Wednesday, April 17

UMNO PARTI DINOSAUR JIKA PEMIMPIN TAK MAHU MENGALAH........


UMNO Pulau Pinang meminta bekas Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor,Datuk Seri Mohd Shariff Omar supaya membatalkan hasratnya mahu bertanding sebagaicalon bebas di kerusi parlimen kawasan berkenaan, demi kepentingan parti dan Barisan Nasional.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, UMNO akan jadi parti dinosaur sekiranya semua pemimpin tidak mahu berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin baru untuk ke depan.

"Inilah proses transformasi. Kalau sepanjang masa calon lama akan menentang calon baru, sampai bila UMNO akan melakukan transformasi? Maka UMNO akan jadi dinosaur sebab semua orang hendak pegang jawatan hingga akhir hayat," katanya semasa ditemui di pejabatnya, di sini.

Jelas beliau, sudah sampai masanya pemimpin yang berpengalaman membantu proses peremajaan parti dan memberi ruang kepada barisan pimpinan baru untuk mengambil alih.

Zainal diminta mengulas hasrat bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor sebagai calon bebas yang menyokong Pakatan Rakyat.

Shariff berbuat demikian kerana kecewa tidak disenaraikan sebagai calon BN bagi pilihan raya umum ke-13 ini dan menganggap kerusi itu hanya "dipinjamkan" kepada calon lain pada pilihan raya umum yang lalu.

Menurut Zainal, pihak berharap Shariff akan menimbang semula hasratnya itu kerana UMNO dan BN memerlukan sokongan dan khidmat semua ahli parti termasuk golongan veteran bagi memenangkan calon parti.

Malah kata beliau, Shariff wajar berbuat demikian kerana calon UMNO dan BN yang bertanding di kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bukan orang lain tetapi penyokong-penyokong beliau juga sebelum ini.

"Saya rasa elok sangat dapat timbangkan semula (hasrat untuk bertanding) kerana calon yang kita kemukakan di DUN dan Parlimen adalah anak buah beliau belaka," kata Zainal.

Mengenai pemilihan calon, Zainal menjelaskan pemilihan dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk diyakini mampu berkhidmat dengan baik sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, Shariff memberi laluan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan atas permintaan Pengerusi BN ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Nor Mohamed menang mengalahkan calon Pas, Ismail Salleh dengan majoriti 4,547 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, Shariff mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan majoriti yang lebih besar, 10,183 undi.

BN yang mengumumkan senarai calonnya semalam menamakan Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor, Shahbudin Yahya sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor. Beliau berpindah dari kerusi DUN Permatang Berangan.

Dalam pada itu, Zainal yakin calon pilihan BN itu akan mendapat sokongan akar umbi berdasarkan kepada maklum balas positif yang diterima selepas pengumuman pada Selasa.

Beliau juga percaya, suara bantaran dan tidak puas hati itu "hanya mewakili segelintir ahli UMNO dan tidak akan menjejaskan gerak kerja parti."

Ditanya apakah nama-nama ahli UMNO yang terlibat cuba mensabotaj calon BN ini akan diserahkan kepada lembaga disiplin parti untuk tindakan, Zainal berkata, tindakan hanya akan diambil sekiranya mereka ini benar-benar terbukti mensabotaj parti.

"Kita tunggu sampai 20 haribulan (hari penamaan calon). Kalau mereka kemukakan (diri) sebagai calon bebas atau calon Pakatan Rakyat, secara automatik akan dipecat daripada parti, tidak payah (tunggu) jawatankuasa (pemantau) buat laporan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen yang dihubungi enggan mengulas perkembangan ini.

"Saya tiada apa-apa kenyataan setakat ini," katanya.

Lembaga Disiplin UMNO sebelum ini telah melantik pemantau di setiap kawasan parlimen dan dewan undangan negeri bagi melaporkan kes sabotaj parti untuk tindakan disiplin lebih awal diambil terhadap ahli-ahli parti yang terlibat.

Tindakan itu termasuk dipecat daripada parti atau digantung keahlian.
www.astroawani.com



1 comment:

Anonymous said...

Perlu ada yang memujuk dengan ayat... "cukuplah... jadilah... kan calon tu anak didik abang sendiri..."

(pak lang)

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive