Pulau Pinang dikatakan mencapai kejayaan besar dalam pembangunan sosioekonomi, malah menjadi satu visi dan misi kepemimpinan Pakatan Rakyat untuk mentransformasikan negeri ini bertaraf antarabangsa serta sebagai sebuah bandar raya pintar.
Negeri ini sudah dijayakan menjadi satu paksi atau pusat antarabangsa dalam pelbagai aspek sosiobudaya pendidikan, perkilangan, pembuatan, pelancongan, warisan dan elektronik. Sebagai nilai tambahan, kepemimpinan Kerajaan Negeri sedang mengorak langkah dalam bidang industri bioteknologi, sains angkasa dan lampu LED.
Adalah menjadi objektif Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Kerajaan juga memberikan jaminannya kebebasan dan dasar keterbukaan yang dilihat sekarang ini akan kekal selama 10 atau 20 tahun lagi dari sekarang.
Benar dan rasionalkah selama hampir empat tahun memegang tampuk pemerintahan Pulau Pinang, kepemimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng sudah mempunyai cukup tempoh menerusi dasar pembangunan sosiobudaya, polisi dan pendekatannya untuk meraih kejayaan itu?
Persoalan ini hasil telitian ucapan Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu persidangan di Singapura bertajuk Penang Investment Opportunities, pada 26 November lalu anjuran ASLI. Laporan penuh itu disiarkan dalam Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Negeri edisi November 16-30 2012 yang diedarkan untuk rujukan dan tatapan rakyat Pulau Pinang.
Adakah Lim Guan Eng bersifat realistik dalam mencanangkan kejayaan kepemimpinannya itu? Apakah mungkin beliau mempunyai “lampu Aladin” atau barangkali membuat “silap mata David Copperfield” yang berjaya menghilangkan patung Liberty di New York dan menembusi Tembok Besar China?
Persoalan itu juga perlu dijawab secara terbuka tanpa sebarang kepentingan oleh bekas ahli-ahli Umno yang menyertai PKR - diberikan mandat oleh rakyat, terutamanya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Malik Kassim, termasuk Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang Saleh Man.
Bagaimana pendirian pimpinan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Dewan Perniagaan India Pulau Pinang dan organisasi Melayu dan bukan Melayu terhadap persoalan yang penulis timbulkan itu? Bagaimana pula dengan pendirian atau pandangan pengurusan tertinggi setiap sektor sosioekonomi Pulau Pinang berhubung persoalan berkenaan?
Apa kata pengundi daripada setiap etnik di semua kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan lima kerusi Parlimen terhadap kejayaan yang digembar-gemburkan Ketua Menteri dalam dan luar negeri, adalah hasil kecemerlangan dan kebijaksanaan penggubalan dasar serta polisi PR Pulau Pinang?
Apa sumbangan Timbalan Ketua Menteri 1, Ahli Exco Kerajaan Negeri Malik Kassim dan YDP MAIPP Saleh Man dalam pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang yang dirujuk atau dihimbau oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng itu? Bagaimana pembangunan sosioekonomi orang Melayu? Apakah sumbangan pemimpin Melayu tersebut?
Jika Putrajaya tumbang ke tangan PR, “esok saya umum harga minyak turun”, itu adalah antara satu lagi kejayaan yang bakal dinikmati oleh rakyat seluruhnya jika Anwar ditabalkan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, Menteri Besar Selangor menyifatkan manifesto PR bukan satu janji. Anwar bercakap mulut saja hingga ternganga dan terpinga pakar ekonomi mendengarnya.
Semua persoalan tersirat yang kita bangkitkan itu perlu diperhalusi dengan diteliti dan cermat oleh rakyat Pulau Pinang. Jangan kita tutup semua mata hanya kerana sentimen kaum dan emosi yang membuak kecewa kepada beberapa pemimpin Umno serta BN - umpama mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. SH
No comments:
Post a Comment