Wednesday, May 11

UMNO DULU KINI DAN SELAMANYA.





Hari ini, genaplah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berusia 65 tahun. Ketika UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, negeri-negeri Melayu sudah tidak ada. Ini kerana Malayan Union sudah ditubuhkan pada 1 April 1946. Keseluruhan negeri-negeri Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang menjadi Malayan Union yang terletak di bawah kedaulatan King George VI di bawah pentadbiran Gabenor Sir Edward Gent.

Melayu sudah tidak ada-apa pada masa itu Semua penduduk Malaya yang bermastautin di negara ini tidak kurang lima tahun boleh memohon menjadi warganegara. Dari segi bahasa, sesiapa yang boleh faham atau bercakap bahasa Melayu atau Inggeris adalah layak.Menurut gagasan Malayan Union, raja-raja Melayu hanya ada kuasa mengenai hal ehwal agama. Kuasa sebenar di negeri-negeri terletak sepenuhnya pada Residen.

Kempen membantah Malayan Union inilah yang menjadikan Gerakan Melayu lebih tersusun dan membawa kepada kelahiran UMNO.Apa yang dimaksudkan dengan Gerakan Melayu ialah usaha segolongan orang Melayu yang sedar mengenai kepentingan bangsa. Mereka aktif dalam pelbagai cara seperti menulis, menerbitkan akhbar, majalah dan buku serta menubuhkan persatuan-persatuan Melayu.

Gerakan Melayu ini muncul pada tahun 20-an dan 30-an lagi. Ada yang melalui aktiviti pendidikan agama, ataupun daripada sekolah-sekolah Melayu. Apabila mereka mula mampu membaca dan sedar mengenai politik dan perkembangan dunia, maka muncullah apa yang boleh disebut sebagai Gerakan Melayu.

Persatuan-persatuan Melayu negeri dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan adalah sebahagian daripada gerakan ini. Begitu juga dengan kegiatan penerbitan termasuklah akhbar Utusan Melayu. Semuanya ini adalah sebahagian daripada Gerakan Melayu. Orang perseorangan seperti guru-guru di kampung yang berusaha menyedarkan orang Melayu adalah juga sebahagian daripada gerakan ini.

Gerakan Melayu ini terus hidup pada zaman Jepun. Walaupun berada di bawah kekuasaan Jepun, mereka tetap memperjuangkan kepentingan Melayu.Maka apabila Datuk Onn Jaafar bangun dan membantah gagasan Malayan Union, Gerakan Melayu ini berada di belakang beliau. Langkah awal mereka tentulah mengadakan Kongres Melayu Se-Malaya untuk menyusun dan menyelaras Gerakan Melayu ini.

Maka penubuhan UMNO adalah salah satu daripada tiga usul yang diluluskan oleh Kongres Melayu Se-Malaya pertama yang dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bahru, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dengan penyertaan 41 persatuan-persatuan Melayu sebagai mewakili aspirasi orang Melayu.

Dua usul lain ialah membantah penubuhan Malayan Union dan mewujudkan tabung pendidikan kebangsaan Melayu. Tiga usul kongres ini mencerminkan aspirasi orang Melayu ketika itu, iaitu menyusun sebuah pertubuhan bagi mewakili Gerakan Melayu, menentukan sikap politik orang Melayu melalui penolakan terhadap Malayan Union, dan memberi penekanan terhadap kemajuan pendidikan orang Melayu.

Aspirasi

Justeru apabila UMNO ditubuhkan, ia membawa aspirasi Gerakan Melayu bukan saja dari segi politik iaitu membantah Malayan Union tetapi juga pendidikan, iaitu orang Melayu mesti dibuka peluang untuk mencapai kemajuan pendidikan sebesar dan setinggi mungkin. 


Ternyata UMNO berjaya dalam usahanya membantah Malayan Union apabila gagasan itu dimansuhkan pada Januari, 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Selepas 65 tahun berlalu tentu sukar untuk merasakan pentingnya Malayan Union ditentang. Kini orang Melayu sudah mencapai banyak kemajuan berbanding 65 tahun yang lalu, terutamanya dari segi pendidikan.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyambut ulang tahunnya ke - 41 pada 18 Mei ini adalah salah satu mercu tanda perjuangan pendidikan Gerakan Melayu. Begitu juga dengan lain-lain institusi Melayu seperti juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Banyak lagi institusi-institusi lain yang sebenarnya adalah sebahagian daripada Gerakan Melayu. Malah akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ini juga merupakan sebahagian daripadanya.


Namun begitu perlu diingat, bahawa Gerakan Melayu ini tidak bersifat eksklusif, jauh sekali mempunyai sebarang unsur rasis. Gerakan Melayu bersifat nasional. Persekutuan Tanah Melayu bukannya negara Melayu semata-mata tetapi untuk semua penduduknya juga. Di peringkat antarabangsa, ia dikenali sebagai Persekutuan Malaya. Tidak disebut Tanah Melayu.

Begitu juga dengan UMNO. Ia berfahaman inklusif juga dengan mengajak MCA dan MIC bersekutu dalam Perikatan. Sifat mengajak kaum lain ini membolehkan UMNO menjadi parti yang berkhidmat untuk semua rakyat negara ini.


Maka apabila Malaysia ditubuhkan dan seterusnya wujudnya Barisan Nasional, apa yang asalnya dilihat sebagai Gerakan Melayu adalah sebenarnya merupakan suatu fahaman nasional. Gerakan Melayu adalah sebenarnya gerakan kebangsaan untuk semua kaum. Ini berbeza dengan apa yang cuba dibawa oleh gagasan Malayan Union dahulu. Malayan Union ini adalah bukan saja suatu projek imperialis tetapi rasis. Antara lain fahaman imperialisme British adalah kepercayaan bahawa orang Inggeris adalah bangsa unggul yang berhak untuk menjajah dunia dan meletakkan kaum-kaum lain menjadi anak-anak jajahan mereka.

Mereka menyusup kuasa di negeri-negeri Melayu secara tapak demi tapak tetapi akhirnya adalah untuk menguasai sepenuhnya negara ini. Bagi mereka, anak-anak jajahan, tidak kira sama ada Melayu, Cina atau India adalah semata-mata alat untuk berkhidmat demi empayar mereka.

Kedudukan

Rakyat bukan Inggeris tidak akan mendapat kedudukan setaraf mereka. Inggeris mahu menguasai bukan saja negeri-negeri Melayu tetapi juga India dan China. Orang Cina dan India yang dibawa masuk ke negeri-negeri Melayu hanyalah untuk menggerakkan ekonomi empayar mereka.

Penjajahan adalah suatu amalan perkauman yang dahsyat dan Malayan Union adalah projek rasis untuk menjadikan semua penduduk negeri-negeri Melayu sebagai hamba mereka. Kalaulah UMNO dahulu gagal menghalang penubuhan Malayan Union maka cuba bayangkan apa yang terjadi. Untuk masa yang lama Malaya akan menjadi tanah jajahan British dengan pihak Inggeris menguasai sepenuhnya politik dan ekonomi negara ini. Semua tanah- tanah di negeri ini tentunya akan diberikan pada syarikat-syarikat Inggeris. Tidak akan ada tanah simpanan Melayu.

Pentadbiran awam akan dipegang sepenuhnya oleh orang Inggeris. Bukanlah bererti orang Melayu, Cina dan India tidak mendapat tempat dalam pentadbiran awam. Mereka mungkin diberi peluang tetapi setakat sesuatu peringkat saja.


Bahasa rasmi Malayan Union pastinya Inggeris. Begitu juga dengan sekolah-sekolah dan universiti. Bahasa Melayu, Cina dan India tidak akan ada tempat. Silap-silap pentadbir Inggeris akan membawa banyak lagi orang dari luar untuk menetap di Malaya. Tetapi elit politik, ekonomi dan budaya berada di tangan Inggeris. Malah mungkin orang Eropah juga dipelawa menetap di negara ini.

Andai kata Malayan Union itu akhirnya mencapai kemerdekaan daripada Britain tetapi penguasaan politik pasti sudah berada pada orang Inggeris. Orang Melayu sudah tidak ada tempat.

Justeru orang Melayu perlu menghargai perjuangan UMNO menggagalkan Malayan Union dan juga sumbangannya sejak 65 tahun kewujudan parti ini setelah melalui pelbagai pancaroba. Ini termasuklah ketika ia diisytiharkan haram kemudian didaftar semula sebagai UMNO Baru hingga akhirnya dipulihkan sebagai parti yang menyambung warisan 11 Mei 1946 itu.

Sememangnya kini gagasan Malayan Union sudah berada dalam lipatan sejarah. Tetapi konsep lain muncul dari masa ke semasa yang kalau diteliti adalah merupakan penjelmaan semula Malayan Union tetapi dalam bentuk lain. Umpamanya dalam tahun 1964, ketika Singapura berada dalam Malaysia, Parti Tindakan Rakyat (PAP) cuba membawa gagasan Malaysian Malaysia.

Usaha itu dipatahkan antara lain kerana Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. Antara isu yang menarik dalam Pilihan Raya Singapura semalam ialah rasa tidak puas hati rakyat pulau itu terhadap kehadiran profesional asing, umpamanya dari China mahupun India. Dalam persaingan politik, UMNO dalam BN sedang berdepan dengan pihak pembangkang yang mahukan suatu bentuk Malaysia yang berbeza.


UMNO dan BN juga mahukan Malaysia yang lebih baik, dan itulah usaha yang sedang dilakukan melalui kerajaan pimpinannya. Gagasan Satu Malaysia dan Program Transformasi Ekonomi adalah sebahagian daripada manifestasi komitmen kerajaan pimpinan UMNO dan BN untuk memenuhi aspirasi rakyat tanpa mengira kaum.

Dalam pada itu, UMNO adalah tetap sebahagian daripada Gerakan Melayu yang bersifat inklusif dengan turut memperjuangkan aspirasi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive