exponegaraku

Sunday, September 9

KELANTAN PALING RAMAI ROSAK AKHLAK?


Malaysia adalah negara Islam yang paling dihormati di dunia kerana kemakmuran dan kestabilan yang begitu sukar dicapai oleh negara-negara Islam lain. Kerana kemakmuran ini, Malaysia mampu membantu negara-negara Islam lain secara langsung dan tidak langsung. Selain itu, Malaysia juga mampu untuk bersuara lantang di peringkat dunia kerana tidak bergantung kepada mana-mana kuasa asing.

Namun begitu, di dalam negara Malaysia sendiri masih ada yang meragui akan kedudukan ‘Islam’ di dalam negara. Tetapi tidak pernah pula mereka meragui kedudukan ‘Islam’ di dalam diri sendiri.

Begitu tegar sekali mereka ini bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang sebenar-benarnya iaitu dengan menggunapakai hukum hudud. Bagi mereka, inilah satu-satunya cara untuk mencapai keberkatan dan menjamin kedudukan masing-masing di akhirat nanti.


Tidak keterlaluan rasanya jika kita berkata bahawa mereka-mereka ini yakin perjuangan hudud ini akan membawa mereka terus ke syurga.

Bukan sedikit masyarakat Islam di Malaysia, yang mengambil sikap seperti ini iaitu melihat syurga neraka sebagai hitam putih – mudah dinilai dengan mata kepala sendiri. Malah ada yang mengemukakan kira-kira pahala solat dan ibadah lain, seolah-olah soal niat, perasaan dan fikiran manusia boleh dihisab sendiri bagi menentukan syurga atau neraka.

Benar, tidak salah kita mengejar pahala dan syurga, malah kita wajib melakukannya.

Cumanya, kita perlu beringat iaitu yang akan ‘bertemu’ Allah nanti adalah roh yang membawa bersama segala apa yang terniat, terasa dan terfikir oleh kita dalam melakukan sesuatu perbuatan itu, bukannya perbuatan itu semata-mata. Yang akan dihisab ialah diri masing-masing, bukan orang lain dan bukannya negara ‘Malaysia’ yang Islam atau tidak.

Justeru, dalam kita mengejar pahala dan syurga, janganlah kita terlalu menumpukan kepada orang lain, politik dan negara melebihi diri sendiri. Jangan terlalu obses untuk beribadah dengan cara melihat kemungkaran orang lain. Dan jangan terlalu berfikir mengenai orang sekeliling mencari kesilapan mereka untuk ‘ditegur’ kerana ini akan menyebabkan kita alpa seolah-olah menganggap diri sendiri sudah begitu sempurna.

Sekali-sekala, renungkanlah ke dalam diri sendiri dan senaraikan kelemahan sendiri secara terperinci. Jika gagal menyenaraikan kelemahan diri, maka wajarlah kita merasa gusar kalau-kalau kita tergolong dalam manusia yang takbur dan riak.

Sedangkan kunci pahala dan syurga terletak di hati yang bersih. Hudud tidak ada ertinya jika hati kita kotor.

Islam itu diturunkan secara berperingkat-peringkat. Rasulullah sendiri melalui beberapa peringkat dalam Islam. Dan semuanya bermula dengan hati Baginda dibedah untuk dibersihkan pada umur 5 tahun. Melalui hati yang suci bersih, tampillah akhlak dan adab yang murni.

Dengan akhlak dan adab yang begitu sempurna, Rasulullah hanya diangkat menjadi Rasul pada usia 40 tahun. Hanya selepas itu, hukum hakam dan peraturan diperturunkan secara rasminya ke atas umat Islam.

Tidaklah Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul selain daripada menyempurnakan adab manusia.

Ini membuktikan bahawa adab adalah asas atau tunjang yang paling penting dalam Islam.

Adab dan akhlak itu merangkumi bahasa pertuturan, hormat menghormati, kasih sayang, belas kasihan, bantu membantu sesama insan dan segala-galanya sifat yang baik yang disertai hati yang ikhlas dan murni.

Malangnya, masyarakat Islam di Malaysia yang begitu galak bercakap soal hukum hakam dan hudud ini tidak pula berakhlak dan beradab.

Bukankah lebih wajar kita memperkasakan asas Islam terlebih dahulu sebelum berbicara soal yang lebih tinggi?

Para Ulama dan pemimpin Islam wajib terlebih dahulu belajar merendah diri, bersikap tawaduk, meminta maaf bila bersalah, meminta izin untuk mencelah, mengucapkan terima kasih, mengsedekahkan senyuman bila bertentang mata walaupun dengan orang yang tidak dikenali, membantu orang yang dalam kesusahan dan sebagainya sebelum mereka layak mentarbiah atau mendakwah orang lain.

Bukanlah satu rekaan jika dikatakan kebanyakan mereka yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hudud itu, langsung tidak beradab. Bukankah ini seolah-olah ingin membina rumah dengan bermula dari bumbung, tanpa terlebih dahulu memacak tiang? Bagaimana rumah boleh kukuh atau boleh didirikan langsung?

Memandangkan Islam itu diturunkan secara berperingkat walaupun kepada Rasulullah S.A.W sendiri maka untuk mencapai matlamat sebagai negara Islam atau negeri Islam juga harus dilakukan secara berperingkat. Dan asas adab yang paling utama di dalam Islam adalah kebersihan.

Oleh itu, sebelum bercakap soal hudud, Nik Aziz seharusnya memastikan Negeri Kelantan dan rakyat Kelantan benar-benar mempraktikkan kebersihan diri, rumah, kampung-kampung dan bandar-bandar mereka terlebih dahulu.

Kemudiannya, Nik Aziz juga wajib menghapuskan kemiskinan di Kelantan bagi mengelak rakyatnya menghampiri kekufuran. Ini kerana kemiskinan mampu membawa kepada berbagai-bagai masalah sosial akibat dari kurang pendidikan dan pelajaran. Tanpa pelajaran dan pendidikan, rakyat mudah menjadi ‘gedebe’, tidak berakhlak, suka bergaduh, bercakap kasar malah mencarut yang mana amat bertentangan dengan Islam. Pendek kata, rakyat akan menjadi masyarakat yang tidak beradab umpama masyarakat jahiliah.

Nik Aziz juga wajib memajukan negerinya sejajar dengan tuntutan Islam yang menggalakkan kemajuan. Rakyat Kelantan harus digalakkan menguasai sains dan teknologi mengikut arus dunia selaras dengan tugas manusia sebagai Khalifah di dunia.

Jika segala asas Islam ini tidak dapat diperkukuhkan di dalam hati sanubari rakyat Kelantan, maka Nik Aziz tidak ada hak pun untuk bercakap mengenai perkara yang jauh lebih tinggi di dalam Islam, apatah lagi hukum hudud.

Allah telah mengurniakan Kelantan kepada Nik Aziz sebagai ujian dan ternyata Nik Aziz gagal kerana Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam kerosakan akhlak dan juga kemiskinan. Sewajarnya Nik Aziz menerima hakikat ini, insaf dan memperbaiki diri dengan kembali kepada Islam iaitu dengan bermula dari tiangnya – bukan dengan terus membina bumbungnya.

1 comment:

Tinta Asyraf said...

Salam Bro, tak kan nak tunggu semua orang jadi baik baru nak buat hudud bro..

Bab kemiskinan ni, tak yah nak tuding kpd Tok Guru Nik Aziz. Hamba mahu tanya macam mana dengan Wang zakat,baitul mal apa fungsi mereka dan duit untuk ummat Islam bawah depa tu.

Dalam Islam ada istilah daruriyyat, kita buat yang darurat dulu, cthnya, bagi pakaian, tmpt tinggal, makan untuk org2 miskin ni.

Bukan kita taburkan Duit one off cthnya program 1m4u dulu sedangkan banyak lagi orang miskin yang makin miskin.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive