Pemimpin Melayu dalam DAP disifat hanya mampu menjadi 'penonton' belakang tabir dan tidak akan mampu memperjuangkan kelangsungan bangsa Melayu dalam parti itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata ini kerana pengaruh pemimpin yang dilantik di atas kertas tidak setanding dengan pemimpin yang dipilih berdasarkan undi majoriti.
"Pemimpin Melayu dalam DAP tidak akan beri kesan apa-apa dalam pentadbiran kerana bilangan mereka terlalu kecil dan tidak dapat sokongan penuh oleh ahli sendiri," katanya.
Muhamad Farid berpendapat pelantikan dua wakil Melayu oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) iaitu Senator Ariffin S.M Omar dan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sekadar memenuhi kuota bagi menujukkan DAP sebagai parti berbilang kaum.
Beliau menyarankan pemimpin Melayu berkenaan menilai sedalam-dalamnya perkara ini kerana majoriti anggota peringkat akar umbi yang tidak memilih pemimpin Melayu jelas menunjukkan mereka tidak menginginkan kaum lain menerajui parti itu.
Pada pemilihan CEC baru-baru ini, kesemua lapan calon Melayu termasuk pejuang DAP Melayu Ahmad Ton kalah teruk dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengumumkan pelantikan Ariffin dan Zairil dalam CEC.
No comments:
Post a Comment