Pada pilihan raya 2008, UMNO menang 18 kerusi daripada 35 kerusi yang ditandingi. UMNO kalah di 17 kerusi dengan majoriti antara 10 hingga 15 peratus sahaja.
Daripada kajian UMNO Selangor, 50 peratus yang mengundi pakatan pembangkang itu pula adalah 'orang kita' yang melepaskan kemarahan di peti undi.
Di 17 kawasan DUN ini, UMNO yakin dapat menawan kembali sekurang-kurangnya sembilan kerusi. Dengan MCA dan MIC yang masing-masing yakin menyumbang tiga kerusi, menjadikan BN bakal memperoleh 33 kerusi DUN - cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Angka mudah ini belum mengambil kira kawasan bermasalah seperti di DUN Gombak Setia (Datuk Dr. Hasan Ali) dan DUN Pelabuhan Klang (Badrul Hisham Abdullah - kini Bebas).
Ini ditambah dengan faktor Hasan dan janjinya untuk membentuk 'satu politik baru'. Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor ini yang baru dipecat daripada Pas dan Exco kerajaan negeri mempunyai ramai penyokong dan pengikut.
Pas Selangor terutamanya akan berpecah walaupun pakatan pembangkang cuba menyembunyikan rasa gentar mereka dengan membuat ramalan tinggi di awan. Ada Hasan Ali atau tidak, mereka tetap yakin menang 37 kerusi - kurang satu kerusi untuk majoriti dua pertiga.
Walhal sekarang ini mereka ada 35 kerusi. Entah bagaimana mereka mahu memenangi hati rakyat dengan pelbagai kepincangan daripada isu agama, pembangunan, bekalan air sehinggalah perkara remeh termasuk sampah.
Kini semakin panas pula isu salah guna kuasa dan penyelewengan pemimpin pembangkang dalam projek pembangunan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Aroma kepincangan itu semakin kuat membayangi suara mereka sendiri yang mengagungkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Tetapi itulah gaya pakatan pembangkang yang pandai bermain persepsi dan berjanji. Soal benar atau boleh dikota, itu hal lain. Tetapi realitinya, pakatan pembangkang kini berada dalam kedudukan lebih sukar berbanding BN.
Bagaimanapun menurut seorang jentera BN Selangor, BN juga ada masalah dan isu yang perlu diselesaikan segera. Selain faktor puak walaupun tidaklah setebal di negeri lain, masih banyak rungutan mengenai komitmen jentera MCA, MIC dan Gerakan.
Di DUN Bukit Lanjan yang ADUNnya juga ahli Exco, Elizabeth Wong contohnya, tidak ternampak kesungguhan jentera BN untuk menawan kawasan itu. Ada PDM kawasan itu meramalkan peluang BN yang diwakili oleh Gerakan hanya 40 peratus.
"Yang masalah ada beberapa kumpulan panglima dalam UMNO Selangor, ia mungkin boleh dileraikan dengan mengumumkan siapa calon Menteri Besar itu," kata seorang pegawai BN Selangor.
Tetapi setakat ini calon Menteri Besar (MB) itu belum ditunjuk. Begitu juga belum ada tanda-tanda muka baru yang akan muncul untuk jawatan itu. Siapakah dia, mungkinkah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar atau Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed? Atau ada muka baru?
Bagi Noh mahupun Mohd. Zin, isu siapa MB tidak penting. Yang penting menang dulu. Dan semangat untuk menang dan menawan semula Selangor itu semakin membara. Ia dapat dirasai dan dilihat pada setiap program anjuran BN.
No comments:
Post a Comment