Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaikh Hussein Mydin kini sedang mengumpul beberapa lagi bukti tentang berlakunya penyelewengan dalam proses penjualan tanah di Pulau Pinang yang didakwanya berlaku ketika pemerintahan DAP hari ini, untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan seterusnya.
Tegas beliau, setelah cukup maklumat yang diperolehinya berhubung berlakunya penyalahgunaan kuasa yang dipercayainya berlaku dalam proses penjualan tanah di negeri tersebut, maka beliau akan mendedahkan kepada rakyat di seluruh negara, khususnya di Pulau Pinang.
“Ya memang kami sedang mengumpul bukti tentang beberapa isu penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di dalam kerajaan pemerintah DAP hari ini. Daripada beberapa maklumat yang kami terima, penyalahgunaan kuasa telah berlaku semasa proses jual beli tanah tersebut. Jika sudah cukup kami akan serahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau yang kini sedang dalam proses perbicaraan kes saman fitnah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap beliau berhubung isu Tanah Manggis II, berkeyakinan bahawa segala bukti dapat dikumpulkan tidak berapa lama lagi.
Di samping itu, beliau terus membidas DAP di mana setelah lebih empat tahun memerintah Pulau Pinang, barulah terserlah wajah sebenar DAP yang bukanlah sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat, sebaliknya merupakan sebuah parti yang langsung tidak prihatin terhadap nasib rakyat terutamanya golongan rakyat miskin.
Hari sudah terbukti, bahawa DAP yang selama ini melaung-laungkan kebajikan rakyat, intergriti dan anti rasuah, merupakan sebuah parti yang sebenarnya mengamalkan sistem pemerintahan talam dua muka, hipokrasi, tidak adil dan tidak peduli terhadap nasib rakyat khususnya rakyat miskin tanpa mengira bangsa, ujarnya tegas.
“Dulu DAP kata, mereka telah buat lebih 11,596 buah rumah kos rendah di dalam Pulau Pinang. Setelah kami siasat, angka sebenarnya hanyalah 4000 buah rumah. Itupun sebahagian daripada jumlah tersebut, merupakan projek BN di mana mereka hanya meneruskannya saja.
“Bila diserang dan dikritik, kerajaan DAP mula buat upacara pecah tanah di sana sini, umum pada rakyat kata nak buat lagi rumah kos rendah dan mampu milik, tapi sampai ke hari ini bayang pun takda. Sebenarnya mereka hanya buat majlis pecah tanah saja, tapi rumah untuk rakyat miskin mereka tak mahu buat,”tegas beliau.
Beliau menyeru rakyat, khususnya rakyat Pulau Pinang agar tidak terus terpengaruh dan percaya dengan permainan politik DAP yang cuba menggula-gulakan rakyat dengan upacara pecah tanah, dan pengumuman untuk membuat itu dan ini, kerana apa yang keluar dari mulut kepimpinan DAP hanya tipu daya belaka. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment