Friday, January 25

PERKAHWINAN DAP & PAS TIDUR SEBANTAL MIMPI LAIN-LAIN..........


PAS kini menghadapi serangan bertali arus yang amat hebat dari Umno ekoran isu penggunaan kalimah Allah di dalam Bible Melayu yang menjadi isu hangat sejak penghujung Disember lalu.

Apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk  Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam, PAS dikecam habis-habisan kononnya menjadi kuda tunggangan DAP.

Walaupun pada 13 Januari, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan kalimah Allah tetapi tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa  dan tidak boleh disalahgunakan, serangan umno terhadap PAS nampaknya masih belum reda.

Nik Abdul Aziz juga telah menegaskan perkara yang sama.

Sebenarnya  sejak awal lagi Abdul Hadi atau PAS tidak pernah berkata bahawa kalimah Allah boleh digunakan di dalam Bible Melayu.

Ketika PAS dan sekutunya berada di landasan serta  mood  serangan yang betul ke atas Umno dan BN khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai isu yang berbangkit termasuk ‘bantuan’ secara tidak langsung oleh ahli perniagaan karpet, Deepak Jaikishan tiba-tiba sejak 25 Disember lalu Umno mendapat ‘peluru’ dan serangan politik ke atas PAS.

Kini PAS dan Pakatan Rakyat dari menyerang terpaksa menjadi bertahan berpunca daripada isu kalimah Allah ini.

Sudah tentu PAS sebagai parti berteraskan Islam menjadi parti yang menjadi sasaran tepat ‘tembakan’ Umno berbanding DAP atau PKR.

Beberapa  pemimpin PAS yang dihubungi, berkata mereka hanya mahu bercakap dengan syarat identiti tidak didedahkan.

Seorang pemimpin PAS senior  memberi pandangan bahawa isu kalimah Allah telah senyap atau sejuk sejak 2010.

“Kita masih ingat bagaimana ketika itu isu kalimah Allah menjadi sebuah isu yang amat sensitif di kalangan orang Islam di dalam negara ini sehingga ada individu yang bertindak cuba membakar gereja pada tahun 2010.

“Bagaimanapun isu itu reda selepas itu sementara menunggu proses perundangan di mahkamah selesai.
“Tiba-tiba Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) meminta agar kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible Melayu sempena perutusan Hari Krismas beliau.

“Saya harus akui isu kalimah Allah memberi kesan yang besar kepada PAS dalam konteks sokongan orang Melayu kepada PAS dan juga PKR,” kata beliau.

Pemimpin PAS itu berkata kenyataan Guan Eng tidak membantu PAS dan Pakatan Rakyat apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir.

Pemimpin PAS tersebut walaubagaimanapun lega apabila Majlis Syura telah membuat keputusan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Beliau berharap pemimpin DAP itu pada masa akan mengambil kira apakah implikasi kepada rakan dalam Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan kenyataan sensitif berkaitan isu agama.

“Kalau ia pun nak beri perutusan Hari Krismas, banyak lagi perkara yang beliau boleh sarankan antaranya jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, kita tidak akan halang kebebasan beragama dan kita akan beri bantuan kewangan kepada semua agama termasuk kepada gereja tanpa pilih kasih.

“Saya cukup menghormati Guan Eng di atas kecekapan beliau mentadbir Pulau Pinang tanpa rasuah. Cuma saya berharap pada masa akan datang, beliau tidak mengulas isu-isu yang sensitif agama sebelum bincang terlebih dahulu dengan kepimpinan utama Pakatan Rakyat.

“Beliau harus sedar kenyataan beliau seperti dalam isu kalimah Allah akan melemahkan PAS dan PKR di kalangan orang Melayu dan misi menawan Putrajaya akan gagal tanpa sokongan orang Melayu dan kemenangan calon PAS serta PKR,” katanya lagi.

Pemimpin PAS ini juga mengingatkan bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung isu ini pada masa akan datang.

“PAS bersama DAP dan PKR akan menumpukan kepada kerja-kerja persiapan PRU-13 nanti,” ujarnya.

Seorang pemimpin PAS berbangsa Cina dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)

berpendapat kenyataan Guan Eng tidak kena pada masanya merujuk tarik PRU-13 semakin hampir.
“Ini bukan masanya untuk mengeluarkan kenyataan sensitif.  Disebabkan isu ini PAS kena ‘ketuk’ di sana sini. Sokongan orang Melayu pada PAS terjejas.

“Sekarang banyak masa dihabiskan untuk menjelaskan pendirian PAS terhadap isu ini di kalangan orang Melayu.

“Lebih baik kita sama-sama fokus pada persediaan PRU-13 nanti daripada mencetuskan isu kontroversi yang akhirnya makan diri sendiri (Pakatan Rakyat),” jelas beliau.

PAS juga pernah melemahkan DAP

Tetapi PAS juga pernah melemahkan DAP dalam isu kedai gunting rambut di Kota Bahru pada November 2012.

PAS sering berkata bahawa hukum hudud dan undang-undang Islam yang mereka perjuangkan hanya akan dilaksanakan (sekiranya dipersetujui Pakatan Rakyat) kepada mereka yang beragama Islam. Tiada paksaan ke atas orang bukan Islam.

Bagaimanapun pada bulan November tahun lepas seorang pemilik salun gunting rambut wanita yang berbangsa Cina dan pelanggan lelaki juga berbangsa Cina disaman oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bahru.

Isu ini digunakan sepenuhnya MCA dan Gerakan untuk menyerang DAP kononnya menjadi kuda tungganggan PAS dan kedua-dua parti ini mempertikaikan janji PAS sebelum ini yang berkata undang-undang Islam  tidak akan dilaksana ke atas orang bukan Islam.

Begitu juga isu terbaru pula kerajaan negeri Kedah melarang artis yang mengadakan persembahan sempena Tahun Baharu Cina dengan syarat berpakaian sopan. Terlebih dahulu kerajaan negeri melarang aktiviti sedemikian.


No comments:

Followers

PALING SEMPOI MINGGU INI

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive