Sunday, May 1

Tujuh NGO buat laporan polis berhubung kekecohan di Masjid Amru Al-As


Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Terengganu hari ini membuat laporan polis berhubung kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. 

Tujuh NGO itu ialah Kelab Belia Generasi Prihatin, Sahabat Laut Malaysia (Selam), Gerakan Belia 4B Terengganu, Kelab Permotoran Parlimen Kuala Terengganu, Persatuan Pendekar Marang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Alumni 4B Terengganu.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Selam, Ismail Awang yang mewakili kesemua NGO di ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 2 petang tadi.
Ketika ditemui pemberita, Ismail berkata, dalam laporan itu, semua NGO berkenaan menentang sekeras-kerasnya tindakan biadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta PAS yang didakwa membawa masuk orang bukan Islam dan mencemarkan kesucian masjid. 

Beliau berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah terdesak pihak tidak bertanggungjawab dengan menjadikan masjid sebagai tempat baru berdemontrasi selain menunjukkan sikap tidak profesional kerana menggunakan rumah Allah untuk berpolitik. 

"Tujuan kami membuat laporan ini bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi bertindak demi menjaga kesucian agama Islam serta maruah umat Islam yang telah diaibkan dengan kejadian itu," katanya. 

Ismail berkata, polis diminta menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang terlibat demi menjaga kehormatan Islam sebagai agama rasmi negara. 
Jumaat lalu, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As bagi membuktikan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam rakaman video seks membabitkan seorang pelacur dipercayai dari China. 

Sambil memegang kitab suci al-Quran, Shazryl Eskay menyempurnakan lafaz laknat kira-kira jam 4.25 petang walaupun sebelum itu ada usaha menghalang acara itu diadakan. 

Turut sama dua lagi trio Datuk T, iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive