Monday, May 23

Dua Pemimpin PKR Berbeza Nasib



GEMA 'reformasi' berkumandang sekali lagi di Mahkamah, sekaligus mengimbau sejarah kali pertama perkataan tersebut dilaungkan pada 13 tahun lalu.
Perkara yang membawa kepada laungan tersebut sama - bermula dengan satu kes liwat yang berprofil tinggi - kerana si pelaku yang didakwa adalah seorang insan yang amat dikenali, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada tahun 1998, Anwar dikenali sebagai Bekas Timbalan Perdana Menteri dituduh meliwat Azizan Abu Bakar yang merupakan bekas pemandu kepada isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Dan untuk liwat versi kedua, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan telah melakukan perbuatan yang bertentangan dengan tabii itu dengan seorang anak muda, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang merupakan bekas pembantunya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.
Sejak dituduh di mahkamah pada 7 Ogos 2008, beberapa percubaan untuk mengenepikan pertuduhan tersebut dilakukan oleh barisan peguam Anwar, yang dengan tegas mengatakan pertuduhan tersebut dilakukan dengan niat jahat.
Bagi penyokong Anwar, mereka percaya pertuduhan itu dilakukan dengan niat mahu mematikan karier politik Anwar, dan secara berseloroh mengatakan itu adalah drama kedua yang menggunakan skrip sama.
Setelah hampir setahun tergendala, perbicaraan kes akhirnya bermula pada 3 Februari lalu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dengan Mohd Saiful menjadi saksi pertama sebelum diikuti oleh 25 lagi saksi pendakwaan.
Walaupun masa yang diambil kelihatan 'panjang', perbicaraan tersebut sebenarnya hanya berjalan selama 59 hari dan akhirnya pada 16 Mei lalu, Mohamad Zabidin memutuskan untuk memanggil Anwar membela diri atas pertuduhan tersebut.
Pada tarikh yang sinonim dengan insan bergelar pendidik itu, penyokong Anwar - termasuk dari kawasan Parlimennya, Permatang Pauh - telah memenuhi setiap ceruk perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kehadiran penyokong seramai kira-kira 700 orang itu walaupun tidak dapat menandingi jumlah kehadiran pada tahun 1998, masih mampu membawa impak kesesakan, selain berlaku kerosakan pada bahagian tangga mahkamah. Anwar yang tidak terkejut dengan keputusan hakim, akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Pembelaan pada 6 sehingga 30 Jun depan merupakan medan terbaik Anwar untuk membersihkan nama, apatah lagi beliau kemudiannya telah dikaitkan dengan dakwaan 'beraksi' dalam video seks - yang juga dinafikannya.
Malah, pembelaan itu juga dijangkakan hebat apabila peguam Anwar telah memberikan bayangan bahawa ada kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil selaku saksi.
Jika benar, bukan calang-calang saksi yang akan turut sama mengangkat sumpah, termasuk dua pakar daripada Australia dan India.
Pada minggu lalu juga menyaksikan seorang anak buah Anwar, iaitu Mohd Yahya Mat Sahri yang merupakan Ketua Cabang PKR Tanjung Karang dilepaskan daripada pertuduhan menipu.
Dakwaan menipu itu didakwa dilakukan oleh Mohd Yahya terhadap Presiden Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) Datuk Abdul Karim Munisar sehingga mendorong beliau untuk menyerahkan RM50,000 yang dikatakan sebagai sumbangan kepada Majlis Sambutan 100 hari Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tahun 2008, iaitu semasa Selangor dirampas oleh PR yang melakukan tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 12.
Bukan sahaja Anwar, Mohd Yahya juga mempunyai pengikut sendiri apabila mereka ini - yang terdiri daripada pelbagai bangsa - sanggup menghadiri prosiding mahkamah yang diadakan pada waktu petang.
Dengan keputusan itu, Mohd Yahya sedang berkira-kira untuk membersihkan namanya dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dikatakan telah mencemarkan namanya menerusi satu sidang media dan aduan yang membawa kepada pertuduhan di mahkamah.
Mohd Yahya dibebaskan selepas mahkamah mendengar pembelaannya yang akhirnya didapati telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah bagi mematahkan pertuduhan yang dihadapi.
Mahkamah adalah satu instutusi tempat orang mencari keadilan. Usaha Mohd Yahya untuk membersihkan diri, dilengkapi dengan bukti-bukti kukuh akhirnya membawa kemenangan.
Selepas ini, pengikut-pengikut PKR sekali lagi akan berkampung di mahkamah untuk mendengar pembelaan Anwar, dan jika beliau boleh membuktikan pertuduhan itu adalah direka-reka, sudah pasti beliau juga boleh mengukir senyuman seperti Mohd Yahya di akhir prosiding.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive