Monday, May 30

Selamatkah Kepimpinan Ulama PAS?


Empat hari menjelang pemilihan kepimpinan baru PAS, cakap-cakap mengenai persaingan golongan ulama dan profesional terus hangat diperkatakan.
Jika dilihat dari arah corong kecil, isu sama ada PAS akan terus diterajui pemimpin yang berlatar belakangkan pendidikan agama ataupun profesional mungkin tidak timbul kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang telahpun diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden.
Namun bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah. Andai kata pandangan mengenai masa depan dan hala tuju PAS dilihat dari ruang lingkup yang lebih besar khususnya bagi persaingan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, parti itu kini sebenarnya berada dalam fasa peralihan paradigma.
Saingan campuran tiga penjuru bagi jawatan nombor dua selepas Abdul Hadi sebenarnya akan menentukan corak dan hala tuju PAS dalam tempoh tiga atau enam tahun akan datang.
Penyandang jawatan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa akan mempertahankan kedudukannya yang dicabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga dari golongan ulama dan Mohamad Sabu atau Mat Sabu dari kumpulan profesional.
Mutakhir ini kedudukan Nasharudin dilihat sedikit goyah terutamanya selepas isu kerajaan perpaduan dengan Umno timbul hingga mencetuskan kemarahan beberapa pemimpin dan penyokong PAS sendiri terutama yang ‘berkiblatkan’ kerjasama dalam Pakatan Rakyat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Kehadiran Tuan Ibrahin yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dilihat sekadar mahu menyelamatkan kedudukan ‘kem ulama’ dari terlepas ke tangan Mat Sabu yang dilihat lebih terbuka khususnya bagi mewujudkan kerjasama antara PAS dengan pihak luar.
Jatuhkan Abdul Hadi
Kedudukan Abdul Hadi sebenarnya diibaratkan seperti telur di hujung tanduk sekiranya gerakan menolak kumpulan ulama berlaku di posisi jawatan nombor dua khususnya jika ramalan bakal berlaku pecahan undi antara Nasharudin dan Tuan Ibrahim benar-benar berlaku.
Tidak keterlaluan jika Mat Sabu dikategorikan sebagai proksi dalam misi menjatuhkan Abdul Hadi dan legasi kepimpinan ulama dalam PAS.
Sekiranya keputusan berpihak kepada Mat Sabu, Abdul Hadi pastinya tidak dapat lagi menahan kebangkitan golongan profesional yang mahu menukar wajah atau imej berserban dan jubah dalam PAS.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, kebangkitan golongan profesional semakin meluap-luap dalam PAS khususnya yang mahu melihat parti itu bergerak dengan lebih agresif dalam arus politik semasa.
“Kita lihat begitu ramai golongan profesional menyertai PAS. Mereka tidak mempunyai latar belakang agama tetapi komited dengan perjuangan PAS dan Islam.
“Kebangkitan kumpulan ini semakin ketara kerana mereka mahu melihat PAS sebagai sebuah parti Islam keluar dari kepompong lama,” katanya kepada mStar Online.
Menurut Ahmad Atory lagi, golongan profesional dalam PAS juga mahu membawa parti itu ke kancah politik yang lebih dinamik dan agresif dan seterusnya meninggalkan imej moderat atau bersederhana yang diamalkan mereka sebelum ini.
Pada kedudukan ini, Mat Sabu perlu bekerja keras khususnya bagi meyakinkan ahli dan perwakilan PAS mengenai misi melakukan modenisasi dalam kepimpinan parti itu.
Andai kata ‘misi sulit’ berkenaan berjaya, tiada apa yang mampu dilakukan Abdul Hadi bagi menyelamatkan kedudukan dan legasi ‘tok guru’ dalam PAS.
Paling ketara, tidak mudah bagi Abdul Hadi untuk mengemudi bahtera PAS sekiranya beliau hanya berseorangan di tampuk teratas tanpa mendapat sokongan dari kumpulan seangkatan dengannya seperti gandingan beliau dan Nasharudin sejak 2005.
Dengan kata lain, tidak mustahil selepas tiga tahun akan datang, Abdul Hadi dengan sendirinya akan berundur atau lebih buruk akan disingkirkan sekiranya masih mahu mempertahankan kedudukannya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive