menegah perbuatan vandalisme yang boleh dikategorikan sebagai perbuatan fasad (kerosakan) seperti mana yang ditegaskan di dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya". (Al Baqarah: ayat 11-12)
No comments:
Post a Comment