Sunday, July 1

Dakwaan Pemuda Umno bergolak hanya helah Pas


Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan Pemuda Pas Johor berhubung pergolakan yang berlaku dalam pemuda Umno negeri itu.Sebaliknya, beliau menyifatkan dakwaan tersebut adalah cubaan Pas untuk menutup kelemahan parti itu.

Khairy berkata, Pas sebenarnya tersepit dengan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai pembidaan nombor pendaftaran kenderaan oleh Sultan Johor baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu telah menyebabkan Pas hilang sokongan orang Melayu negeri ini sehingga mereka cuba menimbulkan isu yang sebenarnya tidak wujud dalam Umno.

“Mereka hanya nak tutup kelemahan kerana rakyat Johor terutama orang Melayu telah menolak Pas disebabkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nizar dan berusaha untuk tutup kelemahan yang telah mereka lakukan.

“Naib Ketua Pemuda saya orang Johor, jadi kita tidak akan biarkan timbul masalah dalam kalangan Pemuda negeri ini. Kalau ada kelemahan kita akan tangani secara berhemah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang,semalam.

Hadir sama Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad dan Naib Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Roslan Hassan.

Khairy berkata, laporan yang didakwa Pemuda Pas itu tidak tepat kerana sebarang perubahan yang dibuat dalam kepimpinan Pemuda Umno berkisar kepada persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurutnya, perubahan yang dilakukan bukan perkara luar biasa kerana rombakan kepimpinan Pemuda yang dilakukan di beberapa buah negeri bertujuan untuk memantapkan parti.

“Saya dah merombak kepimpinan Pemuda negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Sabah, jadi mungkin negeri lain saya akan melihat pada keadaan, kalau perlu kita akan buat rombakan.

“Johor antara satu negeri yang saya masih lagi pantau, sama ada perlu atau tidak,” katanya.

Berhubung isu undi Pas masuk syurga, Khairy berkata, dalam Umno tidak mengamalkan politik sama seperti Pas yang menjanjikan pahala dan syurga.

Menurutnya, Umno tidak mahu menjanjikan apa-apa yang bukan di dalam kuasanya kerana soal Pas janjikan pahala, dosa dan kepastian siapa yang akan masuk syurga bukan manusia yang menentukan, tetapi ALLAH SWT.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan kelmarin, Ketua Pemuda Pas negeri, Suhaizan Kaiat berkata, wujud Kumpulan 16 Ketua Pemuda Umno bahagian yang tidak menyenangi ketua mereka, Mohd Fadil Muskon kerana beliau datang daripada kem Khairy.

Suhaizan berkata, ia juga merupakan antara faktor mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum berani membubarkan Parlimen sehingga hari ini.

Dalam kenyataan tersebut juga, Suhaizan turut mendakwa, sifat ‘budak baik’ Mohd Fadil menjadikan beliau tidak disenangi oleh sebahagian Ketua Pemuda Umno bahagian yang mengambil kesempatan daripada projek kerajaan untuk kepentingan peribadi.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive