Saturday, May 28

Paderi Puji Kerajaan Pusat Biayai Projek Baik Pulih Gereja St George's



Paderi Gereja St George berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana membiayai kos membaik pulih rumah ibadat yang dibina pada kurun ke-19 itu hingga kembali kepada kehebatan asalnya melalui projek baik pulih Jabatan Warisan Negara melibatkan kos RM1.8 juta yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
Charles Samuel berkata anggota gereja juga amat menghargai usaha dan sumbangan kerajaan untuk membaik pulih gereja Anglican tertua di Asia Tenggara itu, yang siap sepenuhnya pada November tahun lepas.
Samuel berkata sepanjang tempoh sembilan bulan kerja membaik pulih itu dijalankan, anggota gereja berkenaan menjalankan upacara keagamaan mereka pada setiap Ahad di sebuah dewan di gereja itu.
Samuel, yang bertukar ke sini pada awal tahun ini, berkata pembukaan semula rumah ibadat berusia 195 tahun itu membuka lembaran baru dalam sejarah Gereja St. George.
"Gereja ini dibina pada 1816 dengan seni bina berasaskan neo-klasik dan reka bentuk George Palladian," katanya.
Beliau berkata selepas dibaik pulih, gereja itu menarik kehadiran semakin ramai pelawat, terutama dari luar negara dan upacara sembahyang beramai-ramai pertamanya Februari lepas disertai penganut Kristian dari lebih 38 negara.
"Kami bercadang membina sebuah gerai untuk pelancong, membina pagar yang sesuai dan sebuah dewan pameran di atas tanah seluas dua hektar ini. Tapi, masih kekurangan peruntukan, manakala kos operasi gereja ini ialah kira-kira RM5,000 sebulan. Oleh itu, kami harap kerajaan atau syarikat multinasional boleh menyumbang ke arah ini," katanya.
Gereja di persimpangan Lebuh Farquhar dan Jalan Masjid Kapitan Keling ini diisytiharkan warisan negara pada 2007.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive