Thursday, July 26

Mukhriz Mahathir MB,Kedah BN Punya Betoi Ka?


Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan merampas kembali beberapa negeri yang ditadbir pembangkang, demikian menurut kajian yang dilakukan beberapa ahli akademik.

Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kajian itu, yang dilakukan terhadap 1,400 responden di Kedah dan Selangor pada Mac hingga Mei tahun ini, menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia setakat ini memilih BN.

"Di Selangor, pengundi cenderung untuk memilih BN manakala di Kedah kedudukannya 50-50 tetapi ia mungkin berubah," katanya pada Perbincangan Meja Bulat 'PRU 13: Malaysia Pilih Siapa' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.

Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran UKM itu berkata PRU 13 merupakan satu kemuncak kepada penilaian prestasi bagi BN dan pakatan pembangkang di empat negeri sama ada mereka boleh kekal memerintah ataupun BN berjaya merampas kembali keempat-empat negeri berkenaan.

Secara keseluruhannya, beliau berkata 69.6 peratus responden menyatakan bahawa BN akan memenangi PRU 13 iaitu 37.5 peratus menyatakan bahawa BN akan menang dengan 2/3 majoriti manakala 32.1 peratus pula menang dengan majoriti mudah.

"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), 54.1 peratus responden akan memilih BN, 14.4 peratus (PAS), tiga peratus (PKR) dan selebihnya tidak pasti, manakala di peringkat Parlimen, 57 peratus memilih BN, 20.6 peratus (PR) dan 22.4 peratus tidak pasti," katanya.

Di Selangor, Dr Fuad berkata kajian simulasi berdasarkan kepada keputusan PRU 11 dan PRU 12, profil pemilih berdaftar terkini dan reputasi BN mendapati bahawa BN akan menang di 40 kerusi DUN.

Di Kedah, seramai 50.7 peratus responden memilih PAS untuk menang di peringkat DUN, 49.3 peratus (BN) dan selebihnya tidak pasti, katanya.

Beliau berkata kepimpinan dan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima dan terus mendapat sokongan juga menjadi antara faktor kelebihan BN untuk memenangi PRU 13.

"Purata 87.4 peratus mereka yang berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinan Najib. Tujuh puluh enam peratus menyatakan imej Najib amat baik berbanding Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Beliau berkata sokongan golongan muda pada tahun 2008 agak merosot, justeru, Najib membuat pendekatan 'modul magnet' bagi menarik semula sokongan dengan melakukan pembaharuan yang bersifat populis dan praktikal menerusi media sosial dan transformasi politik.

Profesor Madya Dr Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjalankan kajian ke atas 10,800 responden di Kedah pada November 2011 sehingga Februari 2012 menunjukkan bahawa rakyat Kedah menolak kerajaan PAS Kedah kerana gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

"Sebanyak 54 peratus responden menyatakan bahawa kerajaan PAS sedia ada tidak wajar dikekalkan manakala 58 peratus mengatakan bahawa kerajaan BN di peringkat persekutuan perlu dikekalkan," katanya.

Rakyat Kedah kini lebih menerima dasar-dasar kerajaan persekutuan berbanding kerajaan negeri dan cara terbaik ialah dengan memberi ruang kepada BN untuk kembali memerintah Kedah, katanya.

Rohana berkata mereka juga memerlukan seorang Menteri Besar yang mampu menyelesaikan masalah rakyat, mudah dihubungi dan rajin turun padang bertemu rakyat dan ini memberi gambaran terhadap ketidakupayaan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Azizan Abdul Razak melaksanakan tanggungjawab yang diharap oleh rakyat.

"Calon Menteri Besar Kedah yang dipilih sekiranya Umno berjaya merampas Kedah ialah rata-rata memilih Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir.

Ini menunjukkan bahawa mereka perlukan muka baru yang lebih muda untuk mentadbir negeri," katanya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive