Monday, July 2

KHALID SEMAKIN GAGAP DENGAN ISU FEKAH?


Masa adalah senjata ampuh untuk mendedahkan belang ahli politik. Masa membawa cabaran tersendiri yang menguji sama ada ahli politik terbabit akan mengotakan janji atau setakat bersifat retorik sahaja.

Masa yang dimaksudkan itu telah sampai untuk Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim …tetapi berlalu begitu sahaja tanpa Menteri Besar Selangor itu mengambil sebarang tindakan untuk menyiasat perilaku Setiausaha Politiknya Faekah Husin.

Faekah menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar untuk menulis dan mencadangkan kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) supaya melantik firma anak saudaranya sebagai panel peguam kepada syarikat kerajaan negeri itu.

Dalam surat itu, Faekah menegaskan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PNSB bahawa "peluang HARUS diberikan" kepada syarikat guaman anak saudaranya "selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat."

Tindakan Faekah melobi untuk anak saudaranya itu dicemuh oleh kalangan pemimpin PKR sendiri, lebih-lebih lagi kerana pilihanraya umum makin hampir dan isu itu boleh menjadi modal untuk menyerang PKR.

Antara yang lantang mempertikaikan tindakan Faekah itu adalah Adun Sri Muda dan Ketua Penerangan PKR Selangor Suhaimi Shafiei.

Faekah tidak menafikan menulis surat itu. Lebih mengejutkan, Khalid bertindak mempertahankan Setiausaha Politiknya. Menurut Khalid, surat Faekah itu hanya bertujuan untuk memanjangkan permohonan anak saudaranya itu kepada PNSB.

Jawatankuasa Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang ditubuhkan oleh Khalid tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menyiasat sama ada Faekah telah melakukan salah guna kuasa.

Adakah kerana Pengerusi Selcat Teng Chang Khim tidak menerima sebarang arahan?

Pucuk pimpinan PKR harus menasihati Khalid bahawa siasatan harus dijalankan. Lebih-lebih lagi kerana Khalid sendiri mengeluarkan arahan pada tahun 2010 melarang jentera kerajaan negeri mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak atau tender awam.

Tindakan beliau mempertahankan Faekah membawa implikasi bahawa bukan sahaja arahan itu dilanggar tetapi Menteri Besar sendiri menghalalkan tindakan pegawai-pegawainya menggunakan kepala surat kerajaan negeri untuk mendapatkan projek bagi saudara mara mereka.

Pada tahun 2010, seorang Ahli Majlis Perbandaran Kelang dipecat daripada jawatan itu dan parti DAP kerana mengeluarkan surat sokongan untuk syarikat milik anaknya mendapatkan tender MPK.

Penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar untuk mengutip derma bagi PKR juga meyebabkan seorang pegawai Khalid dibuang kerja pada tahun 2008.

Dengan latar belakang sebegitu, sudah tentu rakyat mempunyai asas kukuh untuk sekurang-kurangnya menuntut supaya tindakan Faekah itu diperinci oleh Selcat.

Khalid juga boleh mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk membuat siasatan.

Apapun, pokoknya ialah siasatan harus dijalankan bagi memberi makna kepada retorik Khalid bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat telus dan tidak pilih kasih dalam menangani rasuah dan salah guna kuasa.

Jangan apabila tiba masa untuk mengambil tindakan wajar, Khalid, Faekah dan pucuk pimpinan PKR sendiri terpinga-pinga memberi segala bentuk alasan semata-mata kerana takut kepada natijah sebuah siasatan yang adil dan telus.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive