Datuk Azeez sebak dan tak dapat menahan air matanya.
“Kami sayangkan ayah dan tak sabar nak jumpa ayah. Saya berharap dapat pulang ke Malaysia.” Itu antara kandungan dua surat tulisan tangan yang menambah kerinduan seorang bapa untuk bertemu dua anaknya yang dilarikan ibu mereka ke New Zealand sejak tujuh tahun lalu.
Hidup Hanafi Salleh, 36, nelayan dari Tanjung Agas, Muar, Johor menjadi tidak keruan kerana terlalu merindui anak kesayangannya dan melakukan apa saja untuk membawa mereka pulang termasuk meminta bantuan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Muar, April lalu.
Kini, penantian Hanafi sejak 2004 itu bakal berakhir apabila Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bersetuju membantunya membawa Muhammad Shayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, kembali ke pangkuannya.
Perkara itu dinyatakan Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang media berhubung kes itu, dengan satu pertemuan akan diadakan antara beliau dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, David Pine.
Sijil kelahiran Muhammad Shayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9
Menurutnya, dua anaknya itu kini berada di bawah jagaan Nelson Site Child, Youth and Family, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat negara itu.
“Saya terpisah dengan dua anak saya itu selepas mereka dilarikan isteri saya (Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 25) ke Christchurch, New Zealand pada 2004 ketika saya bertugas di Eropah bersama sebuah syarikat perkapalan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, menerusi perbualan telefon dengan isterinya, wanita itu memaklumkan akan membawa pulang anak mereka ke Malaysia, namun janji itu tidak dikota.
“Beberapa bulan selepas itu, saya jumpa anak-anak hanya beberapa jam di pelabuhan Nelson City kerana kapal saya berlabuh di sana. Itu kali terakhir saya berjumpa mereka kerana selepas itu, isteri mendiamkan diri dan pelbagai usaha saya menghubunginya gagal.
“Sehingga pada 2010 apabila saya didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan anak saya berada di Nelson City iaitu sebuah bandar di Pelabuhan South Island.
“Saya juga dimaklumkan anak dijaga agensi kebajikan di sana kerana isteri hilang hak penjagaan selepas terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya yang kini sudah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak.
“Hati saya semakin sebak apabila menerima surat daripada dua anak saya itu berserta gambar mereka pada Oktober tahun lalu. Lebih mengharukan, seorang daripada anak saya melukis gambar kapal, mungkin merujuk kepada pekerjaan saya.
“Sebab itu saya nekad untuk berjumpa Tan Sri Muhyiddin dan mengadu mengenai masalah saya dan dia meminta saya menghubungi Datuk Azeez untuk mendapatkan bantuan.
“Saya bagai tak percaya apabila KP1M bersedia membawa pulang permata hati saya. Apabila mereka pulang ke Malaysia kelak, saya akan menghantar mereka ke sekolah agama atau pusat tahfiz untuk mereka mendalami ilmu agama,” katanya yang ditemani ibunya, Mariam Khairi, 65.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, dalam usaha membawa pulang dua beradik itu, pada peringkat awal, KP1M akan menyediakan pasport untuk Mariam yang ikut serta ke New Zealand bagi membawa pulang cucunya.
“Kelab sudah pun menghubungi Pesuruhjaya Tinggi kita di sana (New Zealand) untuk membantu proses membawa pulang mereka pertengahan minggu depan. Kita jangkakan ia tidak menghadapi masalah kerana mereka warga Malaysia. Jadi kemungkinan tiada kerenah birokrasi,” katanya.
1 comment:
Terbaik. A salute to Datuk Azeez. Semoga misi Datuk berjaya dengan selamat.
Post a Comment