Tekong Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa pakatan itu cuba mensabotaj Perhimpunan Agung Umno ke-66 minggu lalu dengan mengatur kenyataan daripada dua tokoh iaitu Tan Sri Musa Hassan dan Deepak Jaikishin.
Cara beliau membuat penafian bukan sekadar mengeluarkan kenyataan tetapi memilih memanggil sidang media di pejabatnya. Dengan memutuskan untuk berhadapan dengan sidang media, Anwar mengisyaratkan penafian itu penting bagi memelihara nama baik Pakatan Rakyat (dan mungkin dirinya).
Soalnya mengapa Anwar dan Pakatan Rakyat perlu tergesa-gesa menjarakkan diri daripada dua tokoh berkenaan? Tidakkah kenyataan mereka banyak menguntungkan kepentingan Pakatan Rakyat?
Ketika Umno sibuk bersidang di PWTC, Tan Sri Musa membuat kenyataan betapa dalam menjalankan tugasnya, beliau menghadapi banyak masalah “gangguan” dan campurtangan kerajaan, khususnya daripada Menteri Dalam Negeri.
Tidakkah pengakuan Musa itu menguntungkan Pakatan Rakyat? Natijahnya kenyataan bekas Ketua Polis Negara itu membuktikan bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memang menggunakan polis untuk melaksanakan kepentingan politiknya!
Namun mengapa Anwar harus menafikan pengakuan Musa itu ada kena mengena dengan Pakatan Rakyat? Adakah Anwar bimbang ini sebenarnya cara Musa hendak memburukkan nama Anwar sebagai sesumpah politik yang boleh bertukar warna apabila keadaan politik memerlukannya?
Sebab itu, Anwar hendak memberitahu umum bahawa “pendedahan” Musa tiada nilai politik baginya?
Jika demikian, memang wajar Anwar membuat penafian itu. Bagaimanapun apabila dinilai kes Musa dengan kenyataan yang agak sama sasarannya dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishin, ia mengundang tanda tanya. Mengapa kedua-dua tokoh, seorang ahli perniagaan dan seorang tokoh polis membuat kenyataan ketika Umno sedang mengadakan perhimpunan agung terakhir sebelum pilihanraya ke-13?
Ini jika dipadankan pula dengan satu lagi peristiwa agak signifikan iaitu taklimat perbicaraan awal skandal kapal selam scorpene di Singapura yang dikatakan membabitkan sebuah NGO yang condong pada Pakatan Rakyat iaitu Suaram, ia kelihatan sebagai satu serangan serampang tiga mata terhadap kemeriahan perhimpunan agung Umno yang amat luar biasa semangatnya kali ini.
Tambahan pula wawancara eksklusif Deepak oleh Malaysiakini.com disiarkan serentak dengan laporan Harakahdaily.net milik parti PAS. Adakah ini satu kebetulan atau memang dirancang?
Jika dirancang, perkiraannya mungkin begini jika pengakuan Tan Sri Musa dan Deepak yang cuba mengaitkan Perdana Menteri Najib Tun Razak dengan perakuan bersumpah penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mendakwa Najib serta ahli keluarganya terbabit dengan kes pembunuhan Altantuya Shaaribu pasti akan sampai ke pengetahuan perwakilan Umno yang sedang bersidang.
Jika adalah seorang perwakilan Umno yang mempercayai kenyataan Musa dan Deepak serta berani pula menuntut penjelasan daripada Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Hussein, sudah tentu ia akan mengaibkan Umno.
Jika mengikut jalur kempen Pakatan walau di mana-mana, Umno mesti diaibkan seberapa mungkin untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Adalah jelas kemungkinan isu Musa dan Deepak berhasil mencetuskan kontroversi ini, pasti Umno akan bertambah aib. Ia akan menjadi berita besar bagi media anti-Umno-BN dan juga mungkin media antarabangsa. Jika itu berlaku, Pakatan untung besar!
Namun kemungkinan-kemungkinan ini tidak berlaku. Umno terus gempita dengan ledakan semangat para pemimpin dan ahli perwakilan yang ada. Media arus perdana juga tidak membuat “silap” memperbesarkan kenyataan Musa dan Deepak.
Adakah kerana usaha mengkhianati perhimpunan agung ini tidak berjaya maka Pakatan Rakyat melalui tekong perlu cepat-cepat menjarakkan diri daripada kenyataan Musa dan Deepak?
Tidakkah ada kemungkinan bahawa sidang media Anwar sebenarnya bertujuan memanjangkan isu yang cuba dibangkitkan oleh Musa dan Deepak. Dalilnya perhatikan penegasan yang dibuat Anwar.
Bukan sahaja beliau dan pakatan cuba menafikan terbabit dengan percubaan mensabotaj Umno tetapi sebaliknya mahu penyiasatan khusus dibuat ke atas Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri berikutan kenyataan Musa dan Deepak.
Dengan perkataan lain, Anwar dan Pakatan Rakyat mahu supaya dakwaan kedua tokoh kontroversi ini diberi siasatan lanjut. Demikian perkiraan politiknya. Jika ada siasatan, akan bertambah satu lagi modal untuk dijaja dalam ceramah dan media Pakatan Rakyat. Ini peluang untuk meletakkan Umno-BN dalam keadaan defensif!
Pelbagai rumusan boleh dibuat daripada sidang media Anwar Ibrahim ini. Namun umum maklum bahawa persaingan politik di antara Umno-BN dan Pakatan Rakyat kini memasuki pusingan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Kedua-dua pihak tidak boleh membuat kesilapan.
Anwar dan Pakatan Rakyat sudah pasti tidak mahu mengizinkan Umno-BN menggerakkan medianya untuk mendedahkan ketiga-tiga peristiwa - taklimat perbicaraan Scorpene di Singapura, kenyataan Musa Hassan dan Deepak Jaikishin adalah saling berkaitan kerana dirancang oleh strategi Pakatan Rakyat.
Lantaran itu, tindakan cepat harus diambil untuk membunuh sebarang spekulasi bahawa beliau dan Pakatan Rakyat terlibat. Seperti lazimnya, media arus perdana amat berhati-hati menggemburkan kemungkinan sabotaj ini kerana bimbang dituduh mengada-adakan cerita dan digertak dengan pelbagai tindakan undang-undang.
Bagaimanapun rakyat kini sudah terlalu masak dengan cara pakatan menyusun strategi medianya. Lambung sesuatu isu dan tunggu bagaimana Umno-BN memberi reaksi. Nampaknya, strategi Anwar kali inipun tidak jauh dari kelaziman ini. AP
1 comment:
x heran klu MH cakap byk gangguan dari joker umno (tok mudin mentri amaran tu)... mentri x guna tu jgn calonkan masa pru13 nnt .. buat malu BN ja...hampeh
Post a Comment