Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melancarkan kempen Bebas Anwar 901 boleh dianggap satu perbuatan melampau.Adalah jelas matlamat utama tindakan berkenaan ialah untuk menyeret rakyat sekali lagi terutamanya golongan mahasiswa yang masih mentah soal politik turun ke jalanan mengadakan demonstrasi pada 9 Januari ini.Sememangnya tarikh berkenaan dianggap penting bagi puak pembangkang kerana ia penentu nasib kepada perjalanan kehidupan pemimpin sanjungan mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penasihat PKR itu akan mengetahui nasibnya sama ada akan dibebaskan atau dihukum atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.PKR sengaja melancarkan kempen tersebut bagi memberi gambaran kononnya Anwar teraniaya dan dianiaya, oleh itu beliau perlu dibela.
Kita tidak perlu berhujah sama ada tindakan PKR itu wajar atau tidak kerana mereka tidak akan mempedulikan semua itu, apa yang ada dalam benak fikiran mereka ialah mencetuskan demonstrasi biar pun ia akan berakhir dengan huru-hara.
Adalah sesuatu yang malang apabila ketenteraman ibu negara akan digugat lagi oleh kelompok berkenaan, sebelum ini warga kota sudah cukup rimas apabila pada 9 Julai lalu, PKR juga turun ke jalanan menyertai perhimpunan haram Bersih.
Kenapakah perlu mengadakan demonstrasi? Bukankah Anwar telah diberi peluang membela diri dengan barisan peguam yang hebat-hebat belaka? Sepatutnya mereka menyerahkan kepada mahkamah sepenuhnya untuk mempertimbangkan segala hujah dan bukti yang dibentangkan.Golongan mahasiswa ini dikatakan akan bergabung pula dengan sekelompok penyokong pembangkang yang minda dan mata mereka sudah ditutup untuk melihat kebenaran.
Kita percaya kempen berkenaan bermotif politik dan sama sekali tiada kaitan dengan soal menegakkan keadilan. Kalau hendak bercakap soal keadilan Anwar sudah pun mendapat keadilan apabila beliau dibicarakan secara adil di mahkamah terbuka.
Justeru serah sahaja kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan bukannya awal-awal lagi merancang sesuatu tindakan yang dianggap tidak bertamadun serta tidak bersesuaian dengan budaya rakyat negara ini.
No comments:
Post a Comment