Sunday, May 1

OMEGAKANTOI:Trio Datuk T tidak gentar

Rahim Tamby Chik menunjukkan kertas yang disebarkan kepada orang ramai pada sidang akhbar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam.


Meskipun dicemuh, dihina dan diugut oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dan selepas Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat semalam, namun trio Datuk T menegaskan bahawa mereka tidak gentar dengan segala bentuk tekanan tersebut.
Sebaliknya, bagi trio berkenaan iaitu Shazryl Eskay sendiri, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim, apa yang berlaku membuatkan mereka bersemangat untuk terus menegakkan kebenaran.
Mengecam tindakan provokasi dan huru-hara yang dicetuskan segelintir penyokong PKR sewaktu sumpah laknat Shazryl Eskay di ruang solat Masjid Amru Al-As di sini semalam, trio itu melontarkan persoalan kepada pihak terlibat mengapa perlu takut dengan tindakan mereka.
Menurut Shazryl Eskay, apa yang dilakukan penyokong parti berkenaan di masjid itu cukup memalukan.
"Saya sedih kerana kekecohan itu tidak sepatutnya berlaku. Kami pergi dengan niat baik dan telah meminta kebenaran ahli jawatankuasa masjid untuk melakukan sumpah laknat.
"Kami bukan cabar dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kami ajak dia bersumpah laknat bersama. Selepas Anwar tidak hadir, orang lain janganlah kacau. Kami ke masjid bukan untuk bergaduh.
"Tak patutlah berlaku. Selain Islam, kita sebagai orang Melayu, ada adat dan budaya hormat-menghormati. Amalan gangster janganlah ditunjukkan dalam masjid," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Shazryl Eskay melafazkan sumpah laknat bagi membuktikan Anwar yang juga Penasihat PKR merupakan pelaku dalam rakaman video aksi seks melibatkan seorang pelacur dipercayai dari China.
Shazryl Eskay berkata, sebelum melangkah masuk ke ruang solat masjid berkenaan untuk melakukan sumpah laknat, Allah memberi sumber kekuatan biarpun tahu beliau dan dua lagi rakannya akan 'dihimpit' dengan segala cemuhan dan tentangan.
"Sebelum pergi, kami ada terima panggilan supaya membatalkan hasrat (bersumpah) kerana berlaku kekecohan. Tetapi kami nekad dan tetap pergi. Kami tidak gentar dengan Anwar dan sesiapa sahaja yang cuba menghalang," tegas beliau.
Mengenai ugutan yang diterima, Shazryl Eskay berkata: "Ia tidak perlu dilayan. Saya tidak mahu sebut apa bentuk ugutan tersebut. Apa pun yang berlaku, ini adalah perjuangan kami dalam menegakkan kebenaran."
Sementara itu, Abdul Rahim dalam sidang akhbar di Bangi turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan provokasi yang dilakukan penyokong Anwar di masjid tersebut.
Tindakan sedemikian katanya, jelas menunjukkan bahawa kepimpinan parti berkenaan terlalu menumpu kepada melahirkan penyokong yang fanatik, taksub dan tidak boleh menerima hakikat.
"Kenapa usaha menegakkan kebenaran ditakuti? Sepatutnya usaha itu dipermudah dan tidak ditentang. Saya malu kerana masjid dijadikan 'sarkas politik' oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tindakan terbabit perlu dikecam.
"Kepada Pas, saya mengalu-alukan tindakan mereka untuk membuat ketetapan baru selepas siasatan terhadap video seks itu selesai," katanya.
Abdul Rahim berkata, laporan polis telah dibuat selepas menerima ugutan pihak tidak dikenali yang mengancam untuk mencederakannya dan ahli keluarganya beberapa minggu lalu.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive